"Tanggungjawab saya mendedahkan rasuah": Ezam

KUALA Lumpur: Ketua Pemuda keADILan Saudara Ezam Mohd. Noor menjelaskan kepada mahkamah semalam bahawa menjadi tanggungjawab beliau sebagai Ketua Pemuda keADILan untuk mendedahkan penyelewengan pemimpin-pemimpin kerajaan.

Beliau membuat keterangan tersebut di dalam perbicaraan kes Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang bermula semalam. Beliau dipanggil membela diri setelah Hakim Wan Arfah memutuskan terdapat kes prima facie terhadap beliau baru-baru ini.

 

Pada 6 November 1999, Saudara Ezam membongkarkan kepada wartawan dan rakyat mengenai pertuduhan terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Rafidah Aziz dan bekas Ketua Menteri Melaka Rahim Thamby Chik yang didakwa melakukan pecah rasuah. Walaupun kertas pertuduhan telah siap, kedua-dua mereka tidak pernah didakwa.

Sebaliknya, Saudara Ezam pula yang didakwa atas tuduhan melanggar OSA apabila beliau mengedarkan kertas pertuduhan terhadap kedua-dua pemimpin UMNO itu kepada wartawan pada sidang media tersebut.

Menjawab soalan peguambela Raja Aziz Addruse mengenai cop rahsia yang ada pada kertas pertuduhan tersebut, Ezam berpendapat ia bertujuan merahsiakan penyelewengan menteri-menteri kerajaan.

Menurut beliau lagi, kenyataan beliau ada menyentuh mengenai risiko yang terpaksa beliau tanggung akibat pendedahan itu kerana beliau sedar pihak yang terbabit akan cuba untuk menekan beliau melalui pelbagai cara.

Anak muda pemimpin reformasi itu kini ditahan tanpa bicara di Kamunting selama dua tahun atas arahan Menteri Dalam Negeri Abdullah Badawi. Jika didapati bersalah, beliau boleh dijatuhkan hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun dan maksimum tujuh tahun.

Perbicaraan bersambung pagi ini.

Ezam kelihatan tenang dan tersenyum memandang isterinya Puan Bahirah Tajul Aris dan kedua-dua anak mereka.

Kawasan mahkamah dipenuhi penyokong reformasi dan keADILan yang ingin melihat wajah Saudara Ezam dan menyampaikan sokongan moral.

Sumber: Berita KeADILan On-Line

Hits: