Seminggu dalam kehidupan Tok Guru Nik Aziz

Assalamu'alaikum,


Oleh : DINSMAN

Ketika melihat semula gambar-gambar video yang diambil sepanjang mengikuti pergerakan harian Tok Guru Nik Aziz Oktober lalu, satu imej yang paling ketara dan menonjol mengenai Menteri Besar Kelantan ini ialah solat. Paling  banyak gambar beliau solat dirakamkan sepanjang kami mengikuti beliau selama  dua minggu itu.

Kami cuba merakamkan pergerakan Tok Guru Nik Aziz yang menjadi rutin kehidupan hariannya dalam seminggu, bermula daripada dia keluar rumah di waktu pagi hinggalah dia pulang ke rumah di waktu malam, iaitu
pergerakan  yang boleh menjadi perhatian umum - tidak yang bersifat peribadi dan rahsia.

Pergerakan umum Nik Aziz pada setiap hari bermula dengan perjalananya ke masjid untuk solat subuh. Jarak rumahnya dengan masjid sangat dekat.

Bumbung masjid dengan bumbung rumahnya hampir bertemu. Daripada tangga pintu  depan rumahnya ke tangga pintu khas masjid, seperti yang saya hitung  langkahnya berdasarkan gambar video yang dirakamkan pada suatu subuh di  bulan Oktober lalu, ialah 19 langkah.

Sekiranya dia berada di rumah, dan dia tidak sakit, pintu depan rumahnya pasti terbuka tidak lama selepas berakhirnya laungan azan subuh, iaitu sebelum pukul 6.00 pagi. Nik Aziz akan melangkah turun dari rumahnya, masuk  masjid, dan mengimami jemaah solat subuh.

Selepas solat dia membaca wirid atau bacaan selepas solat, yang apabila sampai kepada bacaan ayat Kursi, para jemaah yang di bahagian depan akan bangun untuk berubah tempat, duduk semula mengelilinginya dalam jarak yang  sangat dekat. Pergerakan ini berlaku seperti secara otomatis dan cepat.

Mereka yang biasa berjemaah di situ terus melakukannya seperti spontan,sama  ada pelajar mahupun orang dewasa. Sudah terbiasa begitu.

Selesai ayat Kursi, Nik Aziz pun membuka kitab yang sudah diletakkan di atas rehal di sebelah kanan tempat duduk sembahyangnya. Dia pun memulakan  kuliah subuh, yang merupakan kuliah atau ceramahnya yang pertama untuk hari  itu.

Ini berlaku pada setiap hari. Seawal itu, Nik Aziz yang kini sudah 11 tahun  menjadi Menteri Besar negeri Kelantan, memulakan tugasnya kepada rakyat -  mengajar ilmu agama. Seawal jam 6.15 pagi. Begitu dia melakukannya  bertahun-tahun sejak belum menjadi menteri besar pada tahun 1990, dan  begitulah juga dia melakukannya setelah menjadi menteri besar, sampailah  sekarang.

Dia terus mengajar begitulah. Setiap hari, selepas solat subuh. Dan kuliahnya itu adalah sebahagian daripada wirid solatnya, kerana dia memulakan kuliah selepas membaca ayat Kursi, dan sebaik saja selesai kuliah  dia pun menyambung semula wiridnya, dengan zikir subhanallah? dan seterusnya  hingga selesai do'a.

Sebaik saja selesai do'a, para jemaah di sekelilingnya - pelajar mahupun orang dewasa - terus bersalam dan mencium tangannya, seorang demi seorang.

Ketika mula-mula menyaksikan adegan ini dulu, saya agak terharu. Kebetulan  waktu itu yang ramai mengelilinginya ialah para pelajar SM Darul Anuar - sekolah yang berada hampir dengan rumah Nik Aziz, dan menjadi sebahagian  daripada persekitaran rumahnya sejak bertahun-tahun.

Saya membayangkan adegan seperti itu berlaku pada setiap pagi. Saya melihatnya dari segi hubungan intim Tok Guru dengan anak-anak muridnya.

Begitu intim sekali. Tiap-tiap subuh, menjadi sebahagian daripada kegiatan  solat, mereka duduk rapat mengelilingi Tok Guru, mendengar dia  mengajar(walaupun ada yang mengantuk).

Saya tertarik memikirkan mereka itu bangun untuk duduk semula rapat dengan  Tok Guru, sedangkan mereka boleh saja menadah telinga mendengar Tok Guru  mengajar dari tempat duduk mereka yang asal, tak perlu bangun berubah  tempat.

Tetapi mereka bangun mengubah tempat untuk duduk rapat dengan Tok Guru. Dan  Tok Guru itu (sejak 11 tahun yang lalu) adalah orang yang sama yang menjadi  Menteri Besar negeri itu. Jadi, setiap pagi, mereka ber kesempatan duduk  dalam suasana yang begitu intim dengan seorang Tok Guru yang juga Menteri  Besar.

Tak tahulah bagaimana dan bila mula terjadinya keadaan duduk yang seperti  itu. Nik Aziz sendirikah yang mengaturnya demikian, atau bagaimana -itu  semua tidak mustahak. Yang mustahaknya, saya melihat keadaan itu agak  mempesona. Saya melihat jalinan hubungan yang intim itu terjadi pada setiap  pagi. Saya melihat seorang Menteri Besar memulakan harinya dengan mengajar  agama, dalam suasana hubungan guru-murid yang begitu intim, selepas  mengimami solat subuh.

Dari kacamata filem, adegan ini memang cantik, mempesona, terutama apabila  dilihat dari sudut atas (high angle). Dan apabila anak-anak muda itu seorang  demi seorang mencium tangan Tok Guru, kita terasa akan kemesraan hubungan  guru-murid itu.

Dan saya terfikir - siapakah lagi seorang pemimpin negeri, atau pemimpin negara, yang memulakan harinya seperti itu - seperti Tok Guru Nik Aziz  itu?(Seorang kawan saya di Kota Bharu, Zainuddin, bertanya saya apakah saya  mengikuti kehidupan Imam Khomeini? Jawab saya: Tidak, saya tidak  mengikuti.Jadi saya tak dapat membuat bandingan.)

Setelah itu, Nik Aziz akan berjalan keluar masjid menuju ke rumahnya.

Perjalanan yang kurang daripada 20 langkah itu kadang-kadang terganggu atau  dihalang pula oleh kehadiran orang yang hendak bertemu dengannya, sama ada  sebagai menteri besar ataupun sebagai Tok Guru.

Tidak ada orang yang akan menghalang sesiapa pun yang hendak bertemu dengannya. Semua orang boleh bertemu. Terus saja halang perjalanan dia  disitu, dan cakaplah apa-apa pun. Dia sentiasa bersedia mendengar, dan membantu.

Itu pada hari-hari biasa, bukan hari Jumaat. Pada hari Jumaat lain pula keadaannya. Jalan ceritanya belum habis sampai setakat pelajar-pelajar atau  makmum mencium tangannya. Ia ada sambungannya lagi.

Jemaah pada subuh Jumaat biasanya lebih ramai daripada hari-hari lain. Bukan sahaja kerana hari Jumaat itu hari cuti di Kelantan, tetapi adalah  kerana satu upacara khas yang dilakukan oleh Tok Guru Nik Aziz pada setiap  pagi Jumaat, selepas selesai solat subuh.

Selepas para jemaah mencium tangan Tok Guru, mereka pun akan beredar. Pada  waktu itulah akan tampil pula orang-orang yang mendukung anak kecil  (bayi),untuk menghulurkan anak mereka ke pangkuan Nik Aziz.

Nik Aziz yang masih di tempat duduknya seperti ketika menyampaikan kuliah  tadi, akan menyambut bayi yang dihulurkan kepadanya, meletakkannya di atas  ribanya, dan memulakan upacara 'membelah mulut' dan memotong rambut bayi  tersebut.

Upacara ini mengambil masa kira-kira lima minit untuk seorang bayi. Setiap  bayi disuap dengan sedikit makanan manis, seperti buah korma, kemudian  digunting sedikit rambutnya, dan kemudian dibaca do'a. Semuanya dilakukan  sendiri oleh Tok Guru Nik Aziz.

Sepanjang yang saya saksikan, beberapa kali, tidak pernah saya melihat ada  anak yang menangis ketika Nik Aziz melakukan upacara ini.

Bukan seorang dua bayi yang dihulurkan kepadanya pada setiap Jumaat. Beberapa kali yang saya hadir saya perhatikan tidak kurang daripada 10 orang. Dan pernah sekali itu begitu ramai, mungkin hingga 20 orang. Nik Aziz pun terpaksa berehat sebentar, dan ada orang pula mengurut badannya  bagi mengembalikan tenaganya.

Pernah juga saya melihat dia berhenti untuk sembahyang sunat dhuha, dan kemudian sambung semula upacara tersebut.Sekali lagi, saya memikirkan bahawa  yang sedang melakukan upacara ke atas anak-anak kecil itu, di subuh-subuh hari, adalah seorang menteri besar. Orang-orang yang membawa anak-anak kecil  itu datangnya dari mana-mana saja, ada yang dari jauh, dan hampir semuanya  tidak dikenali oleh Nik Aziz.

Mereka datang mengharapkan keberkatan. Mereka datang, dan selepas mendapat layanan Tok Guru ke atas bayi  mereka,mereka pun balik. Tinggallah Tok Guru masih meneruskan khidmat nya  kepada mereka yang terus menghulurkan bayi ke pangkuannya. Daripada suasana  subuh yang suram, hingga cahaya pagi sudah cerah dan matahari mulai  melepaskan panasnya.

Orang ramai sudah pulang, tetapi Nik Aziz masih lagi melayani orang yang menghulurkan bayi kepadanya. Kata mereka, biar berapa ramai pun orang yang  menghulurkan bayi kepadanya, Nik Aziz tidak akan menolak, kerana dia tak  mahu menghampakan harapan orang yang telah bersusah payah dating dari jauh.

Pernah sekali itu dia sudahpun bangun dan melangkah hendak meninggalkan masjid, tetapi tiba-tiba ada lagi orang yang baru tiba dan membawa bayi kepadanya. Dia pun melayani juga.

Dan saya pun terfikir: siapakah lagi seorang pemimpin negeri, atau pemimpin  negara, yang sanggup melayani rakyat seperti ini - seperti Tok Guru Nik Aziz  ini?

Barangkali ada orang akan membuat tohmah: Nik Aziz sanggup melayani rakyat  seperti itu, hingga akibatnya dia gagal menjalankan tugas membangun ekonomi  negerinya. Insya-Allah saya akan menjawab tohmahan itu dalam kesempatan yang  lain.

Hits: