Taliban belum dikalahkan

(Taliban  have not been conquered)

 

The Times of India . 9/12/01

 

KABUL:   Pengeboman bertalu-talu berjaya  mendesak Mullah Mohammad Omar melepaskan kuasa Taliban di Kandahar. Namun, semakin ramai yang gusar,  penyerahan itu adalah satu muslihat untuk membolehkan mereka  bergabung semula  melancarkan serangan gerila.

 

Dua bulan  asakan bom yang  dahsyat dari angkasa mungkin menyebabkan Mullah Omar  menyerah kalah, tetapi semangat juangnya belum dapat dipatahkan  sepenuhnya.

 

Mengikut adat Afghan sebarang  perjanjian menyerah kalah membolehkan pihak yang menyerah diri itu  berundur  dari medan perang dengan senjata perang masih di tangan. Ini bererti mereka  mungkin masih  mengekalkan semangat keperwiraan  untuk menegakkan ideal fundamental mereka.

 

Para pejuang  yang lain, terutama orang asing,  yang menganggotai Al-QAIDA,  dan Osama Laden telah lari bersembunyi ketika pasukan Pakatan Utara   mara  memasuki Kabul, kerana itu amat kurang pertumpahan darah, dalam peperangan itu.

 

Omar telah pun menjanjikan satu   peperangan gerila yang panjang,  dan kehadiran puak Taliban yang bersenjata “memang  menakutkan ramai  pemerhati” kata Kenton Keith, seorang jurucakap   pasukan tentera bersekutu.

“Kita tentu khuatir  dengan kemungkinan Taliban  berada di beberapa tempat  mencetuskan  huru-hara sebagai satu  kumpulan yang bersenjata.”

 

Tetapi, Taliban yang tulen tidak kelihatan seperti pengganas yang berkeliaran, mereka lebih rela  pergi  bersembunyi di kawasan pergunungan untuk  berkumpul semula.

 

Para pejuang ini yang  bersumpah  untuk berjuang ke  titisan darah yang akhir adalah  pasukan yang sama yang  bergerak dari satu wilayah ke wilayah yang lain di Afghanistan   antara 1994 – 1996.

 

Mengikut  mereka yang menyaksikannya, sekitar 400 buah  trak pikap (pick-ups)  yang merupakan kenderaan kegemaran Taliban,  sudah kelihatan berkumpul di salah satu  lorong  pergunungan  di Tora Bora, sebuah  terowong  bawah tanah di mana Osama Laden dikatakan sedang  bersembunyi.

 

Keith bukan orang yang pertama memberi amaran bahawa  apabila Taliban  menyerah diri  ia tidak bererti  satu kekalahan kepada mereka.

 

Ketika Kabul tumpas pada 13 November,  bekas pejuang anti-Soviet, Panglima Perang  Gulbudin Hetmatyar  telah memberi amaran kemungkinan tercetusnya  satu  perang gerila yang panjang.

 

“Peperanan ini belum berakhir, walaupun Taliban menyerahkan semua bandar raya  yang mereka kuasai,” kata beliau ketika ditemuramah.

 

Perang penentuan di Afghanistan tidak pernah ditentukan di bandar dan pekan. Ia berlaku di pergunungan dan gua dan inilah strategi yang digunakan oleh Hekmatyar dengan jayanya bersama panglima perang yang  lain ketika menumpaskan Soviet Union  pada 1979-1998.

 

Dengan bersembunyi di kawasan pergunungan yang amat sukar itu akan memberikan masa  kepada Taliban. Mereka akan menunggu   apakah kerajaan baru dapat  membawa kedamaian dan apakah negara akan terjerumus ke kancah  kekecohan semula.

 

 

Setakat ini sudah muncul kumpulan pengganas,  dan panglima perang  memasuki kawasan perkampungan  menyebabkan  munculnya  semula sistem kehidupan yang lampau  yang mencetuskan kewujudan Taliban.

 

Masar-i-Sharif yang merupakan satu bandar utama yang diambil alih oleh Pakatan Utara sudah pun bergolak  menjadi kancah pertempuran antara beberapa panglima perang yang mahu menguasai kawasan sehinggakan rompakan sudah berleluasa, dan keadaan yang sama muncul di Konduz  di bahagian Barat,  di mana Taliban telah menyerah kalah, minggu lalu.

 

Kehadiran pegawai PBB sudah pun dikurangkan,  terhad di Kabul, Herat  dan  Bamiyan.

 

“Bahagian lain di negara itu adalah kawasan larangan, dan berbahaya,” kata jurucakap PBB di Kabul, Yusuf Hassan.

 

Mullah Omaar adalah seorang pejuang yang tahan lasak, beliau sudah kehilangan sebiji mata ketika  berperang sebagai  panglima perang di sisi Osama Laden  melawan  Soviet pada 1980-an  dulu,

 

Beliau menonjol sebagai  pejuang Islam  pada 1994,  ketika berlaku anarki  yang menjatuhkan  kerajaan  Burhanuddin Rabbani.

 

Pada asalnya, puak Taliban digaji untuk mengawal konvoi barangan yang dihantar ke Turkmenistan, dan dari situ mereka berjaya merampas kuasa di Kandahar, dan akhirnya di kebanyakan  kawasan  di negara itu.

 

Dalam masa dua tahun, mereka menerima kemasukan  ramai pejuang Islam yang lain  terutama Pakistan, mereka berjaya merampas Kabul dan menegakkan sistem  pentadbiran yang sungguh ketat peraturannya.

 

 

Populariti mereka kerana membawa keselamatan di negara itu  menjadi rapuh apabila memperkenalkan   peraturan  yang ketat termasuk menegah kaum wanita untuk berkerja dan menerima pendidikan sambil  mengharamkan banyak bentuk  hiburan.

 

Akan tetapi dalam sebuah negara yang melihat kesetiaan seseorang sentiasa berubah-ubah, kegagalan  kerajaan yang baru, menyekat kemunculan anarki yang dicetuskan oleh para panglima perang, akan mendesak simpatisan untuk menonjolkan satu kuasa lain yang akan membawa ketenteraman kepada penduduk yang sudah muak dengan peperangan  yang   23 tahun lamanya.

 

Tamat

Hits: