KWSP patut memperkenalkan dua tabung pelaburan yang berasingan bagi ekuiti untuk memenuhi kehendak ahli-ahli KWSP yang tidak inginkan simpanan mereka dilaburkan di dalam saham perjudian, tembakau dan arak serta menghormati pilihan ahli-ahli KWSP yang inginkan pulangan tertinggi bagi simpanan mereka dengan melabur dalam saham “haram”

________________________________________________________

Kenyataan Media oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Kit Siang
________________________________________________________

Pulau Pinang, 3 Dis – Pengurus perhubungan awam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Nik Affendi Jaafar mengumumkan semalam bahawa KWSP telah melantik, mulai 1 Disember 2001, tiga penasihat syariah kepada panel pelaburannya untuk “memastikan bahawa kegiatan-kegiatan pelaburan Islam agensi tersebut dikendalikan sejajar dengan prinsip-prinsip syariah.”

Ketiga-tiga penasihat itu adalah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Haji Md Hashim Haji Yahya, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman dan Dekan Pusat Pengajian Lepasan Ijazah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Mohd Daud Bakar.

Walau bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chan Kong Choy memberitahu Parlimen Rabu lepas (28 November 2001) bahawa KWSP telah memperkenalkan konsep “haram” dan “halal” bagi syer dan saham selepas melantik perunding “amat fasih dalam undang-undang syariah sebagai penasihat bagi portfolio pelaburan tabung itu” dan bahawa KWSP tidak akan melabur lagi di dalam “saham berdosa” tersebut serta akan melepaskan pegangannya ke atas “saham berdosa” ini selepas pasaran saham menunjukkan peningkatan.

Chan membuat pendedahan ini di Parlimen Rabu lepas apabila beliau menjawab suatu soalan oleh Ketua Pemuda PAS dan Ahli Parlimen kawasan Pokok Sena, Mahfuz Omar tentang bagaimana pelaburan KWSP di dalam British American Tobacco, Genting, Resorts World dan Guiness Anchor dapat diselaraskan dengan dakwaan kerajaan bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam.

Adalah jelas sekarang bahawa Chan sengaja memberikan tanggapan yang salah kepada Parlimen dan menyalahgunakan hak istimewa Parlimennya Rabu lalu apabila beliau memberitahu Ahli-ahli Parlimen bahawa KWSP telah melantik penasihat syariah (Malaysiakini, 28 November 2001) padahal ketiga-tiga penasihat tersebut hanya dilantik pada hari Sabtu, iaitu 1 Disember.

Jumaat lepas, saya telah membantah perubahan sewenang-wenangnya di dalam dasar pelaburan KWSP dengan memperkenalkan konsep “haram” dan “halal” kepada saham dan syer tanpa meminta pandangan 10 juta penyumbang KWSP dan saya telah menuntut untuk mengetahui bilakah Lembaga KWSP membuat keputusan dasar sedemikian untuk tidak lagi melakukan apa-apa pelaburan dalam saham “haram” dan melepaskan segala “saham berdosa”, siapakah perunding yang dilantik oleh KWSP dan berapa banyakkah gaji yang dibayar kepada mereka.

Pengumuman Nik Affendi jelasnya merupakan maklum balas kepada pertanyaan saya.

Sungguhpun demikian, Chan Kong Choy telah terperangkap dalam tindakannya memberikan tanggapan salah kepada Ahli-ahli Parlimen Rabu lepas dan beliau patut meminta maaf di atas penyalahgunaan hak istimewa Parlimen dalam menyatakan bahawa KWSP telah melantik penasihat syariah untuk memperkenalkan konsep “haram” dan “halal” bagi ekuiti sedangkan ketiga-tiga penasihat syariah hanya dilantik empat hari kemudian.

10 juta penyumbang KWSP yang mempunyai sejumlah wang RM200 bilion di dalam KWSP, yang mana RM40 bilion daripadanya dilabur dalam ekuiti, berhak diberitahu dan dirunding sebelum suatu dasar KWSP baru diperkenalkan yang membezakan saham dan syer kepada kategori “haram” dan “halal”.

Sementara pandangan ahli-ahli KWSP yang tidak mahu wang KWSP mereka dilaburkan dalam saham perjudian, tembakau dan arak harus dihormati sepenuhnya, kehendak ahli-ahli KWSP yang mahukan pelaburan sedemikian bagi menjamin pulangan tinggi untuk simpanan mereka juga berhak dihormati sepenuhnya.

KWSP patut memperkenalkan dua tabung pelaburan yang berasingan bagi ekuiti untuk memenuhi kehendak ahli-ahli KWSP yang tidak inginkan simpanan mereka dilaburkan di dalam saham perjudian, tembakau dan arak serta menghormati pilihan ahli-ahli KWSP yang inginkan pulangan tertinggi bagi simpanan mereka dengan melabur dalam saham “haram”.

Mahfuz silap apabila beliau berkata di Parlimen semasa sesi soal jawab pada hari Rabu bahawa KWSP memiliki saham bernilai RM571.1 juta di British American Tobacco (BAT), oleh sebab menurut maklumat saya, KWSP sekarang memegang kira-kira 20 juta syer BAT yang bernilai RM685 juta.
 
Tampaknya terdapat sesuatu yang “mencurigakan” dalam akauntabiliti dan ketelusan KWSP kepada 10 juta ahli KWSP, apabila Timbalan Menteri Kewangan dapat memberikan tanggapan salah kepada Ahli-ahli Parlimen pada Rabu lepas mengenai perlantikan penasihat syariah oleh KWSP yang bercanggah dengan pengumuman pengurus perhubungan awam KWSP empat hari berikutnya mengenai perlantikan tiga penasihat syariah yang berkuatkuasa hanya dari 1 Disember 2001.

Ahli-ahli KWSP dan rakyat Malaysia berhak tahu siapakah yang meluluskan perlantikan ketiga-tiga perunding syariah tersebut, sama ada oleh Lembaga KWSP ataupun hanya oleh Panel Pelaburan KWSP tanpa pengetahuan atau kebenaran Lembaga KWSP dan wakil-wakil pekerja di Lembaga KWSP, seperti Presiden MTUC, Senator Zainal Rampak, Presiden CUEPACS, N. Sivasubramaniam dan Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Bank Sarawak, Andrew Lo Kian Nyan.

Adakah ini dasar KWSP baru yang digunapakai selepas pengumuman Perdana Menteri pada persidangan perwakilan Gerakan 29 September 2001 supaya Chan Kong Choy boleh menjawab pertanyaan PAS di Parlimen tentang bagaimana pelaburan KWSP di dalam saham “haram” seperti kaunter perjudian, tembakau dan arak dapat diselaraskan dengan dakwaan kerajaan bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam?

Jemaah Menteri, pada mesyuarat hari Rabunya, harus mengkaji semula dasar KWSP baru untuk memperkenalkan konsep “halal” dan “haram” bagi saham dan syer dan memastikan bahawa dasar KWSP baru itu tidak akan menjejaskan kepentingan ahli-ahli KWSP yang inginkan dividen yang lebih tinggi dengan melaburkan simpanan mereka di dalam saham perjudian, tembakau dan arak, baik BAT, Genting, Resorts World, Tanjong, Berjaya Sports Toto, Magnum Bhd, Guiness Anchor ataupun Carlsberg.

Hits: