Lebih 10,000 hadiri solat hajat bantah Amerika

2.00 Petang

Hampir 10,000 orang telah berkumpul di depan Kedutaan Amerika untuk mengadakan solat hajat membantah keganasan Amerika di Afghanistan.

Presiden PAS, Dato' Fadzil Noor mengetuai majlis tersebut. Turut serta adalah Naib Presiden, Haji Mustafa Ali dan lain-lain pemimpin PAS.

2.20 Petang

Presiden PAS bersama Haji Mustafa Ali, Presiden PUM Ustaz Abdul Ghani Shamsudin dan wakil Abim kini berada di depan pintu masuk kedutaan untuk menyerahkan memorandum kepada kedutaan Amerika.

2.30 petang

Lebih 15,000 orang kini telah membanjiri perkarangan kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak. Sebelah Jalan Tun Razak telah ditutup dan dijangka sebelah lagi terpaksa ditutup tidak lama lagi. Lebih ramai lagi sedang bergerak ke situ.

Presiden PAS, Dato' Fadzil, Haji Mustafa Ali, Ustaz Nasharudin, YDP Persatuan Ulamak Malaysia (PUM) Ustaz Abdul Ghani Shamsudin dan wakil Abim masuk ke kedutaan untuk menyerahkan memorandum.

2.42 petang

"Bush and Sharon next target", "US is terorist" dan "Peace No War" adalah antara banner dan poster yang dinaikkan sepanjang perhimpunan.

Sehingga kini, tujuh pemimpin PAS telah berucap kepada hadirin. Antaranya Dr Mariah Mahmud, Haji Husam Musa, Salehudin Ayub, Mohamad Sabu dan lain-lain.

Ketua Penerangan PAS, Azizan Abdul Razak yang turut berada di situ berkata, hampir 20,000 orang telah membanjiri kawasan itu.

Orang ramai yang lalu lalang dengan kenderaan memberikan hon bertalu-talu kepada perhimpunan itu.

2.45 petang

Polis menyembur air ke arah orang ramai dan disambut dengan sorakan.

2.50 petang

Pemimpin PAS, ABIM dan PUM yang menyerahkan memo kepada kedutaan Amerika keluar.

2.52 petang

Orang ramai yang mula mahu menunaikan solat hajat, disembur dengan water canon oleh FRU.

2.56 petang

Polis memberi amaran akan menangkap sesiapa sahaja yang terus berkumpul di hadapan kedutaan Amerika. Loceng amaran juga telah dibunyikan.

3.01 petang

Polis melancarkan gas pemedih mata ke kawasan pimpinan PAS yang mahu memulakan solat hajat. Akibatnya solat hajat tidak dapat diadakan di situ.

Bagaimanapun solat hajat telah diadakan sebaik sahaja selepas solat Jumaat di masjid Tabung Haji sebentar tadi.

3.04 petang

Pemimpin PAS, wartawan, jurugambar serta orang ramai yang berada di hadapan kedutaan Amerika, semuanya dapat merasa gas pemedih mata, yang disembur oleh FRU.

Polis berbuat demikian sebaik sahaja mereka berkumpul untuk mengadakan solat hajat.

3.09 petang

Hampir 50 orang terus mengadakan solat hajat di atas jalan raya yang basah dengan air asid yang disembur oleh FRU.

Orang ramai yang lain masih berada disekitar kawasan kedutaan dan belum meninggalkannya walaupun diminta bersurai oleh polis.

3.20 petang

Orang ramai terus berhimpun di hadapan kedutaan Amerika dan enggan berganjak. Dua buah lagi trak FRU tiba menjadikan 7 buah trak kesemuannya mengawal orang ramai.

Polis juga mengawal orang ramai dengan helikopter dari udara.

3.38 petang

Orang ramai mula bersurai. Presiden PAS Dato' Fadzil Noor serta pemimpin PAS yang lain telah basah kuyup disembur oleh water canon polis disamping terkena gas pemedih mata yang ditembak oleh FRU.

Berita dan gambar ehsan: HarakahDaily

Hits: