Kepada,



  YB Tun Dr Mohd Zahir bin Ismail,
  Yang DiPertua Dewan Rakyat,
  Bangunan Parlimen Malaysia,
  50680 KUALA LUMPUR.                                                                                             6 DISEMBER  2001



  YB Tun,

  USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT PERKARA 18 (1)

  Usul di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat 18(1) dan (2). Dengan ini diberi notis bahawa saya akan
  mengusulkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan untuk membincangkan usul yang melibatkan perkara
  tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan.

  YB Haji Mahfuz Omar, Ahli Dewan Rakyat bagi Kawasan Pokok Sena mohon mencadangkan :

  “Bahawa Majlis ini hendaklah ditangguhkan mengikut Perkara 18 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan
  Rakyat bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan isu keputusan Kabinet menaikkan kadar tol
  Lebuhraya Utara Selatan sebanyak 10 peratus bermula tahun hadapan ”

  Tuan Yang DiPertua,

  Isu ini adalah perkara-perkara tertentu kerana pihak kerajaan telah membuat keputusan untuk menaikkan
  kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan yang dimiliki oleh PLUS. Lebuhraya Utara Selatan adalah projek
  yang dimiliki oleh sebuah syarikat milik Umno yang telah dibailout kerajaan BN iaitu UEM Berhad dan
  projek raksasa ini merupakan sebuah projek Kerajaan BN. Kerana itu sebarang kenaikan harga tol adalah
  membebankan rakyat pada masa ini terutama selepas berlaku kenaikan harga petrol yang diumumkan
  dalam belanjawan yang lalu.

  Perkara ini adalah melibatkan kepentingan ramai kerana kenaikan kadar tol sebanyak 10 peratus akan
  memberikan kesan yang besar kepada pengguna lebuhraya. Kenaikan ini bukan sahaja ditanggung
  secara langsung oleh pengguna lebuhraya tetapi juga oleh penumbang bas dan teksi, penyewa lori-lori
  pengangkut barang dan pengguna akhir barangan yang diangkut melalui lebuhraya ini. Dalam kata lain
  hampir semua rakyat Malaysia akan menerima kesan kenaikan ini. Kenaikan ini sudah tentu akan
  membebankan rakyat kerana mereka akan meraikan sambutan tahun baru dengan kadar tol baru selepas
  kenaikan petrol 10 sen seliter yang dianugerahkan oleh Kerajaan BN.

  Perkara ini perlu disegerakan kerana kenaikan kadar tol ini akan memberikan kesan segera kepada kos
  pengangkutan dan harga barangan pengguna di seluruh negara terutama menjelang musim perayaan
  berturut-turut antara Disember ini hingga Februari tahun hadapan. Kenaikan kadar tol ini juga tidak
  munasabah kerana sepatutnya ia dikaji lima tahun sekali bukannya dipercepatkan kepada tiga tahun
  sekali seperti yang berlaku ini, yang berkemungkinan bertujuan untuk membantu memulihkan semula
  bekas syarikat milik Umno, UEM yang telah dibailout oleh Kerajaan BN sebanyak RM 13 bilion baru-baru
  ini. Kerana itu kajian semula kenaikan ini perlu dibuat dan seterusnya membatalkan keputusan tersebut.

  Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, perlu disegerakan dan
  berkepentingan ramai.







  Yang Mengusulkan,



  YB HAJI MAHFUZ BIN HAJI OMAR
  Ahli Dewan Rakyat,
  Kawasan Pokok Sena,
  Parlimen Malaysia.