Kematian  Asiaweek  Yang Memang Dinantikan

(The death of Asiaweek was one waiting to  happen)

 

Chiaroscuro. 8/12/01

 

 

Asiaweek mati kekejangan  setelah nazak  sejak Mei, apabila syarikat induknya, AOL  TimeWarner  merengek melihatkan  penyata kewangan yang tidak sihat dan mendapati  Asiaweek adalah salah satu penyebabnya.  Kerana itu, apabila Asiaweek direhatkan untuk selama-lamanya tidak ramai orang yang  terkejut dengan tindakan itu, walaupun   kepantasan  cara  mereka  mengenepikan  para penulis dan koresponden serta pekerja yang lama berkhidmat dengannya  memang  sesuatu yang tidak boleh dimaafkan.

 

Cara Asiaweek merana  tidak banyak bezanya dengan  cara yang pernah dilalui oleh  Far Eastern EconomicREview, kerana sebagai  satu  sayap  kepada satu  empayar penerbitan  yang diketuai oleh  para petugas yang bertindak laksana robot lebih mementingkan keuntungan  berbanding  kualiti berita yang diisi dalamnya.  Apabila kadar  iklan menurun dan wang masuk mula terhangguk-hangguk, ia pun dicantas dengan  berkesan laksana operasi pembedahan.

 

Satu ketika dulu  apabila Time Inc. Bertindak  mengambil alih Asiaweek, ia tidak mahu mengambil alih sektor edisi Cina,( kerana seperti saya diberitahu,  pada waktu itu, orang di New York  tidak boleh membacanya). Inilah sebab musabab kenapa Asiaweek  terpaksa ditutup  minggu lalu.

 

Asiaweek and Far Eastern Economic Review dapat bertahan hanya  kerana ada gunanya  yang memenuhi  agenda global. Apabila   ada keputusan yang mengatakan berakhirnya kegunaan  seperti itu, selalunya disebabkan  pendapatan jualan iklan yang merudum,  ia pun  disembelih.  Jarang sekali  ia dijual kepada pihak lain. Kos menghidupkannya semula ke tahap kegemilangannya  adalah terlalu tinggi  untuk  menarik  minat seorang penerbit yang baik di rantau  ini.

 

 

Hakikatnya yang  lumrah ialah, kedua-dua majalah ini tidak lagi menjadi pemangkin fikiran di Asia.  Dulu,  mereka memberikan  pandangan   yang tidak diterbitkan oleh   majalah kepunyaan Barat. Dua majalah itu kehilangan sinarnya apabila para editor dan  pengasasnya  disingkirkan secara begitu  kejam seperti yang  dilakukan kepada para koresponden mereka

 

 

Perubahan Tumpuan  Yang  Menghilang

 

 

Seorang koresponden  di Kuala Lumpur  mempunyai hanya 24 jam untuk  meninggalkan Malaysia, dan diberitahu kalau  dia terus  tinggal juga, segala perbelanjaan adalah tanggungannya. Beliau ialah seorang warga Sri Lanka yang tidak punya pilihan melainkan mematuhinya dan keluar juga.

 

Di waktu yang  sama koresponden Far EasternREview yang baru pulang dari makan tengah  hari bertemu seorang tetamu menunggu  di pejabatnya. Mereka tidak pernah berkenalan sebelum itu. Tidak lama kemudian, tetamu itu menyebut dia adalah  daripada Dow Jones  tuan punya FEER dan mahukan pejabat itu ditutup serta merta dan koeresponden itu diarahkan pergi ke Asian Wall Street Journal. Di sanalah dia menyambung tugasnya  dengan arahan para editor di Hong Kong  yang membuat penentuan apa cerita yang boleh ditulisnya dan apakah tulisan yang boleh diterima  untuk siaran. Sudah tentu  ini tidak akan  melambangkan masa depan  majalah itu seterusnya.

 

Kegemilangan  dua majalah itu  bersinar sebelum diambil oleh  puak daripada Amerika.  Asiaweek telah diasaskan oleh  lima bekas kakitangan  Far Eastern Economic Review. Mereka adalah TJS  George,  Michael O’Neill (yang menjadi mendiang pada akhir 1990-an). Graham Wilde, Cheng Huan ( kini  bertugas sebagai Queen Council di Hong Kong) dan penulis rencana ini.

 

Apabila Reader’s Digest  mengambilalih Asiaweek  setelah para pembiaya merungut  disebabkan keadaan kewangan Asiaweek yang tidak kukuh,  saya terpaksa berundur  dari situ kerana dianggap orang yang  tidak ‘ternama’. Tidak lama kemudian Wilde dan Chiang Huan mengikut  langkah saya diekori oleh  George apabila Time Inc masuk untuk membeli; dan O’Neill dipecat  apabila mereka sudah semakin perkasa.

 

Majalah itu menukar haluan tumpuannya, dan menjadi semakin  berunsur  Amerikan, menerbitkan bahan bacaan yang mirip pemahaman orang  Amerika.  Putaran hala  itu telah menarik  pembaca baru  dan pengiklan, tetapi semangat dua majalah asal itu sudah menghilang, sehingga tidak lagi menjadi  majalah yang diminati oleh orang.

 

Cara orang  di rantau ini diajar  melalui penulisan, menampakkan keangkuhan para editor  dan  penerbitnya yang meniru gelagat  majalah Amerika yang  mahu mengajar orang Asia. Saya menghentikan tempahan tahunan saya  setahun  dulu,  dan sekali-sekala ada juga membacanya kalau ada  artikel yang menarik disiarkan.

 

Apabila mereka berubah mendapatkan  eksekutif sejagat di Asia,  mereka sekaligus menafikan   keinginan  pembaca Asia yang mencari bahan bacaan yang  tidak dapat dibaca di  negara sendiri. Tetapi itu bukannya  tujuan sebenar mereka, yang tertumpu untuk meraih keuntungan dan kerana itu sanggup akur kepada tekanan kerajaan.

 

Pertembungan  Budaya

 

Bukanlah sesuatu yang ganjil apabila  berlakunya pertembungan antara sebuah majalah tempatan yang dimiliki oleh  orang Amerika  dengan sebuah majalah Amerika yang  diedarkan di luar negara. Saya mula menulis  sebagai seorang ‘stringer’ untuk  Newsweek di Malaysia selama dua dekad. Ketika saya mulakan tugas pada  1970-an, Newsweek mempunyai satu edisi  versi seberang laut yang berbeza dengan  edaran tempatan. Terdapat satu  seksyen di Asia  yang membuat liputan rantau ini dengan  tajam dan menyeluruh.

 

Kemudian muncul kisah kekalahan Amerika di Vietnam, dan terdapat dua liputan yang berbeza antara dua  versi majalah itu. Analisis yang mendalam tidak disiarkan dalam versi Amerika menyebabkan  pertelagahan di  ibu pejabat  sehinggakan  versi antarabangsa itu terpaksa  menjadi tumpul  isinya sehinggalah hari  ini.

 

Asiaweek dan Far Eastern Economic Review  menjadi wadah yang ideal  untuk mmebolehkan  para editor dan eksekutif tempatan mengasah  bakat  untuk menerima  “pengalaman  luar negara” sebelum mereka naik tangga kemajuan kerjaya.  Bahagian berita   muncul mengikut  formula penerbitan, walaupun  wujud  satu kumpulan  wartawan yang begitu berpengalaman  yang mampu  menyediakan bahan dalam masa yang  tertekan. Tetapi ini semua adalah  berbentuk pengecualian dan tidak semestinya satu peraturan.

 

Jadi, kekecohan  mengenai malapnya satu lagi bahan bacaan berbahasa Inggeris, tidak pun pergi kemana-mana.  Di Asia ada tanggapan tempatan yang  ditenggelami oleh pengaruh globalisasi. Apabila penapisan  dan tekanan  yang berleluasa menekan sebarang tulisan yang  tidak sebulu dengan pemikiran kerajaan, kerugian yang tertanggung,  bererti satu kehilangan besar  kepada Asia kerana menidakkan hak  rakyat Asia mengenali rantau  mereka.  Itu sebabnya mereka mula dipinggirkan sejak satu  dekad yang lalu.

 

Mungkinkah  muncul satu majalah lain untuk menggantikannya? Besar kemungkinannya  tidak ada.  Tanggapan   agar diwujudkan sebuah majalah yang bebas tanpa sebarang  muslihat dan agenda  adalah begitu  asing kepada para   pembiaya seperti di Wall Street sehinggakan  seseorang akan  melupakan sahaja  ide  itu. Di negara manakah di Asia ini  kecuali Jepun, India dan Filipina, yang mempunyai majalah yang mampu bernafas tanpa ditaja oleh  orang yang berkuasa? Di sinilah letak  jawapannya.

 

M.G.G.Pillai

pillai@mgg.pc.my

Hits: