YB DATUK HISHAMUDDIN HUSSIEN
    Ketua Pergerakan Pemuda Umno,
    Ting. 39, Menara Dato Onn,
    Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),
    Jalan Tun Ismail,
    KUALA LUMPUR.                                                                     6 NOVEMBER 2001



    YB Datuk,

     BUKTIKAN FITNAH TERHADAP PASTI

    Perkara di atas adalah dirujuk.

    Saya merujuk kepada kenyataan YB Datuk dalam media massa yang memfitnah Pusat Asuhan Tunas Islam
    (PASTI) yang dimiliki oleh PAS sebagai menghasut dan menyebarkan kebencian terhadap kerajaan. Dewan
    Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) sangat kesal dengan kenyataan fitnah ini dan mencabar Pergerakan
    Pemuda Umno memberikan bukti yang kukuh terhadap tuduhan ini sebelum bercakap soal penutupan
    PASTI.

    DPP Pusat hairan bagaimana YB Datuk sebagai seorang menteri boleh bercakap secara semborono sahaja
    sedangkan tuduhan YB Datuk itu tidak disertakan dengan bukti yang kukuh. Barang kali menjadi
    “trademark” Umno yang suka membuat tuduhan tanpa sebarang bukti dan mengenakan tindakan yang
    zalim ke atas pihak tertentu berdasarkan tuduhan liar tersebut. Sebelum ini, Umno menuduh pelajar
    membakar Dewan tunku cancelor (DTC) Universiti Malaya dan menahan Presiden MPPUM di bawah ISA;
    Umno juga membuat tuduhan liar kepada pemimpin KeADILan dan menahan mereka di bawah ISA tanpa
    bukti; dan begitu juga dilakukan ke atas apa yang dinamakan oleh Umno sebagai KMM. Sikap Umno ini
    tidak ubah seperti Presiden Amerika Syarikat, George W Bush yang membuat tuduhan liar kepada Osama
    Ladin kemudian menyerang Afghanistan tanpa sebarang bukti yang kukuh.

    DPP Pusat mencabar Pemuda Umno dalam isu fitnah ke atas PASTI ini untuk memberikan bukti secara
    dokumen atau visual tentang apa yang didakwa oleh Umno itu. Pemuda Umno mesti membawa bukti yang
    guru-guru PASTI menyebarkan fahaman anti kerajaan jika benar tuduhan tersebut. Walaupun Umno
    sebuah parti politik, tetapi janganlah kerana kepentingan politik yang sempit, Pemuda Umno membuat
    fitnah liar sehingga menjejaskan imej Umno sebagai parti Melayu. Orang Melayu menolak budaya fitnah
    dan Islam sendiri mengajar bahawa fitnah itu lebih merbahaya daripada membunuh.

    DPP Pusat juga turut merasa sangsi terhadap saranan YB Datuk supaya PASTI ditutup atas alasan
    tersebut. Jika Umno mempunyai bukti secara visual atau dokumen tentang kegiatan guru-guru yang
    tersebut itu, Umno hendaklah mengemukakannya kepada polis dan biarlah kerajaan mendakwa mereka di
    bawah Akta Hasutan, bukannya menutup PASTI untuk melepaskan dendam politik Umno. Jika demikian
    tindakan Umno, mengapakah kes beberapa guru sekolah kebangsaan di Kedah dan Terengganu  yang
    didakwa menyebarkan kebencian kepada kerajaan tidak dicadangkan oleh Pemuda Umno supaya ditutup
    sahaja sekolah tersebut atau semua sekolah kebangsaan, bukannya mendakwa guru tersebut di
    mahkamah. Ini menunjukkan, jika ada guru yang tidak professional, mereka sahaja yang perlu
    dipersalahkan bukan institusi tersebut.

    DPP Pusat lebih melihat cadangan dangkal yang diutarakan oleh YB Datuk ini lebih kepada usaha untuk
    menghakis kebimbangan Umno terhadap pengaruh PASTI kepada rakyat. Umno barang kali sangat
    bimbang apabila ada ahli Umno yang tidak memilih Tadika Kemas sebaliknya memilih PASTI untuk
    pendidikan pra-sekolah anak-anak mereka. Umno perlu ingat bahawa PASTI tidak pernah mempunyai
    rekod buruk yang melibatkan perkara berbentuk subversif atau terrorisme, sebaliknya pemimpin Umno
    yang mengada-ngadakan cerita. DPP Pusat sekali lagi mencabar Pemuda Umno untuk menunjukkan bukti
    tersebut jika mereka berada di pihak yang benar. Jika Pemuda Umno gagal mengemukakan bukti,
    ternyatalah bahawa Pemuda Umno adalah pembohong dan penyebar fitnah di negara ini.

    DPP Pusat melihat bahawa Pemuda Umno tidak boleh menyalahkan PASTI sekiranya sekiranya benar ada
    anak-anak kecil yang membenci kerajaan. Anak-anak kecil sekarang ini terdedah dengan pelbagai
    maklumat dan mereka membenci kerajaan mungkin kerana kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan BN
    bukannya kerana PASTI. Umno wajar melihat semula diri mereka yang telah melakukan pelbagai
    kezaliman, penyelewengan, ketidakadilan, penindasan, penyalahgunaan kuasa dan tipu daya yang
    menyebabkan setiap lapisan rakya termasuk kanak-kanakpun turut membenci Umno. Mungkin sebenarnya
    yang dibenci oleh kanak-kanak adalah Umno bukannya kerajaan, tetapi pemimpin Umno menganggapnya
    sebagai membenci kerajaan. Umno sebagai parti politik dalam negara demokrasi layak dibenci oleh
    sesiapapun termasuk kanak-kanak. Maka tidak wajar isu kebencian kanak-kanak terhadap Umno
    dipolitikkan.



    Sekian, terima kasih.



    Yang Menjalankan Amanah,





    HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
    Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat