Syabas kepada Mahfuz kerana berjaya mengatasi Mahathir berhubung dakwaannya bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam dan menikam sendiri dalam mengesahkan kebimbangan bahawa Islam politik yang diperjuangkan PAS adalah tidak serasi dengan kemajmukan politik, toleransi sosial atau masyarakat madani

________________________________________________________

Kenyataan Media oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Kit Siang
________________________________________________________

Pulau Pinang, 30 Nov – Syabas kepada Mahfuz kerana berjaya mengatasi Mahathir berhubung dakwaannya bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam dan menikam sendiri dalam mengesahkan kebimbangan bahawa Islam politik yang diperjuangkan PAS adalah tidak serasi dengan kemajmukan politik, toleransi sosial atau masyarakat madani.

Di Dewan Rakyat pada hari Rabu, Ketua Pemuda PAS dan Ahli Parlimen kawasan Pokok Sena, Mahfuz Omar, mempersoalkan sebab mengapa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih memegang 571.1 juta syer British American Tobacco pada 28 Februari serta 38 juta syer Genting dan 16.8 juta syer Resorts World pada 20 April, di samping 4.3 juta syer Guiness Anchor pada 11 September, atas alasan bahawa ini adalah bercanggah dengan dakwaan kerajaan bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam.

Jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chan Kong Choy adalah amat mengejutkan, mengaku bahawa Mahfuz berjaya mengatasi dakwaan kerajaan Barisan Nasional bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam, dengan mengisytiharkan bahawa KWSP telah mengambil pendirian untuk tidak lagi membuat apa-apa pelaburan di dalam syarikat-syarikat sedemikian yang terlibat dengan arak, perjudian dan rokok.

Chan berkata bahawa KWSP akan menarik balik pelaburan sedia wujudnya di dalam syarikat-syarikat seumpama itu apabila pasaran saham menunjukkan peningkatan.

Beliau juga memberitahu Parlimen bahawa Lembaga KWSP telah melantik perunding-perunding yang fasih dalam undang-undang Syariah sebagai penasihat mengenai portfolio pelaburan tabung berkenaan.

Saya berpendapat pengunduran Chan daripada pertanyaan PAS adalah amat tidak wajar sekali, khasnya apabila para Menteri dan pemimpin Barisan Nasional dan MCA secara lantang mengumumkan bahawa perisytiharan Perdana Menteri bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam tidak akan mengubah sedikitpun dasar-dasar kerajaan berhubung politik, ekonomi, pendidikan, sosial, budaya, agama dan pembangunan negara yang sedia wujud.

Mahfuz telah mengatasi bukan sahaja Chan tetapi juga Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di atas dakwaan bahawa Malaysia sudahpun sebuah negara Islam.

Sungguhpun begitu, Mahfuz telah berbuat demikian dengan menikam sendiri memandangkan beliau juga mengesahkan kebimbangan bahawa Islam politik yang diperjuangkan PAS adalah tidak serasi dengan kemajmukan politik, toleransi sosial atau masyarakat madani.

Adakah selepas ini PAS akan mencadangkan pula bahawa kerajaan tidak patut menyentuh cukai-cukai ke atas tembakau, alkohol dan perjudian, dan memansuhkan “cukai berdosa” ini sepenuhnya kerana bertentangan dengan konsep negara Islam PAS?

Pendirian yang diambil oleh setiausaha agung MTUC, G. Rajasekaran yang mempersoalkan kebijaksanaan kerajaan menahan KWSP daripada melabur di dalam saham-saham “berdosa” adalah munasabah dan wajar.

Lembaga KWSP harus memberikan penjelasan tentang bilakah ia mengambil keputusan dasar untuk tidak membuat apa-apa pelaburan di dalam syarikat-syarikat sedemikian dan melucutkan segala “saham berdosa” yang sedia wujud, siapakah perunding-perunding yang “fasih dalam undang-undang Syariah” yang telah dilantik sebagai penasihat mengenai portfolio pelaburan tabung berkenaan dan berapa banyakkah gaji yang diberikan kepada mereka.

Sembilan juta penyumbang KWSP patut diberikan hak bersuara tentang sama ada perubahan dasar seumpama itu berhubung dasar pelaburan dana KWSP  harus dilakukan dan dalam hubungan ini, DAP membuat seruan kepada Lembaga KWSP untuk berunding sepenuhnya dengan sembilan juta penyumbang KWSP sebelum melaksanakan apa-apa perubahan dasar sedemikian.

Hits: