Kenyataan Akhbar
Setiausaha
Agung Parti Keadilan Nasional
Sdr. Sahri Bahari
Mengenai
Kenaikan Kadar Tol Lebuhraya PLUS
Rakyat
negara ini dikejutkan sekali lagi dengan pengumuman yang melibatkan kenaikan
mendadak perbelanjaan harian mereka oleh pihak kerajaan. Dalam belanjawan yang
dibentangkan pada 19 Oktober lalu, rakyat terpaksa berhadapan dengan kenaikan
harga petrol. Kini rakyat terutamanya pengguna jalan raya harus pula menanggung
satu lagi kos iaitu kenaikan kadar tol Lebuhraya PLUS sebanyak 10%.
Setiap
kali kenaikan kadar tol diumumkan oleh kerajaan, alasan yang diberikan tetap
sama, iaitu kadar tol yang sedia ada sudah lama tidak dikaji dan kadar tol yang
dinaikkan masih rendah berbanding dengan negara-negara lain. Malah kerajaan
digambarkan terpaksa membayar gantirugi kos kepada PLUS jika kenaikan ini tidak
dibuat.
Persoalannya,
Menteri Kerjaraya, Dato’ Seri S. Samy Vellu pernah memberi jaminan bahawa
kadar tol Lebuhraya PLUS tidak akan dinaikkan sehingga tahun 2004. Jaminan ini
sedikit sebanyak melegakan rakyat sebelum ini. Namun dengan pengumuman baru ini,
rakyat tidak dapat lagi memegang
sebarang janji yang diberikan oleh kerajaan.
Namun
dalam masa yang sama, KeADILan ingin mengingatkan Menteri Kerjaraya agar tidak
cuba mencari keuntungan politik daripada pengumuman yang dibuat. Berdasarkan
pengalaman, setelah pengumuman dibuat, rakyat akan membantah dan kerajaan pula
menarik balik kenaikan dan mendabik dada kononnya bersimpati dengan keluhan
rakyat.
Menangani
isu kenaikan tol ini bukan isu politik, sebaliknya persoalan ini harus
diselesaikan oleh kerajaan melalui kaedah yang munasabah dan bersifat jangka
panjang. Penggunaan wang negara untuk menyelamatkan syarikat-syarikat yang nazak
terutamanya disebabkan kelemahan pengurusan, seharusnya dihentikan dan wang
tersebut jauh lebih baik digunakan untuk kepentingan rakyat.
Kenaikan kadar tol ini
benar-benar membebankan rakyat terutamanya pengguna jalan raya. Kita khuatir
dengan kenaikan kadar tol ini akan memberikan sebab untuk kenaikan harga barang
dan perkhidmatan. Kenaikan harga petrol ditambah dengan kenaikan kadar tol akan
memberikan alasan yang ditunggu-tunggu untuk menaikkan harga barang dan
perkhidmatan. Jika ini berlaku kerajaanlah yang bertanggungjawab menyumbang
kepada kenaikan mendadak kadar inflasi dan beban perbelanjaan rakyat.
Malah,
kenaikan gaji kakitangan kerajaan yang diumumkan baru-baru ini tidak membawa
sebarang makna kerana kenaikan itu pada akhirnya terpaksa digunakan semula untuk
menampung kenaikan demi kenaikan harga yang diumumkan oleh kerajaan.
KeADILan
berpendapat, kerajaan harus menghentikan kenaikan kadar tol ini. Malah satu
kaedah yang lebih munasabah dan berbentuk jangka panjang perlu diambil untuk
mengelakkan kenaikan ini terus membebani rakyat pada masa depan.
Terima
kasih
Sahri
Bahari
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Nasional
7 Disember 2001