Sekatan pilihan raya kampus gagal halang kemenangan kumpulan 'anti establishment'

KUALA Lumpur: Walaupun pelbagai sekatan dikenakan untuk mengurangkan pengaruh kumpulan pelajar yang disifatkan tidak sehaluan dengan kerajaan dan pentadbiran universiti, mereka masih berjaya menang besar di dalam pilihanraya kampus universiti-universiti awam.

Kecuali universiti-universiti yang dikawal ketat oleh pentadbiran yang secara terang-terangan menyokong BN, badan-badan pelajar di seluruh universiti lain hampir disapu bersih oleh kumpulan yang dikatakan pro-reformasi atau anti-establishment.

Di antara sekatan-sekatan yang dikenakan adalah tindakan membatalkan pencalonan 10 orang calon berbangsa Tionghua yang diketahui berada di dalam kumpulan pro-reformasi di Universiti Malaya. Akibat pembatalan ini, 10 kerusi diberikan secara percuma kepada kumpulan pelajar yang secara terbuka disokong oleh UMNO. Malah semasa upacara memperkenalkan calon-calon mereka, gabungan pelajar yang menamakan diri mereka MGMUM turut menjemput pemimpin wanita UMNO Syahrizat Jalil untuk memberikan 'kata-kata semangat'.

Walau bagaimanapun, mereka hanya menang dua kerusi lain - sedangkan yang lainnya disapu bersih oleh calon-calon pro-reformasi.

Corak pengundian yang sama juga boleh dilihat di UKM, yang mana kumpulan pro-reformasi menang 31 daripada 33 kerusi yang dipertandingkan. Kumpulan pelajar pro-reformasi juga menang di UPM, USM dan UTM.

Kumpulan yang ditaja UMNO dan pihak pentadbiran hanya menang di UiTM dan UUM, dua buah institusi pengajian awam yang telah mengambil pelbagai langkah tidak demokratik untuk membanteras sokongan pelajar terhadap gerakan islah.

Naib canselor kedua-dua buah universiti diketahui secara umum merupakan penyokong utama pemimpin-pemimpin UMNO.

Malah di UUM, naib canselornya mengeluarkan kenyataan bahawa calon yang menang akan dikaji terlebih dahulu latar belakang mereka sebelum 'disahkan' oleh pihak universiti. Jika mereka didapati terlibat dengan 'kegiatan yang melanggar undang-undang' (seolah-olah membuat rujukan kepada sokongan pelajar terhadap gerakan reformasi), kemenangan mereka akan dibatalkan, kata naib canselor itu lagi baru-baru ini.

Tindakan tersebut menimbulkan bantahan besar daripada pelajar-pelajar yang menyifatkan pilihanraya kampus UUM hanya bertindak sebagai 'gimmick' kerana keputusan akhir terletak di tangan naib canselor.

"Ini serupalah dengan dia (naib canselor) memilih ahli MPM sendiri, tidak ubah seperti pemimpin tentera di Algeria yang mengisytiharkan pilihanraya tetapi membatalkannya apabila pembangkang menang," kata seorang pelajar yang mengaku menuntut di UUM melalui e-mel kepada BKO.

Walau bagaimanapun, kemenangan kumpulan pro-islah dan anti-establishment di kampus-kampus memberi gambaran bahawa prospek pilihanraya BA masih cerah walaupun pelbagai helah digunakan oleh BN kebelakangan ini, kerana pelajar-pelajar ini akan menjadi tenaga penggerak jentera apabila keluar universiti kelak.

Malah, kumpulan mereka akan membentuk kumpulan undi yang besar dalam pilihanraya yang akan datang, jelas seorang pensyarah yang ditemui.

Sumber: Berita KeADILan On-Line

Hits: