Terperangkap  oleh Sejarah Silam: Arafat, Sharon  Terus Berperang

(Prisoners of Their Pasts: Arafat, Sharon Battle On)

 

Tracy Wilkinson – Times Staff Writer.11/12/01.

 

JERUSALEM:   Ini bukan pertama kali Ariel Sharon bertentangan Yasir Arafat dalam satu adu-domba untuk terus bernyawa.  Dua orang wira tua ini sudah melakukannya  di  jalan raya Lubnan, sebuah negara yang ditakluki oleh Israell dua dekad yang  lalu ketika Sharon  menjadi menteri pertahanan. Itulah penaklukan  yang menjadi sebahagian usaha Sharon untuk menghancurkan Arafat dan  pertubuhan pimpinannya (PLO) Palestin Liberation  Organisation.

 

Hari ini Arafat sekali lagi menjadi sasaran bidikan Sharon. Dia sudah pun diasak  ke satu tahap penyeksaan kerjayanya  sebagai  seorang pemimpin yang memperjuangkan impian nasionalis Palestin, sambil ditekan dan ditindas oleh Israel dan Amerika Syarikat  supaya bertindak terhadap  kumpulan militan dalam pertubuhannya.

 

Sharon memang terlalu taksub mahu menamatkan riwayat kepimpinan Arafat. Namun selain itu dia tidak  mempunyai satu  strategi politik jangka panjang yang  meyakinkan. Sedangkan Arafat hanya memiliki satu sahaja strategi kali ini, tidak lain i  untuk bertahan dan  terus bernyawa.

 

Keangkuhan yang ada pada Arafat dan  sifat tidak boleh bertolak ansur yang menjiwai Sharon tidak dapat mencetuskan satu ruang  jalan tengah yang  mampu mengelakkan krisis ini dan pertumpahan darah, demikian pendapat ramai pakar  analis  yang  mengamati keadaan  yang  ada. Ini merupakan satu nasib yang malang  kepada bangsa Palestin dan  Yahudi, kata mereka.  Adalah satu tragedi melihatkan dua bangsa itu dipimpin oleh dua manusia yang dalam banyak hal telah terperangkap oleh sejarah silam.  Mereka   menyambung  perang lama dengan  taktik perang  yang usang  tanpa wawasan politik atau  ciri-ciri kenegarawan  yang membolehkan mereka  memancang tiang damai untuk masa depan bangsanya.

 

“Mereka terperangkap oleh  keghairahan, riwayat kepimpinan diri, perjalanan psikologi mereka  dan sejarah silam,” kata David Grossman seorang penulis  Israel dalam satu  temuramah ketika merujuk kepada Sharon dan Arafat. “Saya tidak  nampak jalan lain kecuali munculnya   satu  generasi baru  dalam pucuk kepimpinan parti  pada dua pihak. Kalau ada pun jalan lain ialah munculnya satu keajaiban ataupun tercetusnya satu  malapetaka. Dan saya tidak nampak sebarang unsur keajaiban itu.”

 

Grossman  adalah salah seorang dalam satu kumpulan yang dianggotai oleh orang Yahudi dan Palestin  yang pernah  menunjuk perasaan mahukan kedamaian pada Isnin lalu.  Sekitar 20 orang Yahudi dan  10 orang Palestin di kalangan  pemimpin politik, cerdik-pandai dan aktivis  telah melintasi satu  kubu  pemeriksaan tentera  Israel di pinggir kem pelarian Kalandia yang terletak di tepi jalan Jerusalem-Ramallah.

 

Itulah kawasan  yang tidak berpunya  di mana kebanyakan  Palestin tidak dibenarkan masuk  dan askar Israel sentiasa sibuk menggali tanah untuk kubu pertahanan mereka. Itulah kawasannya yang dicerobohi oleh dua kumpulan itu secara simbolik menunjukkan  betapa pentingnya  dicetuskan pemikiran alternatif  untuk menyelesaikan  masalah.

 

Jalan yang diceroboh itu  pernah menjadi  jalan pintas antara Israel dan Tebing Barat. Kini,  ia berubah menjadi satu persimpangan yang sibuk  dan dipenuhi  kenderaan dan lalu lintas Palestin yang cuba  melepasi  sekatan askar Israel.

 

“Inilah keadaan zalim yang mengarah kita  ke medan peperangan,” kata Salim Tamari, seorang pendidik Palestin yang pakar dalam hal ehwal Jerusalem dan menganggotai kumpulan tunjuk perasaan  itu.

 

Tamari berkata,  walaupun Sharon dan Arafat mempunyai fikiran sempit dalam cara menangani ideologi mereka yang bercanggah itu, ada satu perbezaan ketara di mana Arafat  bertindak dari  kedudukan yang lemah, berbeza dengan Sharon yang mempunyai segala kuasa yang amat ketara.

 

Sharon mengebom pejabat PA (Palestinian Authority), ibupejabat polis dan institusi yang melambangkan kuasa Arafat sedangkan pada  waktu yang sama  Palestin disuruh  menangkap  mereka yang disyaki  merancang serangan rela mati, kata Tamari. Peristiwa pembunuhan dua kanak-kanak dalam kisah serangan Sharon terhadap para militan di Tebing Barat terus menyulitkan tugas Arafat.

 

“Arafat masih mampu  mengawal keadaan, tetapi  untuk mempertahan kuasanya  dia perlu menunjukkan  sedikit sinar harapan, sedikit keupayaan  untuk membolehkan orang Palestin bergerak dalam persekitaran mereka.  Sekarang anda dapat lihat  betapa kami dikepung saja,” kata beliau  sambil menunjuk kepada barisan orang yang bergilir menanti  diperiksa oleh sekatan Israel.  “Orang Israel harus memberikan kemudahan  untuk  orang Palestin  bernafas,  jika tidak ia  membuat orang lebih bersimpati dengan puak militan.”

 

Israel berlagak lantang dengan sokong kuat AS dan masyarakat antarabangsa  dan menuntut  supaya Arafat menggunakan  segala kuasa yang  ada padanya  untuk menangkap  calon pejuang rela mati  dan perancang mereka; setakat ini Arafat gagal menahan  lebih ramai   orang yang disyaki  seperti yang disebut oleh Israel.

 

Sharon dipilih menjadi presiden Israel kerana janjinya mengembalikan kedamaian dan  keselamatan  kepada  bangsanya dan  setakat ini  tidak ada satu pun yang tertunai. Namun, dia masih   menikmati  sokongan kuat di kalangan  rakyat Israel.  Pungutan suara minggu lalu  menunjukkan tiga suku responden  senang-hati dengan   tugasnya. Tetapi pungutan suara itu menunjukkan sokongan berpanjangan kepada usaha  perbincangan damai dan penubuhan satu negara Palestin, yang disetujui oleh Sharon secara lakonan sahaja.

 

“Apa yang dituntut oleh rakyat untuk mengikut perasaan  mereka dan apa yang mereka cakapkan  dengan menggunakan otak adalah amat berbeza. Cara menyambungkan perbezaan   yang wujud itu ialah melalui kepimpinan.  Sedangkan kepimpinan itu  tidak ada lagi,” kata Didi Remez,  seorang aktivis berhaluan kiri  dalam pertubuhan  “Peace Now’ yang  membantu menganjurkan demonstrasi  pada hari Isnin itu.

 

“Kepimpinan yang ada adalah bertaraf haprak di kedua pihak,” katanya.

 

Sharon adalah anak seorang peneroka Yahudi yang berhijrah ke  bumi Palestin untuk menubuhkan  negara  Israel  kerap mengulang-ulang pendapatnya bahawa Israel masih lagi berperang untuk kemerdekaannya.  Dia telah menyanggah kebanyakan  perjanjian damai yang ditandatangani oleh Israel. Orang yang rapat dengannya pernah menyebut  betapa Sharon   memang  seronok dengan konflik persenjataan  yang sudah lama mengganas selama 14 bulan.  Dia bangga kerana terlibat dengan setiap peperangan  Israel dan dengan  yang ini pula.

 

Nampaknya, strategi utama Sharon ialah  melumpuhkan kuasa Arafat  hingga dia tumpas  ataupun digulingkan oleh  orangnya sendiri, untuk memberi laluan kepada  kepimpinan  yang mudah dilenturnya.T etapi semakin ramai pakar berpendapat  akan muncul satu  keadaan  yang lebih menggila, di mana penglibatan puak pelampau akan lebih menonjol.

 

Cadangan Sharon ialah melihatkan satu  negara Palestin yang terputus-putus kedudukannya dan tidak seperti yang ada sekarang  dan dikuasai  oleh Palestin.  Kebanyakan penempatan  Yahudi yang ada  dianggap   tidak sah  mengikut undang-undang antarabangsa  tetapi amat diutamakan oleh Sharon sebagai satu strategi  menampan keselamatan Israel  daripada terancam. Konsep itu memang sudah lama ditentang oleh  Palestin sejak ia dimulakan.

 

Para diplomat dan beberapa  analis Israel berkata: Sharon amat gusar  dengan perundingan   politik kerana ia berkemungkinan menamatkan riwayat  kerajaan campurannya.

 

Para pembantu  Sharon telah  menolak kritikan itu yang telah disuarakan jua oleh Menteri Luar Shimon Peres yang menyebut  dia ketandusan wawasan  dan cuba menyambung peperangan  di zaman mudanya.

 

Kalau dikirakan  sejarah peribadi Sharon,  yang sungguh berpengalaman di medan perang dan segala kedahsyatannya, sepatutnya dia merupakan orang  yang paling terdepan  berbanding  setiap  ahli politik di seantero dunia ini,  yang  betul-betul mengetahui betapa peritnya  peperangan itu,”  kata penasihat  dipomatik Sharon, Daniel Avalon. “Dia mempunyai satu wawasan  yang jelas, yang tidak mahu dibentangkannya di meja perundingan dengan khususnya kerana  dia sedar perkara itu akan menjadi bahan awalan perundingan  pihak yang lagi satu.”

 

Arafat kerap mentadbir  dengan teknik yang  ketinggalan zaman. Dalam  banyak hal dia masih merupakan seorang  pejuang gerila, memimpin satu  pergerakan  kebebasan nasional, seperti yang diamalkan berdekad lamanya. Cara kepimpinannya  memang bercelaru, tegas dan autokratik.Dia memang tidak menyenangi sistem demokrasi. Korupsi dan nepotisme memang lumrah  dalam Palestinian Authority yang diisytiharnya  setelah pulang daripada  buangan  pada 1944. Tidak ada satu sistem penghakiman, kebanyakan media  adalah dikawal oleh pentadbirannya  dan dewan rakyat tidak mempunyai sebarang kuasa.

 

Arafat semakin digugat oleh  kebangkitan pengaruh  kumpulan radikal Hamas  dan Jihad Islamia. Dua pertubuhan radikal itu bangkit  setelah Arafat gagal menjangka  ancaman yang mungkin mereka cetuskan. Dulu dia menjangka dapat mengawal merka  ketika membenarkan ruang yang luas  pada  permulaan   pergerakan  intifada.

 

Namun,  Arafat masih dianggap sebagai pengasas dan lambang, bapa impian Palestin untuk menegakkan sebuah negar merdeka.

 

Hari ini Arafat dilihat sebagai lumpuh; kerana Sharon sudah memusnahkan  helikopter milik pemimpin Palestin itu dan juga lapangan terbang  antarabangsa  Palestin. Sharon berkata  dia tidak mahu  melihat Arafat keluar dari  rumahnya. Pada Isnin lalu Arafat sudah  merubah agenda untuk menghadiri satu persidangan tergempar  negara Islam  yang telah dimintanya  untuk bersidang.  Sebahagian sebab dia  mengubah agenda itu aialah kerana dia khuatir  Sharon akan menyekat  kepulangannya semula, demikian  yang diberitahu oleh pembantunya.

 

Sharon dan  kerajaan Israel  sudah berjaya  menampar keaiban, memencilkan dan memomokkan  Arafat (sebahagiannya dengan bantuan kawan-kawan Arafat juga) sehinggakan mereka mampu merencana bidang perdebatan  mereka. Di Washington, sudah tidak ada lagi sebutan  mengenai  Nasionalisme Palestin. Di kalangan ramai orang  Yahudi, Arafat  adalah dianggap seorang pengganas yang mencetuskan persoalan bukan ada kaitan dengan bagaimana caranya, tetapi apakah dia perlu  dimusnahkan

 

Ramai orang Israel  yang sudah menerima  saranan  Sharon bahawa Arafat bukan layak menjadi rakan  untuk berdamai dan adalah lebih waras kalau dia  dimusnahkan kerana keadaan tidak akan menjadi lebih  teruk lagi.

 

Suara yang menjerit pada hari Isnin lalu  dalam tunjuk perasaan  di Kalandia  tidk boleh  menyangkal pendapat itu lebih  kuat lagi. Teatapi  merka adalah golongan minoriti  yang diangap oleh  seorang wartawan Israel merupakan ngap terakhir  daripada saki-baki haluan kiri.

 

Catatan penterjemah:  Kita  terjemahkan  artikel ini kerana ada unsur sejarah dalamnya. Ini ada unsur propaganda, sedangkan banyak perkara  tersirat yang mesti difahami oleh orang Melayu sebelum membuat pengadilannya – penterjemah.

 

Tamat.  

Hits: