Lagi Kisah MB Kedah

APA masalah sebenar yang dihadapi Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Syed Razak Syed Zain hingga terpaksa menggugurkan beberapa soalan dari ADUN-ADUN Barisan Nasional (BN) dalam Persidangan Kali Ke 3 Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini?

Beberapa ADUN BN dipanggil untuk menemui Speaker DUN, Dato’ Badaruddin Amiruldin kononnya mengelakkan soalan-soalan yang sudah digugurkan itu ditimbulkan semula oleh beberapa ADUN BN yang jelas “tidak sehaluan” dengan kepimpinan Syed Razak.

Khabar bertiup kencang, Md Rozai yang tewas di tangan Dato’ Othman Abdul bagi merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Pendang sudah menghantar surat perletakan jawatan ADUN.

Namun, banyak pihak tidak yakin dengan cerita-cerita seumpama ini kerana ADUN BN tidak mempunyai kekuatan sehingga sanggup mengosongkan kerusi. Kata mereka yang tahu senario politik Kedah, Md Rozai hanya mengacah-acah Syed Razak supaya melantiknya menjadi Exco Kerajaan Negeri, mengisi tempat yang dikosongkan Dato’ Zainol Md Isa.

Md. Rozai juga berkali-kali menceritakan kepada orang-orang yang rapat dengannya, dia adalah bakal Menteri Besar Kedah, seperti mana yang dijanjikan oleh Perdana Menteri. Khabarnya Perdana Menteri tidak berpuas hati dengan kemampuan Syed Razak.

Syed Razak bukan sahaja tidak faham ekonomi, malahan semua perkara mahu dibuat sendiri dan tidak langsung mengagih-agihkan tugas parti kepada rakan-rakan lain. Kalau boleh semua dia hendak “lakukan”.

Ramalan pertumbuhan 15 peratus dan menjadikan Negeri Kedah sebagai negeri maju dalam tahun 2010 juga menjadi bahan jenaka orang ramai di Kedah. Kata mereka, pembacaan ekonomi Syed Razak jauh “lebih maju dan terkehadapan” dari Menteri Kewangan, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Mengapakah Dr. Mahathir tidak mempelawa Syed Razak menjadi Menteri Kewangan Malaysia jika dia mempunyai bacaan “lebih terkehadapan” dari beliau sendiri? Atau Syed Razak memang tidak lulus matematik ketika ambil periksa SPM dahulu!

Sesiapa menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah pasti tahu Syed Razak tidak pernah menjawab sebarang pertanyaan dari ADUN-ADUN, termasuk pertanyaan ADUN-ADUN BN.

Dia tidak menjawab disebabkan dia takut orang tahu “kepandaian” dia setakat mana. Khabarnya bila ADUN Lunas, Saifuddin Nasution Ismail menyebut “IRR” semua ADUN BN ternganga mulut…tidak faham apa maksud “IRR”.

Bolehla YB Saifuddin yang baru menang jawatan Timbalan Ketua Pemuda keADILan buka kelas “mengajar” YB Khaidir apa makna “IRR” dan apa dia “PAC” dan Jabatan Audit Negara.

Bukan sedikit pegawai-pegawai kerajaan yang tertawa secara perlahan-lahan menyaksikan ADUN-ADUN BN di Kedah yang dipilih oleh Tan Sri Sanusi Junid mewakili BN dalam pilihan raya umum 1999 yang lalu.

 

-Ramlan Jantan 2001

Hits: