Kenapa  Pelarian Afghan Membelasah Saya..

(My beating by refugees is  a  symbol of the hatred and fury of this filty war)

 

oleh:  Robert Fisk – Kila Abdullah, selepas sempadan Afghan.

10/12/2001.

 

 

Pada mulanya kami bersalaman sambil di iringi “salamu alikum”. Tiba-tiba seketul batu  berdesing di telinga saya,  tidak mengena sasarannya. Seorang budak lelaki cuba merampas beg saya, diikuti oleh seorang budak lagi. Kemudian, ada seseorang  yang melepaskan penumbuk curi yang mengena belakang saya. Ini disusuli oleh beberapa budak muda yang memecahkan  cermin mata saya,  sambil menggunakan batu untuk  menghentak muka dan kepala. Saya tidak dapat melihat apa-apa kerana  darah yang tersembur  dari dahi  sudah menutupi  pandangan. Pada waktu itu, saya  faham.  Saya  tidak boleh  menyalahkan  mereka kerana  gelagat  yang menggila.  Malahan, kalaulah saya  ini seorang pelarian Afghan di Kila Abdullah, yang berhampiran  sempadan Afghan-Pakistan, saya  pasti melakukan perkara yang sama  terhadap Robert Fisk.  Ataupun terhadap  orang barat yang saya  temui.

 

 

Mungkin ada yang kehairanan kenapa saya rakamkan  kisah beberapa minit  dihayun  perbuatan kejam yang sungguh mengancam  diri sendiri di satu kawasan di sempadan Afghan, sambil badan diselimuti darah,  dan meraung laksana  seekor  haiwan yang parah,  sedangkan ratusan  dan untuk lebih benar lagi, katakanlah ribuan – manusia yang tidak berdosa  sedang tercungap  dihenyak serangan bom menggila  Amerika di Afghanistan. Itukah proses “Peperangan  untuk Ketemadunan”  yang membakar dan melumpuhkan  puak Pashtun di Kandahar dan memusnahkan  rumah kediaman mereka kerana konsep “yang baik” mesti mengalahkan “yang jahat”?

 

 

Ramai Afghan di perkampungan itu  berada di situ bertahun lamanya, sedangkan yang lain baru sahaja tiba – sesak dan marah  sambil memendam kepiluan  berkabung  dan meratapi  kematian  ahli keluarga tersayang – sejak beberapa minggu yang lalu. Itu bukannya tempat yang sesuai untuk sebuah kereta  mengalami kerosakan.  Itu juga bukan masa yang sesuai kerana  hanya beberapa minit sebelum ‘Iftar’ (berbuka puasa). Tetapi apa yang telah kami lalui  adalah satu simbol  betapa dahsyatnya  kebencian dan kemarahan  serta kepalsuan  peperangan yang sungguh kejam ini. Inilah lambangnya apabila  satu kumpulan lelaki Afghan yang terdesak hidupnya, tua dan muda, yang  terserempak dengan  orang asing  yang dianggapnya  sebagai musuh -  sudahpun berada  di kalangan mereka  dan cuba  memusnahkan sekurang-kurangnya  seorang antara mereka.

 

 

Ramai di kalangan manusia  Afghan itu, seperti yang kemudiannya kami tahu,  sudah terlalu marah  melihatkan  tayangan TV  yang merakamkan pembunuhan beramai-ramai  Mazar-i-Sharif, betapa  para tahanan  perang  yang diikat tangannya di belakang  telah dibunuh dengan kejam. Ada seorang  penduduk kampung   yang  kemudiannya memberitahu  pemandu kami bagaimana mereka melihat dua  orang petugas CIA “Mike” dan “Dave”  mengancam untuk membunuh  tahanan perang yang sudah melutut di Mazar.   Mereka  tidak berpendidikan,  - saya fikir ramai yang buta huruf-  tetapi  kita tidak perlu  bersekolah dulu untuk memahami perasaan mereka yang  kehilangan   orang yang disayang gara-gara  ledakan bom B-52. Pada satu ketika seorang  anak muda menjerit  terhadap pemandu saya dan bertanya, dengan penuh keikhlasan:  “Itu kah dia  Mr.Bush?”

 

Saya agak waktu itu   ialah 4.30 petang  ketika kami tiba di Kila Abdullah.  Ia berada di tengah-tengah antara bandar Quetta di Pakistan dan  pekan sempadan  di Chaman.  Amanullah  pemandu kami, Fayyaz Ahmed, penterjemah kami, Justin Huggler daripada The Independent – yang baru  selesai  membuat liputan peristiwa  pembunuhan di Mazar – dan saya sendiri.

 

Kali pertama kami menyedari sesuatu yang tidak kena ialah ketika kereta  itu terhenti di tengah-tengah jalan yang  sempit dan sesak. Wap panas bersemburan keluar  daripada  bonet  jeep  itu, sambil diiringi  bunyi hon yang bingit daripada kereta,  bas dan lori  dan beca seolah-olah  mencemuh kerana kami menyekat laluan mereka. Kami berempat keluar daripada kereta  untuk menolaknya ke tepi. Saya membebel sesuatu kepada Justin  bahawa “ini adalah tempat yang tidak baik untuk mengalami kerosakan”. Kila  Abdullah ialah kawasan perkampungan pelarian Afghan, yang miskin dan dhaif kesan perang  yang turut menghenyak Pakistan. 

 

Amanullah tinggalkan kami untuk mencari kereta lain- sedangkan tempat itu  dipenuhi  orang  yang kelihatan  tidak mesra dan pasti  berbahaya kepada  kami apabila  malam menjelma.  Justin dan saya terus  tersenyum simpul  pada  awalannya  terhadap   sekumpulan manusia yang  sudah mula  mengerumuni kami  sambil memerhatikan  keadaan jeep yang kepanasan dan tidak bernyawa lagi. Saya bersalaman dengan ramai manusia – mungkin  juga ketika itu saya seharusnya mengingatkan Mr. Bush yang  menyebut ‘Salaam aleikum’.  Saya memang lama sudah tahu apa yang akan terjadi apabila mereka  berhenti  tersenyum.. 

 

Kumpulan manusia itu semakin membesar dan saya telah  mencadangkan kepada Ajustin  agar  kami beralih jauh daripada jeep itu, dan beredar di tepi  jalan. Seorang anak kecil telah menjentik pergelangan tangan saya  dengan kuatnya, dan saya fikirkan itu hanya satu  perkara yang tidak disengaja.  Kemudian seketul batu berdesing   di bahagian kepala saya dan mengena  bahu Justin yang berpusing melihat  saya. Matanya menampakkan perasaan kaget dan saya  masih ingat cara saya  bernafas  ketika itu. Namun saya masih menenangkan  semangat  dan berkata itu semua kerja budak nakal sahaja. Kemudian seorang budak cuba  merampas beg saya yang mengandungi pasport, kad kredit, wang, diari, buku catatan, dan telefon bimbit. Saya berjaya menyentapnya semula  dan menggalas  tali beg itu  di bahu.  Kami berjaya  menyeberangi jalan dan pada waktu itu sebiji penumbuk mengena  bahagian belakang  saya.

 

Bagaimanakah caranya   untuk keluar dari satu impian yang penuh dengan watak yang tiba-tiba bertukar menjadi ganas? Saya  dapat mengecam salah seorang  lelaki yang tersenyum lebar ketika kami bersalaman, tetapi kini sudah tidak ada  lagi senyumannya.  Segelintir  anak-anak kecil masih lagi ketawa  tetapi  senyuman mereka sudah bertukar rupa  menjadi lain pula. Orang asing yang terhormat – lelaki  yang memberi salam beberapa minit sebelum itu – sudah tertekan, ketakutan dan mula berlarian. Barat sudah dihenyak menjadi  rendah martabatnya.  Justin sudah mula ditolak ke sana-sini. Di tengah jalan itu, kami dapat melihat seorang pemandu bas yang menggamit tangan  agar kami meloncat  menaiki basnya. Fayyaz yang masih berada di kereta  tidak faham kenapa kami pergi jauh meninggalkannya. Memang kami  sudah terlalu jauh untuk penglihatannya. Justin berjaya berpaut pada pintu bas itu. Ketika saya mencecahkan kaki di tangga bas itu,. tiga orang lelaki  merampas beg saya dan  menyauk saya kembali di tengah jalan. Justin menghulurkan tangannya. “Pegang terus,” jeritnya. Saya akur  sahaja.

 

Itulah ketikanya  satu hentakan  kuat  menghentam dahi saya. Saya hampir terjatuh dengan pukulan pertama itu, telinga  berdesing  kerana  kuatnya. Saya memang menjangkakan perkara ini, cuma tidak berapa  kuat dan menyakitkan. Dan tidaklah begitu spontan.  Amarannya memang hebat dan dahsyat.  Ada orang yang membenci saya sehingga mahu mencederakan saya. Dua  lagi hayunan datang mengena, satu di bahagian belakang bahu saya. Satu penumbuk kuat mengena saya sehingga terpelanting  di badan bas sedangkan saya masih memegang kuat tangan Justin.  Para penumpang bas melihatkan sahaja apa yang mengena diri saya  dan Justin. Tetapi tidak ada sesiapa yang bergerak untuk bertindak.  Tidak ada sesiapa yang mahu membantu.

 

Saya menjerit:  “Tolong aku  Justin,” dan  Justin – yang sebenarnya  membantu lebih dari  yang termampu  menjerit kepada saya dan  bertanya apa yang patut dilakukan lagi – sambil  kumpulan manusia semakin bising dan menjerit kepada kami. Tiba-tiba saya sedar  bahawa saya hanya mampu mendengar suaranya. Mereka semua sedang  menjerit. Apakah saya mendengar perkataan “kafir”? Mungkin saya tersalah dengar, dan itulah ketikanya saya  terlepas dari pegangan  tangan Justin.

 

 

Kepala saya dibelasah lagi, dua kali; satu  hayunan mengena sebelah kepala sehingga menjejaskan  ingatan saya. Inilah yang mengingatkan saya satu  kisah di sekolah  rendah di  Cedars, Maidstone kira-kira 50 tahun dulu ketika seorang budak lelaki yang  tinggi lampai  yang sedang membuat istana pasir di tempat mainan tiba-tiba menghentak kepala saya. Saya masih teringat bagaimana  hayunan itu  mencetuskan satu  bauan, sehingga menjejaskan deria hidu saya. Satu pukulan lagi datang daripada seorang lelaki  yang membawa seketul batu  besar di  tangan kanannya. Dia menghayunnya  ke arah  dahi saya dengan begitu kuat sekali hentakannya sehingga cairan  panas mula bersembur dari muka, bibir dan  dagu saya. Saya telah ditendang. Di bahagian belakang, di keting, di  bahagian paha kanan. Seorang anak muda telah merampas  beg saya sekali lagi dan  saya masih  berpaut  kepada tali beg itu,  sambil mendongak ke atas dan melihatkan sekitar 60 orang  yang berada di depan mata, menjerit  secara menggila.  Anehnya, ketakutan sudah menghilang ketika itu kerana diganti oleh  kehairanan.  Begini rupanya kalau sudah terjadi. Saya tahu  bahawa saya terpaksa  membalas dan bertindak. Begitulah  yang berlegar di fikiran yang semakin mula keletihan, jika tidak saya akan mati.

 

Yang mengejutkan saya ketika itu ialah  kemungkinan saya akan tidak bermaya.  Saya makin sedar betapa  darah mengalir  untuk menyelimuti badan. Saya tidak fikir pernah melihat darah sendiri begitu banyak sebelum itu. Untuk beberapa saat, saya ternampak imbasan  wajah yang sungguh dahsyat, dari  cermin tingkap bas, wajah saya  penuh dengan darah,  hingga membasahi keseluruhan pakaian, beg  saya dan mengalir jatuh  ke seluar.

 

Semakin banyak darah mengalir, semakin ramai manusia yang mengerumuni saya untuk menghenyak dan membelasah.   Batu-batu kecil mula melantun daripada kepala dan bahu saya. Berapa lamakah agaknya, demikian   yang  saya ingat memikirkannya, apakah ini akan berterusan?  Kepala saya dihinggapi  dua ketulan batu di dua bahagian pada satu masa yang sama. Itu bukannya batu yang dibaling tetapi batu yang sengaja  dibawa dan dihentak oleh manusia yang mahu memecahkan kepala  tengkorak saya. Kemudian sebiji penumbuk mengena muka saya  sehingga berkecai cermin mata yang tergantung di batang hidung.  Satu lagi tangan  menyambar  sepasang  cermin mata simpanan yang tergantung di leher dan merentap kotak kulit  daripada  tali gantungnya.

 

Ketika itu saya teringatkan pengalaman di Lebanon dan mensyukuri Tuhan kerana  ingatan itu. Selama 25 tahun, saya telah  membuat liputan  perang Lebanon dan orang Lebanon  kerap  mengajar saya  berkali-kali bagaimana mahu terus hidup: Buat satu  tindakan – apa sahaja – asalkan tidak berdiam diri tanpa berbuat sesuatu.

 

Lantas, saya sentap  beg yang ada di tangan anak muda yang memegangnya. Dia tersentak dan berundur. Kemudian saya berpaling  kepada lelaki di sebelah kanan, yang masih memegang ketulan batu yang berlumuran darah, sambil menghayun penumbuk sulung ke arah mulutnya. Penglihatan saya amat samar, mata  saya  memang menghidap ‘short-sightedness’ , tanpa  kaca mata tentulah pandangan saya tidak berapa jelas dari dekat. Tetapi saya dapat melihat orang itu   terbatuk dan  sebatang   gigi  tersembul dari bibirnya, sebelum dia jatuh terlentang di atas jalan. Kumpulan manusia itu tersentak untuk seketika. Kemudian saya  menuju arah seorang lagi lelaki sambil mengepit beg yang saya sambar tadi. Saya  hayun satu penumbuk ke arah hidungnya. Dia menjerit  kemarahan sedangkan mukanya bertukar kemerahan. Saya hayun penumbuk lagi tetapi sasaran saya pintar  menepisnya. Kemudian saya  hentam seorang lagi  sebelum bertindak melarikan diri.

 

Saya berada semula di tengah jalan tetapi tidak mampu melihat  dengan jelas.  Saya tekap muka untuk melihat  darah yang berlumuran dan cuba  mengikis  darah pekat yang menutupi mata. Setelah dapat melihat barulah saya sedar betapa saya menangis terisak-isak dan lelehan air mata itu yang membersihkan darah pekat yang menutupinya. Apakah dosa aku, sehingga begini jadinya? Saya telah  melesing dan menghayunkan penumbuk kepada pelarian Afghan sedangkan inilah kaumnya yang saya tumpukan perhatian dan jadikan bahan tulisan. Mereka  menjadi tumpuan dan perhatian saya  selama ini. Inilah kaum yang kehilangan segalanya,  golongan yang teraniaya   disebabkan  negara saya  bersama banyak negara lain lagi  sedang berbunuhan, sambil mencari Taliban di bahagian sebelah sempadan. Ya Tuhan, selamatkanlah saya, Saya fikir  saya  telah menyebut permintaan ini. Orang-orang yang kehilangan ahli keluarga  disebabkan  bom yang digugurkan oleh  orang kita sudah menjadi musuh saya  ketika  itu.

 

 

Tiba-tiba, sesuatu yang menakjubkan telah terjadi ketika itu. Seorang lelaki telah datang menghampiri saya  dengan tenang  dan  memimpin tangan saya. Saya tidak dapat melihat wajahnya dengan jelas  disebabkan darah yang mengalir  menutupi pandangan tetapi dia berpakaian  jubah panjang dan  berserban .Di wajahnya  dia  mempunyai satu janggut  beruban yang panjang. Orang tua itu memimpin saya  untuk  beredar dari situ. Saya menoleh ke belakang dan dapat melihat  beberapa ratus manusia yang mengekori kami. Beberapa ketulan batu  berdesing di tepi  jalan tetapi tidak dituju ke arah kami kerana mereka tidak mahu mencederakan orang tua  itu. Kemunculan orang tua ini adalah laksana satu kisah dalam kitab  ‘Old Testament’ ataupun  kitab Injil  mengenai orang yang keramat – dia adalah seorang  beragama Islam, mungkin seorang mullah di kampung itu – yang cuba menghulur tangan untuk membantu.

 

 

Dia menolak saya naik di bahagian belakang satu  trak polis. Tetapi  kereta itu tidak bergerak juga. Mereka menjadi kaget. “Tolonglah saya,” demikian jeritan yang berulang yang saya laungkan melalui  satu  jendela kecil yang memisahkan tempat duduk kami, sambil jejari saya  mencalitkan  darah yang mengalir di kaca  jendela itu. Mereka bergerak  beberapa meter dan berhenti sehinggalah orang tua itu  bercakap lagi. Kemudian kereta itu bergerak ke depan untuk  300 meter lagi.

 

Di sana, di bahu jalan ada satu  konvoi Palang-Merah-Sabit Merah sedang  berhenti. Kumpulan manusia itu masih mengekori kami. Dua orang pembantu perubatan telah  menarik saya untuk di sebelah belakang  kenderaan mereka. Mereka menuang air  ke atas tangan saya  dan muka sambil membaluti  luka di kepala dan muka  dan di  bahagian belakang kepala. “Baring dulu supaya kami dapat menyungkup selimut di badan anda agar mereka tidak nampak,” kata salah seorang pembantu perubatan itu. Mereka berdua beragama Islam, dan warga Bangladesh. Saya mahu merakamkan nama mereka  kerana mereka adalah manusia yang baik-baik:Mohamed Abdul Halim dan Sikder Mokaddees Ahmed. Saya terlentang di lantai, mengerang kesakitan,  sambil menyedari saya  mungkin dapat terus  bernyawa lagi.

 

Dalam masa beberapa minit, Justin muncul kembali. Dia telah mendapatkan  bantuan seorang askar yang tegap badannya  daripada pasukan ‘Baluchistan Levies’ – inilah  pasukan kental  warisan  Empayar British. Berbekalkan sepucuk raifel  dia mampu  menghindari  kumpulan manusia  daripada  merapati  kereta yang membawa Justin. Saya mula meraba beg yang dapat saya selamatkan itu. Mereka tidak berjaya merampas beg saya, demikianlah  mengomel sendirian,  seolah-olah  pasport dan kad kredit saya itu adalah  benda keramat  dalam  hidup ini. Tetapi mereka telah mencuri   sepasang  cermin mata yang tersimpan – bererti  saya kehilangan tiga pasang  kaca mata  membuatkan  pandangan semakin samar jadinya. Telefon bimbit saya pun mereka sauk, begitu juga  buku catatan saya,  yang mengandungi maklumat dan nombor  telefon yang tersimpan sejak 25 tahun yang menyeluruhi  Timur Tengah. Apa lagi yang  boleh saya lakukan? Apakah saya terpaksa meminta sesiapa sahaja  yang mengenali  diri ini, mengirimkan semula  nombor telefon  mereka.?. 

 

Ya Tuhan....kata saya  sambil menghentakkan  penumbuk di sebelah dan tersentak melihatkan  satu  luka besar  yang berdarah. Itu adalah kesan gigi yang patah yang saya  hayun apabila  menghentam muka orang yang menyerang saya dulu. Itulah seorang lelaki yang tidak berdosa  dan berbuat  sebarang jenayah selain menjadi mangsa dunia  ini.

 

Saya  telah  menghabiskan lebih dua setengah dekad menulis  dan melaporkan penderitaan dan keaiban  dunia Islam  dan kini kemarahan mereka sudah mempengaruhi saya  juga. Benarkah begitu?  Terbayang di ingatan wajah  Mohammed dan Sikder daripada Sabit Merah dan Fayyaz yang berlari ke kereta  sambil  kepijaran melihatkan cara kami  dibelasah. Begitu juga dengan Amanullah yang  mempelawa saya ke rumahnya  untuk  mendapatkan rawatan perubatan.  Kemudian saya teringatkan orang tua keramat yang memimpin saya  untuk  menyelamatkan keadaan.

 

Saya amat sedar betapa semua  lelaki dan anak muda yang  menyerang saya  sepatutnya tidak  berbuat begitu tetapi disebabkan  keganasan mereka itu dicetuskan oleh  keganasan orang lain. Kita lah orang lain itu – kerana kita yang melengkapkan mereka dengan senjata perang  menentang Russia  sambil melupakan  keperitan mereka dan  mentertawakan  perang-saudara mereka. Kemudian kita lengkapkan mereka dengan senjata perang lagi dan membayar  wang kepada mereka untuk ‘Perang  Tamaddun”  hanya beberapa  batu sahaja  jauhnya   sambil mengebom rumah kediaman mereka   dan merobek ahli  keluarga mereka dalam apa yang kita sebutkan sebagai “bencana perang.”

 

Kerana itu saya berpendirian  untuk merakamkan  apa yang terjadi  kepada kami dalam satu peristiwa berdarah  yang penuh kebodohan. Saya takut ada pula versi lain yang akan menulis  kisah yang berbeza, bagaimana seorang wartawan British “telah dibelasah oleh  satu kumpulan pelarian Afghan.”

 

Sememang,  itulah tujuannya.  Kumpulan yang teraniaya itu adalah kumpulan Afghan, dengan parut-parut  luka  yang kita  cetuskan.  Oleh B-52 dan bukannya oleh mereka. Saya akan mengulangya semula. Seandainya saya seorang pelarian Afghan di Kila Abdullah, saya akan lakukan apa yang baru  sangat mereka lakukan. Saya pasti menyerang Robert Fisk. Ataupun  orang Barat lain yang saya temui.

 

Tamat.  

Hits: