Kesihatan Adun Indera Kayangan Masih Kritikal
 
 
KANGAR, 4 Dis (Bernama) -- Kedudukan kesihatan anggota Exco Perlis, Datuk Khor Liang Tee masih lagi kritikal dan bergantung kepada mesin sokongan hayat.

Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau telah mendapat salinan laporan perubatan Khor, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Indera Kayangan, untuk diserahkan kepada Perdana Menteri dalam tempoh terdekat ini.

Bercakap kepada pemberita di kediamannya lewat petang ini, beliau berkata laporan perubatan itu diserahkan oleh isteri Khor, Datin Tan Chien Lieng kepadanya pada Selasa.

"Saya berharap Khor akan sembuh dan boleh melaksanakan tugasnya semula," katanya ketika ditanya sama ada keadaan Pengerusi MCA Perlis itu lebih kritikal berbanding sebelum ini.

Khor, 59, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perlis dimasukkan ke Pusat Rawatan Gleneagles Intan, Ampang sejak Ogos lalu kerana barah usus yang dihidapinya sejak 1999.

-- BERNAMA

Hits: