Pakistan  Selepas  Kejatuhan Kabul

(Pakistan After The Fall of Kabul)

 

 

Sejarah yang panjang sudah pun menebarkan bayangnya  menyelimuti Pakistan dan jirannya  Afghanistan. Kegagalan  menyelesaikan masalah politik yang membabitkan penyerahan-keluar (ekstradisi)  anggota kumpulan al-Qa'eda menyebabkan beraraknya mendung perang  di rantau itu. Episod  September 11 telah merubah percaturan politiknya. Pengebom B-52 Amerika pun mulakan cirit-biritnya di angkasa Afghanistan menggugurkan  letupan berbahaya  untuk menghujani bumi sebuah negara yang memang amat berpengalaman dengan kisah perang tetapi amat cetek pengetahuannya untuk berdamai.

 

 

 Bergolaklah  dunia  politik Pakistan. Ramai manusia yang tergerak  menyumbang   wang simpanan  untuk bersedekah ataupun merelakan anak-anak muda mereka pergi berjuang  ke medan perang kerana “mempertahankan Islam”. Mereka  diajar untuk mempercayai betapa  kemenangan ada dalam genggaman “sebaik sahaja pertempuran darat bermula. "Kerana ketaksuban untuk sama-sama dapat menumpaskan  satu kuasa besar,   anak-anak muda yang terpedaya  telah  bergegas menuju ke khemah tukang putar alam yang menjanjikan kemenangan itu.  Rencana perang sudah pun disediakan, ramai orang yang dapat mengagak apa kesudahannya. Malahan, ketika Islamabad menjadi  saksi  peristiwa pemergian anak-anak muda  itu, ia sudah mula membincangkan  perihal  sebuah  kerajaan  pasca-Taliban.

 

 

Puak Taliban memang dijangka  akan kalah teruk di tangan kuasa ketenteraan yang lebih   hebat darinya. Anak-anak muda  yang baru melangkah kaki di medan perang sudah pun dilupakan.  Peperangan yang bermula  disambut oleh militia Taliban yang menghilang di perkampungannya. Pejuang Arab terus  berperang dengan gagah ataupun lari mencari gua di pergunungan tanpa menyerah kalah. Anak-anak Pakistan yang  tidak memahami  persekitaran gunung,  menemui jalan buntu, tertangkap di  situ untuk terus dilutu. Para pemimpin mereka di Pakistan yang pada mulanya   bersuara lantang dan garang  agar mereka pergi berperang, sudah pun ditangkap untuk “tahanan rumah" dan terus  duduk bersenang-lenang.

 

Ketika Pakatan Utara bergerak mara, mayat anak-anak muda Pakistan bergelimpangan menyambut kedatangan mereka.  Pemergian mereka dulu, tidak ada sesiapa yang  menahannya, kepulangan mayat mereka tidak ada sesiapa yang menyambutnya. Terabailah mereka tanpa penentuannya. Tidak siapa yang tahu apa jadinya kepada  janda perang  dan anak yatim Arab selain berita  mereka ditegah memasuki Pakistan  Kekalahan memang ada  rasa pahitnya. Demikianlah yang terjadi apabila kemenangan awal di medan perang, dan sambutan hingar-bangar untuk  menyerbu medan perang semakin tumpul dan pudar  bunyinya. Muncullah keadaan yang senyap sunyi. Tidak ramai yang  menuding jari terhadap mereka yang bersuara lantang  menggalakkan  anak-anak muda  pergi  berjuang. Tidak ramai yang memikirkan ibu-ibu   yang kehilangan anak muda  mereka  ataupun  janda  muda dan anak-anak yang kehilangan bapanya.

 

 

Perang Afghan yang kedua ini  adalah satu tragedi besar kepada  dunia Islam, kerana ia tidak sepatutnya berlaku.  Ia bermula di zaman  Presiden Zia ketika madrasah digalakkan untuk bercambah  dan menjadi  kancah permulaan  melindungi  anak-anak muda  untuk membesar dan kemudiannya  memegang senjata untuk mengejar kematian, kemusnahan dan  keaiban.

 

Puak Taliban tidak dapat apa pun  dalam keazaman  mereka  menolak  politik berdamai. Segala suara lantang yang dulunya  galak mempertahankan mereka, kini sudah ghaib entah kemana. Kemenangan  memang ramai tukang soraknya, kekalahan hanya layak untuk si bisu sahaja. Namun, mereka yang  menyokong Taliban dulu untuk terus  berdegil  tidak menentu kini mesti menanggung beban  terhadap masalah peristiwa yang sudah berlaku.  Mereka bertanggungjawab memberikan  penjelasan kenapa  sanggup merangsang anak muda pergi berperang sedangkan kemenangan yang dijanjikan  terlalu samar  rupanya.

 

Perang Taliban itu telah menarik minat dunia kepada Pakistan. Sekaligus mentari mula menyinar di sebalik awan yang masih enggan beredar.  Tumpuan dunia ialah  berlapikkan keganasan.  Adalah satu  kesilapan apabila kerajaan tentera Pakistan  melihatkan  simpati dunia   sejagat itu  sebagai satu jalan menyelesaikan masalah Pakistan.

 

Ketika  Zia memerintah dulu, longgokan  dana asing  gagal  menyelesaikan  krisis dalaman  negara.  Adalah  tidak mungkin, cara yang sama di mana dana  asing datang mencurah dapat menyelesaikan banyak  masalah.  Akhirnya nanti, setiap negara perlu  berdikari sendirian. Lainlah kalau tata susila  kehidupan bangsa itu dapat  dianyam semula  mengikut corak  kehendak zaman, sanggaan dari luar negara hanya mampu bertahan pada hadnya.

 

Walaupun Islamabad menganggotai  sekutu sejagat memerangi keganasan,  ia  gagal  merundingkan  dividen ekonomi untuk  rakyatnya.  Ketika itu  barat mempunyai  falsafahnya “Apa yang boleh kita  lakukan untuk Islamabad?”  Dengan  terjalin   kedamaian di Bonn, Mantra yang baru akan bersuara: “Apa yang boleh kami lakukan  untuk Kabul?”

 

Adalah sesuatu kenaifan, mengandaikan betapa berbilion dollar yang  akan dicurahkan  di Kabul  akan dialirkan kepada para kontraktor Pakistan. Ketika Taliban mentadbir Kabul dulu, ia telah memperlekeh  Pakatan Utara dan ramai orang  etnik Pashtun. Memang tidak ada rasa sefahaman antara Kabul dan Islamabad. Disebabkan kesilapan rencana ini, regim tentera  Pakistan terpaksa  merayu kepada Presiden  AS   untuk  diberi peluang sedikit habuan  reja roti  dari meja makan kerajaan pasca Taliban.

 

 Di tahap awalan sokongan Amerika  pada September dulu, memberi Islamabad satu semangat berani  untuk memberi amaran kepada India   tidak cuba mencampuri masalah Afghanistan. Sayang, perang Taliban berakhir begitu cepat sekali  untuk  kemudahan Islamabad. General Dostum di  Utara, dan bukannya General Musharraf di selatan,   kini menjadi pemangkin  yang  menyebabkan Taliban berundur.

 

Islamabad masih  terlalu bergantung kepada sokongan negara luar.  Inilah yang memesongnya daripada menghadapi kenyataan  dalam negara.  Walaupun  negara Barat terus  mencurahkan  dana  untuk  mengisi Perbendaharaan  yang kontang, kegawatan ekonomi masih merudum juga.  Pasaran modal  tidak yakin dengan  pentadbiran yang dipimpin oleh seorang diktator tentera  menguruskan negara yang  mempunyai  sempadan yang bergolak di bahagian utara  dan timur, apatah lagi kalau  pentadbiran  negara  ketandusan  hala tuju untuk memerintah.

 

Perdagangan ialah  kunci utama untuk menggerakkan ekonomi negara tetapi itulah  kunci yang jauh menghilang  di antara  madrasah di Pakistan. Di sini  penghuni lelakinya  diajar  mengendali senjata  dan bukannya  mempelajari  ilmu perniagaan. Namun,  pengajaran abad ke-20 ialah kenyataan   kuasa ekonomi. Untuk menjadi satu ekonomi besar kita memerlukan banyak pra-syarat seperti  kebebasan,  kedaulatan undang-undang,  peraturan yang mesra  dan  saingan yang terbuka. Kepentingan  ekonomi memainkan peranan yang kritikal dalam pembinaan  perhubungan seranta yang mesra. Hubungan perdagangan  yang meningkat, menyuburkan  perihal kedudukan ekonomi para rakan  perniagaan.

 

Antara beberapa peluang terbesar dunia perdagangan dan perkembangannya  adalah   pasaran  yang  membangun di Asia Tenggara.  Sebelum British menakluk rantau itu, ia merupakan rantau yang paling terkaya di dunia.  Ini  boleh dirangkul kembali  dengan menganjurkan kedamaian  melalui  pengurusan konflik.

 

Hampir  satu per-empat penduduk dunia  menghuni  rantau Asia Tenggara, dengan pendapatan purata kesemua  kurang dari  dua persen pendapatan kasar dunia.  Per kapitanya yang sekitar $430 hanya merupakan 10 persen  purata  dunia. Angka yang menyedihkan ini  menyungkup  kisah yang terpendam  mengenai kanak-kanak yang kelaparan, dan kebuluran. Dari kisah itu semua terpendamnya raungan  kaum wanita dan penyeksaan kaum bapa

 

Yang lebih menekan,  hampir setengah penduduk  wilayah ini, sekitar 45 persen tinggal dalam kemiskinan  dengan pendapatan sekadar  satu dollar setiap hari.  Kalaulah diambil-kira mereka yang hidup dengan kadar dua dollar setiap hari, angka itu akan mencanak naiknya.

 

Kajian akademik mengaitkan   konflik dan  kemiskinan. Negara yang maju  menguruskan  konflik untuk mencari satu sistem  yang dapat memenuhi konsensus, termasuk menghormati kehendak  rakyat, kedaulatan  undang-undang,  pilihan raya yang bersih  dan  sistem perundangan yang adil dan telus. Konsensus seperti itu  masih   dalam pembangunannya  di Pakistan. Memang wujud mereka yang bersedia menerima keputusan pilihan raya yang dibantu oleh pengundi hantu dan  penghakiman yang dikatakan untuk  “kepentingan negara dulu.”  Yang menyedihkan kita, kepentingan negara itu, membawa erti mengikut tafsiran mereka yang kalah dan  teraib.  Apabila kita saksikan   kisah  perlaksanaan   yang  dikatakan berunsur “kepentingan negara”  di Pakistan Timur pada 1971,  kisah  menghukum-gantung seorang  perdana menteri pada tahun 1971, kekalahan di Stachin pada 1987, Kargil pada 1999,  dan ketaksuban untuk berdiri tegap menyokong   Taliban.

 

 “Kepentingan negara” itu sudah menjadi hak keistimewaan  pihak  pentadbiran. Kerana itu tidak ada lagi perdebatan gara-gara dibisukan, sehinggakan Parlimen sudah tidak  mempunyai  banyak peranan. Sesiapa yang mencabar  apa yang disebut ‘kepentingan negara”  itu dicop sebagai  penderhaka, yang seharusnya dinafikan hak kerakyatannya.  Dasar sewel seperti ini menyemai satu budaya  tidak toleransi. Kerana itu  budaya itu seharusnya dicabar  seandainya Pakistan berangan-angan mahu menjadi sebuah negara  yang kental dengan ketahanan dalamannya. Dasar  yang boleh menjerumuskan negara untuk berperang, yang dirancang untuk menarik minat sokongan luar  harus dihentikan.

 

Pentadbiran negara yang kini bercelaru, memerlukan nafas baru. Gelagat kerajaan memerintah merupakan sebahagian besar pembangunan sumber manusia. Dalam dunia pengurusan moden, para pelajar diberitahu satu falsafah,  bahawa  pelanggan itu berada di pihak yang benar. Ketegasan segelintir  panglima tentera menolak pendapat para pengundi  menjadikan para panglima tentera itu sebahagian  masalah negara.

 

Proses pilihan raya  sebenarnya  mencuit perjalanan proses demokrasi. Ia memberi tumpuan ke atas  isu  hak asasi  manusia, kesihatan dan pelajaran.  Inilah yang  membangunkan negara  untuk keluar jauh daripada penindasan, kekalahan dan keaiban. Inilah dia pra-syarat yang penting  dalam pembangunan negara dan  rancangan  kebajikan  ekonominya.

 

Kedamaian di Asia Selatan  akan mencetuskan  kekuatan ekonomi yang hebat. Pembangunan sumber  manusia  mampu  menjadikan Asia Selatan  satu kubu kuat  aktibiti  ekonomi.  Pakistan masa kini, berada di satu kedudukan strategi dunia. Ini bukannya satu perkara yang baru.  Setiap dekad  memberi peluang  kepada Pakistan  untuk memainkan  kad strategi untuk bermuslihat.  Namun, dekad demi dekad,  segala  peluang baik itu  tidak dapat dimengertikan  untuk membawa  kebaikan kepada  rakyat Pakistan.

 

Anehnya, beberapa  pegawai kanan tentera tersilap perkiraan  mengenai perkara yang menyangkuti ketenteraan.  Pada 1990,  beberapa panglima tentera meramalkan   Iraq akan berubah  menjadi satu Vietnam bikinan Amerika. Pada kali ini, mereka meramalkan Amerika  akan terperangkap  oleh Taliban sebaik sahaja  peperangan darat bermula. Dua tahun dulu mereka meramalkan pertempuran di Kargil akan memberi kemenangan kepada kita.

 

Kepimpinan politik yang daif dari segi latihan ketenteraan, telah  berada di pihak yang betul ketika memberi amaran betapa  satu kuasa militari yang sungguh kuat boleh  mencapai kejayaan mengalahkan satu  kumpulan tentera belasahan. Ini amat berbeza dengan ramalan beberapa panglima  ternama  dan kepimpinan politik terhadap tiga isu  utama ketika Kuwait dicerobohi oleh Iraq pada 1990, pertempuran di Kargil pada 1999 dan Perang Kabul pada 2001. Semua ini menyerlahkan betapa negara memerlukan panduan politiknya.  Sejarah telah  merakamkan betapa  peperangan itu  adalah satu bisnes yang begitu hebat untuk dibiarkan  kepada para panglima tentera secara bulat-bulat.

 

Hari ini para panglima tentera yang memerintah mungkin mengharapkan imbuhan daripada  Barat kerana “kelakuan baik” mereka  dengan melakukan putar-belit  keputusan pilihan raya  yang akan dijadualkan pada  Oktober 2002. Tetapi, Pakistan hanya mampu  menonjol di rantau ini  dengan parameter  politik yang betul  untuk menentukan  hak asasi manusia, kemewahan ekonomi negara,  dan  semua harapan ini mesti  menjadi kenyataan.

 

Pakistan layak menimbangkan pilihan ketiga  antara yang disokong oleh Barat dan yang disokong oleh para ulama ataupun yang diperintah oleh seorang diktator. Sebahagian besar meletupnya revolusi rakyat di Iran  yang dirangsang oleh Ayatollah  pada 1979 dulu,  adalah disebabkan ketiadaan pilihan  yang ketiga.  Rakyat Pakistan harus sedar bahawa  kestabilan politik, dan pemulihan ekonomi  hanya boleh dimulakan apabila para panglima tentera balik semula menghuni   berek mereka dan menerima-pakai bahawa si “pengundi itu  memang betul selalu”.

 

 

Untuk Pakistan dan dunia Islam,  mengembalikan kegemilangan  harta pusaka  yang hilang  terletak kepada keupayaan kita  menegakkan kembali   tiang seri kedamaian,  kebebasan  dan hak asasi manusia. Tanpa nisbah yang sungguh  bermakna itu,  peperangan membasmi keganasan  di rantau ini  mungkin dapat ditamatkan tetapi  peperangan membasmi keganasan pemerintah  adalah sesuatu   yang  perlu dimenangi.

 

 

Tamat.

Hits: