Siapa Yang di-Pertuan Agong Ke 12 Dan Timbalan Agong?

Mahathir sudah memasang angan-angannya supaya Yang di-Pertuan Agong ke 12 mengikut telunjuk dan kemahuannya. Segala-galanya perkara sepenting urusan negara mesti melalui mulut Mahathir yang umumkan, pilihanraya dia juga, isytihar Malaysia 'negara Islam' Mahathir dia juga, buat keputusan mensabitkan DS Anwar Ibrahim salah dan dipenjarakan dia juga (hanya tidak diumum sebagaimana dia umumkan pilihan raya, isytihar Malaysia 'negara Islam', tarikh majlis Raja-raja Melayu mesyuarat pun dia juga umumkan). Kenapa tidak penyimpan mohor Raja-raja yang umumkan???.

Kalau ikut Mahathir bahawa Yang di-Pertuan Agong itu adalah orang pilihannya supaya dia senang cucuk hidung. Sebab itu Mahathir awal-awal telah membayangkan dalam kata-katanya; kalau nak kira giliran, kali ini (Raja) Perlislah...Kenapa dia tidak cakap sepatutnya Timbalan Agonglah yang akan menjadi Yang di Pertuan Agong kali ini atas kedudukannya sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan (Sultan Terengganu sekarang) yang telah memangku tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong semasa ketiadaan dan gering Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin yang baru mangkat pada 21.11.2001M (5 Ramadhan, 1422H) yang lalu. Kata-kata Dr Mahathir itu menampakkan ketidaksenangnya dia apabila Sultan Mizan dipilih oleh Majlis Raja-raja Melayu bagi menjawat Yang di-Pertuan Agong ke 12.

Secara tidak disedari oleh Majlis Raja-raja, jelas Mahathir mahu Majlis Raja-raja Melayu mengambil kira kenyataannya dalam akhbar itu. Selain itu, Mahathir juga berniat untuk memasuki urusan Majlis Raja-raja Melayu dalam hal memilih Yang di-Pertuan Agong baru. Malah Mahathir seperti cuba menanam bibit-bibit pertelingkahan dalam Majlis Raja-raja dari kenyataannya itu, semacam mahu campur tangan. Adalah lebih bijak Mahathir jangan sentuh walaupun sepatah tentang urusan Majlis Raja-raja Melayu dalam membuatkan keputusan mereka. Majlis Raja-raja Melayu juga tidak pernah sentuh tentang urusan keperdanamenteriannya yang tidak patut disentuh selama ini. Kecuali Mahathir yang telah melukai sistem Raja Berperlembagaan dulu secara diluar adat orang-orang Melayu. Tiba-tiba hari ini Mahathir cukup mengambil hati Majlis Raja-raja Melayu. Rakyat mengharapkan Majlis Raja-raja Melayu akan bertindak lebih bijak, pintar dan mendahului apa yang difikirkan oleh Mahathir yang sudah kehilangan taring beracunnya itu.

Rakyat ingin melihat sejauh mana kebijaksanaan Majlis Raja-raja Melayu dalam membuat keputusan yang disenangi rakyat jelata. Bukannya keputusan yang dimahukan oleh Mahathir PM paling lama, paling anti sistem beraja dan paling rakus untuk terus berkuasa mencengkam seluruh sistem yang ada dalam negara ini. Apakah Majlis Raja-raja Melayu tidak dapat melihat kebusukan hati perut Mahathir di sepanjang dia jadi PM lebih kurang 20 tahun, pada tahun 1993 dulu bagaimana Mahathir mengheret pemimpin UMNO/BN dan seluruh rakyat menghina Sultan-sultan secara cukup TIDAK BERADAB...anda tentu masih ingat!!!, bagaimana Mahathir memperhina Islam, hukum hudud, ulama, menghina, menghukum dan memenjarakan DS Anwar secara cukup-cukup kejam dan banyak lagi angkara Mahathir terhadap umat Islam dan orang-orang Melayu.

Marilah kita berdoa agar Sultan-sultan atau Raja-raja Melayu serta Majlis Raja-raja Melayu membuat keputusan dan juga pemilihan Agong ke 12 secara musyawarah tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur politik kepartian, apalagi untuk dipengaruhi oleh Dr Mahathir dan kroni-kroninya di dalam UMNO. Majlis Raja-raja Melayu, rakyat Malaysia yang majmuk ini mengharapkan Sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi payung dan simbol kedaulatan, keamanan dan keselamatan rakyat dan Malaysia agar bersikap lebih proaktif demi mendaulatkan Perlembagaan Negara dan kuasa Parlimen, seterusnya memastikan sistem undang-undang atau kehakiman negara ini terus bebas tidak lagi dibelenggu oleh penguasa politik elit. Begitu juga dalam menjaga sistem demokrasi dalam negara ini agar benar-benar terpelihara.

Mudah-mudahan Majlis Raja-raja Melayu mendapat hidayah serta petunjuk Allah SWT dalam membuat pemilihan Yang di-Pertuan Agong serta Timbalannya. Agar mereka yang terpilih adalah Sultan atau Agong yang berkarisma, beriman, bertaqwa, tawaduk dan memiliki daya kepimpinan tinggi serta berhemah tinggi. Bukan Sultan atau Agong yang boleh diperkudakan oleh Dr Mahathir yang nyanyuk itu.

Ibn Sabah,
3.12.2001M

Hits: .