Tazkirah Ramadhan ( 39 ) : Hadis Fadhilat Ramadhan - 9

Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanyasanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja, Tuhan seru sekalian alam. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarganya.

Hari ini kita akan menamatkan siri petikan hadis-hadis mengenai Lailatul-Qadr. Insya-Allah kita akan belajar hadis-hadis mengenai bab iktikaf pada siri-siri akan datang.

HADIS 9 :  ( Terjemahan )

Daripada Anas r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

' Apabila tiba Lailatul-Qadr, turunlah  Jibrail a.s. bersama satu kumpulan para malaikat memohon rahmat ke atas setiap hamba yang sedang berdiri atau duduk mengingat Allah s.w.t. dan apabila tiba Hari Raya mereka, iaitu Hari Raya Fitrah maka Allah s.w.t. akan membangga-banggakan mereka kepada para malaikat-Nya. Dia berfirman:

" Wahai malaikat-Ku! Apakah balasan seorang pekerja yang menyempurnakan kerjanya?" Mereka berkata : " Wahai Tuhanku, balasannya ialah disempunakan ganjarannya." Allah berkata lagi : " Wahai malaikat-Ku, hamba-hamba-Ku lelaki dan perempuan yang telah menyempurnakan fardhu -Ku ke atas mereka, kemudian mereka keluar sambil melaungkan doa - Demi kemulian dan kehebatan-Ku, kemurahan dan ketinggian-Ku dan demi kedudukan-Ku pasti Aku menerima doa-doa mereka. Kemudian Allah s.w.t. berkata ( kepada hamba-hamba itu ) : " Pulanglah kamu, sesungguhnya Aku telah mengampunkan kamu dan telah Ku tukarkan segala keburukan kamu dengan kebaikan." Nabi s.a.w. berkata: 'Lalu mereka pun pulang dalam keadaan terampun'.

Huraian Ringkas.

Kedatangan Jibrail a.s. bersama para malaikat dinyatakan juga di dalam Al-Quran sebagaimana yang diterangkan sebelum ini. Banyak hadis-hadis juga menyebutnya. Ada hadis yang menyebutkan bahawa Jibrail a.s. akan menyuruh malaikat-malaikat supaya pergi ke rumah orang-orang yang sedang berzikir lalu berjabat tangan dengan mereka. Di dalam kitab Ghaliatul-Mawaiz terdapat nukilan dari kitab Ghuniyyah karangan Syaikh Abdul Qadir Jailani rah. di dalam hadis riwayat Ibnu Abbas r.a. dinyatakan bahawa dengan arahan Jibrail a.s. itu, para malaikat akan bertebaran dan tidak ada satu rumah pun samada kecil atau besar, di darat atau di laut yang ada di dalamnya orang-orang beriman kecuali mereka memasukinya untuk bersalaman tetapi mereka tidak akan masuk ke rumah yang ada di dalamnya anjing, khinzir, orang berhadas besar kerana zina ataupun gambar.

Berapa banyak rumah orang Islam yang ada tergantung gambar sebagai perhiasan lalu mereka merugikan diri mereka dengan tangan-tangan mereka sendiri dari ni'mat rahmat yang begitu besar. Orang yang menggantungkan gambar hanyalah seorang tetapi dia menjadi sebab penghalang dari masuknya malaikat rahmat ke rumah itu lalu dia telah merugikan seluruh isi rumah itu bersamanya.

...... bersambung lagi, Insya-Allah.

H.M.Subuh

Hits: