BERSYUKUR ATAU TIDAK??

KUALA LUMPUR: Sudah menjadi satu budaya baru dalam masyarakat Malaysia hari ini, di mana pemimpinnya suka mengungkit dan menagih semula budi yang ditaburkan, dan mencungkil perkara yang pernah mereka buat, lalu meminta supaya rakyat berterima kasih kepada mereka. "Itu bukan budaya Islam," tegas seorang ulama terkenal yang dihormati di negara ini, Datuk Dr Haron Din.

"Budaya itu jauh sekali dengan budaya Islam yang menghendaki masyarakatnya melakukan sesuatu kerja dengan keikhlasan," katanya kepada wakil Tamadun, dalam satu pertemuan baru-baru ini.

"Kita ambil contoh sedekah," katanya lagi untuk memberi penjelasan agar perkara tersebut tidak terus mengelirukan masyarakat. "Apabila kita memberi sedekah, pemberian itu hendaklah ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Kalau pemberian itu dengan mengharapkan pembalasan orang atau masyarakat, lalu kalau orang tidak berterima kasih kita marah, ungkit dan sakitkan hatinya - itu bertentangan dengan al-Quran."

Haron Din membuat rujukan kepada ayat al-Quran yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, jangan kamu batalkan pahala amalan kebaikan kamu termasuk sedekah, dengan mengungkit menyebut perkara yang dapat menyakitkan hati orang yang menerima kebaikan itu.

"Pahala kebaikan kita kepada sesiapa pun, dalam apa bentuk pun, tidak seharusnya diungkit dan diulang-ulang minta orang 'bersyukur'. Jelas ia bukan budaya Islam," katanya.

Selanjutnya ulama itu menjelaskan bahawa Allah menggambarkan perkara itu dalam al-Qur'an "umpama orang yang meletakkan segumpal debu di atas permukaan batu yang licin, lalu datang angin menerbangkan debu tersebut sehingga tiada apa pun yang tertinggal."

Demikianlah Allah melupuskan semua pahala kebajikan orang yang mengungkit selepas melakukan kebajikan atau menyakitkan hati orang yang menerima kebajikannya.

Sementara itu Haron Din juga mempersoalkan: "Betulkah orang yang mendapat kebaikan daripada kerajaan itu tidak bersyukur?" "Kesyukuran kita yang pertama sekali ialah kepada Allah swt," katanya. "Mustahil orang Islam tidak bersyukur. Mereka bersyukur dengan pelbagai cara, seperti bersyukur dengan melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan, dan menegakkan makruf dan menghapuskan yang mungkar."

Apabila ada pemimpin yang mahu mengubah makna syukur itu kepada menyokong kerajaan, "ia adalah sesuatu yang menyeleweng daripada makna syukur yang sebenar," tegas Haron Din lagi.

Beliau menjelaskan maksudnya dengan mengambil iktibar dari sejarah Rasulullah. Apabila Nabi Muhammad s.a.w wafat, umat Islam memilih Abu Bakar sebagai pengganti. Abu Bakar membuat ucapan sulung sebagai dekri atau asas pentadbirannya, dengan berkata: "Taatlah kepada perintah aku selagi aku taat kepada perintah Allah swt. Jika kamu lihat aku melanggar perintah Allah swt, maka jangan lagi taat kepada aku." Malah dijelaskan lagi dengan berkata, "Kalau kamu melihat aku melakukan perkara salah, maka hendaklah kamu tentang aku."

Prinsip yang sama juga digunakan oleh Umar apabila dia menggantikan Abu Bakar. Katanya, "Kalau kamu melihat aku membuat perkara yang bengkok, hendaklah kamu perbetulkan aku." Maka bangun seorang sahabat dengan mengangkat pedang sambil berkata, " Wahai Umar, kalau kami melihat kamu bengkok, kami akan betulkan dengan pedang kami."

"Itulah makna syukur yang difahami mereka," kata Haron Din. "Kalau pemerintah silap, kita kena tegur." Menyentuh mengenai percubaan Menteri Besar Selangor hendak menudung kes rasuahnya dengan mengungkit pemberian tanah yang diberikan kepada beberapa tokoh parti pembangkang, Haron Din melihatnya seperti "isu yang sebesar itu telah dicuba untuk menudung seperti mahu menudung bangkai gajah dengan sehelai rumput kering."

"Bolehkah menudung bangkai gajah dengan rumput kering? Tentulah tidak boleh," tegasnya. Bagi Haron Din, anggota pembangkang yang mendapat habuan tanah adalah juga sebagai rakyat Malaysia yang sah, sepertimana orang lain juga yang mendapat hak jika mereka layak dan boleh iberikan tanah. "Jika diberikan kepada pembangkang, apakah ia suatu kesalahan?" tanya beliau.

Beliau memberikan contoh mudah seperti ahli parti pembangkang menggunakan jalanraya yang digunakan kerajaan BN, adakah itu satu kesalahan? Mereka menggunakan masjid - apakah itu satu kesalahan? "Tentulah itu suatu proses yang normal dalam mana-mana masyarakat. Dan mereka menyertai pembangkang pun bukannya membuat sesuatu yang menyalahi undang-undang. Ia masih dalam bidang yang dibenarkan dalam negara demokrasi berparlimen," katanya.

Beliau berpendapat adalah tidak relevan mengaitkan kes rasuah Menteri Besar itu dengan kemudahan atau peluang rezeki yang diperolehi anggota pembangkang. Masyarakat harus menimbang - berapa kerat dari golongan pembangkang yang mendapat kemudahan yang disebutkan itu, dibandingkan dengan senarai orang Umno atau BN yang mendapatnya, dan jumlah semua kemudahan yang mereka dapat.

"Saya rasa eloklah juga disenaraikan nama orang Umno/BN yang mendapat kemudahan harta seperti itu, supaya masyarakat dapat melihatnya," katanya. Seterusnya beliau menyatakan - apabila Selangor menghadapi masalah seperti ini, masyarakat tertanya-tanya benarkah MB yang baru memegang jawatan itu terlibat dengn rasuah? Maka selagi tidak diberikan jawapan muktamad, selama itulah masyarkat beranggapan tuduhan itu benar.

"Cara mendiamkan kes-kes begini memang selalu mereka lakukan," katanya lagi. "Masyarakat masih menunggu keputusan, tetapi ia disimpan di bawah karpet. Tidak tahu bila berakhir kes-kes lama itu. Dengan tuduhan ini bertambah lagi kes. Jika didiamkan sahaja maka akan kembonglah karpet-karpet itu dengan sampah-sampah yang semakin banyak."

Hits: