Tazkirah Ramadhan ( 40 ) : Hadis Fadhilat Ramadhan - 10

Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanyasanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja, Tuhan seru sekalian alam. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarganya.

Alhamdulillah, kita sudah berada pada sepuloh hari terakhir Ramadhan di mana Allah s.w.t. telah menutup pintu neraka kepada hamba-hambaNya yang soleh dan beriman. Kita akan memepelajari beberapa hadis yang menekankan betapa pentingnya beriktikaf dalam masa sepuloh hari yang terakhir ini. Ini adalah untuk memastikan kita mendapat keberkatan pada malam Lailatul-Qadr. Suasana berada di rumah mungkin agak sukar bagi kita untuk mendapatkannya sepertimana yang telah dijelaskan pada siri tazkirah yang lepas.

HADIS 10 : ( Terjemahan )

Daripada Ibnu 'Abbas r.a. berkata bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
' Orang yang beriktikaf bahawa dia terpelihara dari dosa-dosa sedangkan dia diberi ganjaran amal-amal kebaikan  seperti orang yang melakukan kebaikan-kebaikan itu kesemuanya'.

Huraian Ringkas.

Dua faedah I'tikaf yang khusus telah dinyatakan di dalam hadis ini.

Pertama, dengan sebab I'tikaf seseorang itu akan terpelihara dari dosa-dosa. Kalau bukan dalam keadaan I'tikaf, kadang-kadang akan wujud keadaan yang mendorong seseorang itu terlibat dengan dosa kerana kecuaian atau tersilap dan betapa besarnya kezaliman seseorang apabila dia melakukan maksiat di waktu yang begitu berkat. Disebabkan I'tikaf, seseorang itu akan terpelihara dan terselamat dari keadaan tersebut.

Kedua, disebabkan I'tikaf banyak sekali amal-amal kebaikan seperti mengiringi jenazah, menziarahi orang sakit dan lain-lain tidak dapat dilakukan oleh orang yang beriktikaf. Oleh kerana itu ganjaran mana-mana amal yang tidak dapat dibuat kerana berada di dalam keadaan beri'ktikaf masih juga terus didapati walaupun ia tidak dapat dilakukan. Allahu Akbar! Betapa besar rahmat dan limpah kurnia Allah s.w.t. Seseorang itu hanya melakukan satu ibadat tetapi dia mendapat ganjaran untuk sepuluh amalan.

Semoga huraian ringkas ini dapat jua memberi perangsang kepada kita, Insya-Allah.

...... bersambung lagi, Insya-Allah.

H.M.Subuh

Hits: