Ekonomi sudah meleset

KUALA Lumpur: Parti Keadilan mempersoalkan langkah kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi sebanyak dua kali dalam tempoh masa 10 bulan.

Ahli Parlimen Kemaman Abdul Rahman Yusuf berkata pakej rangsangan tersebut tidak memberikan reaksi positif terhadap sentimen pelaburan. Ini bermakna pihak pelabur tidak mempunyai keyakinan terhadap dasar-dasar ekonomi kerajaan Barisan Nasional.

'Bahkan dalam pakej pertama yang diumumkan pada bulan Mac lalu BSKL memberikan reaksi negatif. Pada pakej tersebut diumumkan indeks BSKL jatuh sebanyak tujuh mata.

'Walaupun pakej rangsangan diumumkan berjumlah RM3 bilion, tetapi tidak sampai RM300 juta yang dibelanjakan. Ada dua kemungkinan, pertama pengumuman tersebut hanya untuk memperkukuhkan sentimen di bursa saham atau kemung-kinan kerajaan tidak mempunyai sumber kewangan untuk melaksanakannya,' kata Abdul Rahman.

'Adalah sungguh aneh kenapa Perdana Menteri mengumumkan pakej rangsangan kedua pada bulan September lalu sedangan pakej pertama belum digunakan sepenuhnya,' tambah beliau lagi. Menurut Abdul Rahman beliau akan membangkitkan isu ini dalam Dewan Rakyat semasa membahaskan belanjawan tambahan yang akan bermula Isnin ini (15 Oktober).

Dalam pakej yang kedua bursa saham tidak juga memberikan reaksi yang memberangsangkan. Ini sekali lagi menunjukkan ketidakyakinan pelabur terhadap keberkesanan pakej tersebut untuk merangsang ekonomi yang telah hampir memasuki tahap kemelesetan yang menjurus ke arah kemuraman (depression).

Menurut Abdul Rahman kerajaan sentiasa memberikan gambaran positif terhadap prestasi ekonomi untuk mengaburi mata rakyat terhadap kegagalan dasar-dasarnya untuk merangsang pertumbuhan dan mengembalikan keyakinan pelabur.

'Dr.Mahathir sanggup membohongi rakyat apabila mengumumkan pertumbuhan ekonomi negara pada kadar 0.5 peratus untuk suku tahun kedua sedangkan jabatan perangkaan melaporkan pada suku kedua tahun 2000 KDNK adalah sebanyak RM84.7 bilion dan suku kedua tahun 2001 adalah RM82.6 billion, iaitu kemerosotan sebanyak RM2.1 billion atau pertumbuhan negatif 0.25 peratus berasaskan perbandingan tahun ke tahun.

'Pada hakikatnya ekonomi telah berada dalam situasi recession.  Saya difahamkan kera-jaan telah mengarahkan media perdana supaya tidak menggunakan istilah meleset atau kemuraman ekonomi kerana ia akan menghakis keyakinan pelabur dan menimbulkan keresahan rakyat,' tambah beliau.

Abdul Rahman juga akan menjelaskan dalam Dewan Rakyat bagai rejim Mahathir memanipulasi data-data unjuran ekonomi untuk membohongi rakyat. Beliau juga akan mempersoalkan kenapakah kerajaan membiarkannya.

Ehsan: Berita Keadilan Online