FILEM.. FILEM.. FILEM ..

Ahli Parlimen PAS, Hj Mahfuz Omar  menyatakan penyelarasan dasar kebudayaan kebangsaan harus diberi  penekanan dalam penapisan filem supaya matlamat yang digariskan dalam dasar tersebut dapat dipenuhi.

Mahfuz Omar (Pas- Pokok Sena) ketika membahaskan Rang  Undang-undang Penapisan Filem 2001 di Dewan rakyat semalam berkata,  filem memainkan peranan penting dalam pembentukan budaya serta   penyumbang kepada faktor wujudnya gejala sosial dalam masyarakat.

"Kerajaan seharusnya menilai semula dasar kebudayaan kebangsaan. Jika  tidak, pelaksanaan tidak dapat diselaraskan dalam unsur penapisan filem  dan Rang Undang-undang Penapisan Filem ini tidak bermakna," katanya.

Katanya lagi, kerajaan terlupa bahawa filem menerapkan budaya asing pada masyarakat Malaysia yang akan meruntuhkan kebudayaan  kebangsaan. Dalam pelaksanaan dasar kebudayaan kebangsaan ini katanya, pengusaha  filem Malaysia lebih menumpukan pada budaya yang bernilai rendah iaitu  tidak menumpukan pada soal falsafah dan nilai.     Justeru katanya, Malaysia gagal menyiarkan filem yang mempunyai nilai yang bersesuaian dengan dasar kebudayaan kebangsaan.

Menurutnya, dasar kebudayaan kebangsaan Malaysia hendaklah  berteraskan kebudayaan asal rakyat di negara ini, unsur kebudayaan lain  yang wajar dan sesuai boleh diterima sebagai kebudayaan kebangsaan  dan Islam menjadi unsur yang penting dalam kebudayaan kebangsaan

"Dalam penapisan filem dan hal bersangkutan dengan media, Kementerian  Dalam Negeri seharusnya menerapkan pelaksanaan dasar kebudayaan  kebangsaan. Jika perkara ini tidak dilaksanakan, kita akan menghadapi  masalah sosial yang lebih teruk.

"Filem yang ditayangkan di pawagam dan Televisyen Malaysia tidak     mencerminkan dasar kebudayaan kebangsaan dan tidak membentuk     falsafah tinggi dalam membentuk masyarakat dan bukan hanya     berdasarkan budaya popular semata-semata," katanya.

Beliau menyatakan, kebanyakan filem tempatan yang disiarkan lebih     berorientasikan kepada nilai komersil dan popular dengan meninggalkan  nilai seni dan sosial ."Filem harus membantu untuk menyerap budaya tinggi pada masyarakat, untuk membentuk pemikiran dan akhlak masyarakat," katanya.

Mahfuz menegaskan, Lembaga Penapis Filem (LPF) seharusnya memahami     dasar kebudayaan kebangsaan supaya filem yang hendak ditapis tidak lari daripada asas dan matlamat dasar kebudayaan kebangsaan, Beliau turut mempersoalkan adakah LPF boleh memahami kebudayaan asing sama ada filem yang disiarkan itu bersesuaian dengan kebudayaan Malaysia

Beliau menyarankan agar garis panduan dibuat bagi menentukan sesuatu  filem yang dieksport itu boleh disiarkan atau tidak di negara ini.    Di samping itu, katanya masih terdapat filem berunsur tahyul dan khurafat disiarkan dalam slot tempatan

"Mufti Wilayah Persekutuan pernah menegur rancangan TV yang    menyiarkan filem -filem yang mempunyai unsur tahyul dan khurafat.     Walaupun filem ini telah ditapis, unsur yang tidak sihat masih melepasi tapisan.

"LPF tidak mempunyai garis panduan yang jelas filem bagaimanakah yang boleh dan tidak boleh disiarkan,"katanya. Dalam perbahasan hampir sejam itu juga Mahfuz menjelaskan selain daripada filem, terdapat bahan penerbitan yang diluluskan untuk diterbitkan walaupun mengandungi unsur lucah.

Sambil mengemukakan beberapa contoh majalah yang berunsur lucah     beliau menyatakan majalah seperti itu tidak sepatutnya diluluskan KDN.

Hits: