Tazkirah ( 41 ) : Siri Tazkirah Terakhir

Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanyasanya layak untuk Allah s.w.t. sahaja, Tuhan seru sekalian alam. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarganya.

Alhamdulillah, dengan keizinan daripada Allah s.w.t., saya telah sampai ke siri yang terakhir dari siri penulisan tazkirah saya. Saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dapat menyampaikan dakwah, walaupun dengan ilmu yang serba kekurangan. Saya ingin mengucapkan ribuan terima-kasih kepada webmasters kerana memberi sokongan mereka kepada saya selama ini. Saya juga ingin mengucapkan terima-kasih kepada semua pelayar web ini yang sering mengikuti tazkirah saya. Saya memohon ribuan maaf sekiranya ternyata ada kesalahan dalam penulisan saya sama ada disengajakan atau tidak disengajakan, ini adalah kelemahan seorang hamba Allah s.w.t. yang daif lagi kerdil. Saya ingin berpesan kepada pembaca supaya meneruskan pembacaan dalam artikel-artikel bercorak Ilmu Islam, walaupun ramai yang hanya suka pada artikel-artikel mengenai isu sensasi dan semasa. Kita MESTILAH INGAT bahawa tujuan kita hidup di bumi Allah s.w.t. ini adalah semata-mata untuk meninggikan KALIMAH TAUHID YANG MAHA ESA. Hanya dengan mempunyai Ilmu Islam yang Kukuh dan Semangat Jihad yang Utuh dapat kita melaksanakannya. Kalau tidak kita hanya menumpang seronok atas perjuangan orang lain tanpa kita sendiri melibatkan diri ke dalam perjuangan!

Akhir kata saya mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL-FITRI, MAAF DZAHIR DAN BATIN, Insya-Allah kita akan berjumpa di alam siber ini lagi tapi dalam jangka waktu yang agak panjang. Sebelum mengakhiri tazkirah ini, marilah kita mempelajari satu hadis yang panjang semoga ianya dapat memberi sesuatu yang bermanafaat untuk kita.

HADIS 11 : ( Terjemahan )

Ibnu Abbas r.a. berkata bahawa sesungguhnya beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Sesungguhnya syurga diwangikan dan dihiasi dari tahun ke tahun untuk menyambut kedatangan Ramadhan. Apabila tiba malam pertama dari bulan Ramadhan, satu angin akan bertiup dari bawah 'Arasy yang dinamakan ' Muthirah'. Lalu bergeseranlah daun-daun pokok-pokok syurga dan juga gagang pintu-pintu syurga, maka kedengaran dari yang demikian itu satu bunyian merdu yang tidak pernah didengari bunyian yang lebih merdu dari itu sebelumnya. Kemudian muncullah bidadari-bidadari sehingga mereka berhenti di anjung syurga. Mereka kemudian menyeru ' Adakah sesiapa yang ingin meminang kami supaya Allah mengahwinkannya dengan kami?' Kemudian mereka berkata lagi ' Wahai Ridhwan penjaga syurga! Malam apakah ini?' Dia akan menjawab kepada mereka dengan ' Labbaik' kemudian dia berkata ' Malam ini adalah malam pertama dari bulan Ramadhan. Dibukakan pintu-pintu syurga untuk umat Muhammad'. Nabi s.a.w. bersabda lagi: ' Allah s.w.t. akan berfirman " Wahai Ridhwan! Bukakanlah pintu-pintu syurga dan wahai Malik tutuplah pintu-pintu neraka bagi mereka yang berpuasa dari umat Ahmad. Wahai Jibrail! Turunlah ke bumi dan tangkaplah syaitan yang sangat-sangat degil lalu ikatlah mereka dengan rantai kemudian lontarkanlah mereka ke dalam laut supaya mereka tidak dapat merosakkan puasa umat Muhammad kekasihKu".

Baginda bersabda lagi: 'Allah s.w.t. akan memerintahkan seorang penyeru pada setiap malam dari Ramadhan supaya dia menyeru tiga kali' Adakah sesiapa yang ingin memohon sesuatu supaya Aku mengurniakannya? Adakah sesiapa yang ingin bertaubat supaya Aku menerima taubatnya? Adakah sesiapa yang ingin memohon keampunan supaya Aku mengampuninya? Siapakah yang sanggup memberi hutang kepada si kaya yang tidak mungkin akan miskin, yang akan membayar hutangnya sepenuh-penuhnya tanpa dizalimi.

Pada waktu berbuka puasa pada setiap hari dari bulan Ramadhan Allah s.w.t. akan membebaskan sejuta jiwa dari neraka yang kesemuanya telah ditentukan untuk masuk neraka. Apabila tiba hari terakhir dari bulan Ramadhan, Allah s.w.t. akan membebaskan pada hari itu sebanyak mana yang Dia telah bebaskan dari awal bulan sehingga ke akhirnya.

Apabila berlaku Lailatul-Qadr Allah s.w.t. akan memerintahkan Jibrail a.s. supaya turun bersama satu kumpulan malaikat. Bersama mereka terdapat bendera hijau. Dia akan memacak bendera itu di atas Kaabah. Jibarail a.s. mempunyai seratus sayap. Di antaranya terdapat dua sayap yang tidak dibuka kecuali pada malam itu sahaja. Lalu dia membuka keduanya pada malam itu sehingga keduanya akan menutup dari timur ke barat. Kemudian pada malam tersebut Jibarail a s. akan mendorong malaikat-malaikat sehingga mereka pergi memberi salam kepada setiap orang yang sedang berdiri atau duduk, bersolat atau berzikir. Maklaikat-malaikat itu akan berjabat tangan dengan mereka dan akan mengaminkan doa-doa mereka sehingga terbit fajar. Apabila terbit fajar Jibrail a.s. akan menyeru segala malaikat, ' Sekarang berangkatlah! Malaikat-malaikat itu pun akan bertanya, ' Wahai Jibrail apakah Allah s.w.t. telah lakukan terhadap keperluan-keperluan orang-orang yang beriman dari umat Muhammad s.a.w?' Dia akan menjawab ' Allah s.w.t. telah memerhatikan mereka pada malam ini lalu telah mengampunkan mereka kecuali empat jenis manusia'. Maka kami pun bertanya, ' Siapakah mereka ya Rasulullah?' Baginda bersabda: ' Lelaki yang berterusan meminum arak, dia yang mendurhakai kedua ibu-bapanya, dia yang memutuskan silaturrahim dan musyahin'. Kami telah betkata 'Ya Rasulullah! Siapakah itu musyahin?' Baginda menjawab ' Dia adalah orang yang memutuskan perhubungan keluarga'.

Apabila tiba malam hari raya Aidil Fitri - malam itu dinamakan ( di sisi penduduk langit) Lailatul Jaizah. Pada pagi hari raya itu Allah s.w.t. menghantar para malaikat ke setiap tempat. Lalu mereka turun ke bumi dan berdiri di muka-muka jalan dan lorong. Mereka akan menyeru dengan suara yang didengari oleh semua apa yang telah diciptakan Allah s.w.t. kecuali jin dan manusia. Mereka berkata ' Wahai umat Muhammad! Keluarlah kepada Tuhan Yang Maha Pemurah yang mengurniakan dengan banyaknya dan memaafkan dosa-dosa besar. Apabila mereka tiba di tempat sembahyang raya, Allah s.w.t. akan bertanya pada para malaikat, " Apakah balasan bagi seorang pekerja yang telah melakukan kerjanya?" Baginda bersabda, ' Para malaikat akan berkata ' Wahai Tuhan kami dan Pemilik kami, balasannya ialah disempurnakan ganjarannya'. Lalu Allah s.w.t. berfirman " Kerana itu Aku telah menjadikan kamu sebagai saksi. Wahai malaikatKu! Sesungguhnya Aku telah jadikan balasan kepada mereka kerana puasa mereka di bulan Ramadhan dan berdirinya mereka ( beribadat kepadaKu di dalam Tarawih) ialah keredhaanKu dan keampunanKu! Pohonlah dariKu. Demi kemulianKu dan kehebatanKu, tidaklah kamu memohon sesuatu pun dariKu pada hari ini di dalam perhimpunan kamu ini untuk kepentingan akhiratmu kecuali Aku akan menunaikannya dan tidak juga untuk kepentingan duniamu kecuali Aku akan memandang untuk kebaikanmu. Demi kemuliananKu, aku akan tutupkan keaiban-keaibanmu selama mana engkau mengambil berat terhadapKu. Demi kemulianKu dan demi kehebatanKu, tidaklah Aku akan menghinakan kamu dan tidak juga Aku akan memalukan  kamu di kalangan orang-orang yang berdosa ( dan orang-orang kafir ) kembalilah kamu di dalam keadaan kamu telah diampunkan.Sesungguhnya kamu telah meredhakan Daku dan Aku juga telah meredhakan kamu.Para malaikat pun bergembira dan bersuka ria dengan apa yang Allah telah berikan pada umat ini apabila mereka telah selesai dari puasa di bulan Ramadhan.

Semoga hadis yang akhir ini dapat memberikan panduan yang sempurna dan Allah s.w.t. menerima kita spertimana yang kita harap-harapkan. Amin! Amin! Ya RabbalAlamin!

H.M.Subuh

Hits: