Gani cuba reka bukti: peguam

KUALA Lumpur: Abdul Gani Patail, ketika mengetuai pendakwaan terhadap bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan sahaja kontroversi tetapi menerima kecaman masyarakat.

Puncak kutukan awam itu timbul pada lewat November 1998 apabila Zainur Zakaria, seorang peguam Anwar, didapati bersalah menghina mahkamah apabila cuba mengemukakan kenyataan bahawa wujud konspirasi peringkat tertinggi untuk menjatuhkan pemimpin kanan negara itu.

Dalam permohonannya, Zainur melampirkan kenyataan bersumpah dan surat Manjeet Singh Dillon, peguam Datuk S Nallakarupan, yang mendakwa Abdul Gani bercadang mereka-reka bukti terhadap salah laku seks Anwar.

"Sebagai ganti untuk mengurangkan tuduhan kepada Akta Senjata Api [daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri], beliau [Abdul Gani] mahukan Nallakaruppan bekerjasama dengan mereka [kumpulan pendakwa] dan memberi maklumat mengenai Anwar Ibrahim, khususnya mengenai [hubungan seks Anwar dengan] beberapa isteri orang. Datuk [Abdul] Gani sering mengubah-ubah jumlah wanita terbabit dan akhirnya menetapkannya kepada lima orang: tiga isteri orang dan dua belum berkahwin," surat Manjeet kepada Peguam Negara waktu itu, Mohtar Abdullah, dipetik.

Surat bertarikh 12 Oktober itu menyebut: "Beliau [Abdul Gani] juga berharap Nallakaruppan memberikan keterangan [dalam kes Anwar] berkaitan dengan perempuan-perempuan ini."

Menurut Manjeet lagi, beliau berasa sangat terkejut kerana Abdul Gani sanggup mempertaruhkan nyawa anak guamnya (pertuduhan di bawah akta ISA membawa hukuman mati) dengan mencipta bukti palsu terhadap Anwar.

Hakim mahkamah tinggi Kuala Lumpur, Augustine Paul, bagaimanapun berhujah permohonan Zainur itu tidak berasas dan mengarahkan peguam itu memohon maaf. Zainur enggan, lalu beliau dihukum tiga bulan penjara pada 30 November.

Mahkamah Rayuan telah menolak permohonan Zainur, juga pernah menjawat Naib Presiden Keadilan, untuk mengetepikan hukuman itu pada 5 September tahun lalu.

Bagaimanapun rayuannya diterima oleh Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun lalu. Tiga hakim kanan ketika membacakan keputusan itu bukan sahaja mempertikaikan Augustine Paul tetapi turut menegaskan kepentingan hakim itu menyelidik tindakan Abdul Ghani untuk mencipta bukti palsu.

Panel itu dipengerusikan oleh Ketua Hakim bagi Sabah dan Sarawak, Steve Shim Lip Kiong dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Abdul Malek Ahmad dan Haidar Mohamed Noor.BK

Sumber: Berita KeADILan

Hits: