Andrey Cherkasov:  Mainan Orang Minyak
(The Game People Play With Oil)

Permainan  yang  melibatkan harga minyak yang menjadi drama hebat di seluruh dunia sudah memakan masa satu bulan. Nampaknya permainan  ini  akan dimenangi oleh mereka yang mengeluarkan minyak.  Di bawah ini ialah sedikit  kisah   mengenai perkara  ini.

Harga minyak mentah (krud)  telah menurun secara mendadak di pasaran  saham  Amerika dan Eropah sejak November. Harga merudum  di bawah  $15 setong (per barrel).  Ada banyak penyebab  kejatuhan harga  itu. Tetapi   pihak  media massa negara demokrasi “yang dikatakan  boleh dipercayai itu”  telah  menyebut hanya  dua  faktor sebagai penyebabnya:  (a) keadaan kurang stabil di Timur Tengah  dan  (b) operasi  anti pengganas di Afghanistan yang diusahakan oleh Amerika. Memang sukar  mempercayai saranan ini kerana alasan itu  seharusnya  mencetuskan kenaikan  harga minyak. Apabila  minyak berkurangan  tentulah harganya naik mencanak.  Negara OPEC  menyelesaikan masalah begini  dengan meminta jasa baik   negara  pengeluar yang lain (bukan anggota OPEC) agar mengurangkan  pengeluaran  mereka. Cadangan ini tidak disetujui  oleh kerajaan Russia.  Perdana menteri   Michael Kaasyanov mendakwa bahawa  perbelanjaan negara  tidak akan terjejas seandainya  satu tong  minyak krud berharga cuma sepuluh dollar. Sekali lagi sukar memahami logik pendapat itu.   Dari manakah  Russia mahu mencekau  wang seandainya  keseluruhan  perbelanjaan negara bergantung pada pengeksportan  minyak.

Nampaknya matlamat utama kerajaan Ksayanov ialah mengeluarkan minyak untuk dihantar ke Eropah, sambil menanggung kerugian. Negara OPEC juga sedar,  ketika  mereka mengugut  Russia  dengan meningkatkan  pengeluaran minyak mereka, bererti   harga  minyak  berkemungkinan jatuh  kurang dari sepuluh dollar setong. Ini akan menghancurkan ekonomi Russia yang amat bergantung kepada  industri  petrodollar.

Pertelagahan itu  berjalan selama satu bulan. Akhirnya, timbalan perdana menteri Russia Aleyksey Kudrin,  mengumumkan rencana Russia untuk mengurangkan  pengeksportan  minyak mentah  ke pasaran dunia  sebanyak 50,000 tong  setiap hari. Tetapi, harga  minyak semakin menggelonsor  setiap hari.  Ini  menyebabkan satu kumpulan peniaga minyak  yang dihormati di Russia  yang diketuai oleh presiden LUKOIL, Vagyt Alekperov, bertemu dengan  Presiden Putin. Selepas pertemuan itu mereka berbincang pula dengan Perdana Menteri Kasyanov. Kemudian kerajaan Russia mengumumkan  bahawa pengeksportan minyak dikurang  sebanyak 150,000 tong setiap hari  mulai Januari hingga Mach 2002.  Dengan pants ini menyebabkan harga minyak  naik mencanak sehingga melepas dua puluh dollar  setong. Negara OPEC mengalu-alukan  tindakan itu, sambil memperakukan kekuatan mereka untuk mengawal harga minyak.  Mereka sudah merancang untuk mengurangkan pengeluaran mereka sehingga 150,000 tong setiap hari.

Jabatan akhbar  kerajaan telah  mengeluarkan kenyataan mereka mengenai perkara ini.  Russia bersedia berdialog bukan sahaja dengan OPEC tetapi  dengan  pembeli utama minyak.  Mereka  bersedia  mengurangkan lagi keluaran  minyak mereka, bergantung kepada keadaan pasaran minyak  mentah.

Inilah kisahnya. Sebab utama harga minyak menurun adalah wujudnya krisis ekonomi di Eropah Barat dan Amerika. Bukannya  kisah Amerika  meraba Afghanistan untuk menghambat Osama bin Laden, seperti yang mereka mahu kita percaya.  Budak kecil pun tahu, semua   kelengkapan tentera menggunakan  lebih banyak minyak ketika berperang,  berbanding  waktu damai. Dengan itu  operasi Amerika di Afghanistan boleh menaikkan lagi harga minyak dan bukan  membuatkan harga turun.

Demikianlah, apabila  taikun petroleum Russia, meyakinkan kerajaan dan presiden mereka  agar tidak mendesak terhadap  mengurangkan   pengeluaran Russia, tetapi  membincangkan  pengurangan  pengeksportan  mereka.  Inilah satu keputusan yang baik.  Untuk mengurangkan  pengeluaran sebanyak 150,000 tong sehari di musim sejuk ini mempunyai risiko   bekalan minyak di Russia.  Ini bermakna  kita perlu memikirkan kepentingan sendiri dulu dalam pasaran dan bukan  memikirkan untuk mempercayainya segala perkara  yang disogokkan oleh Amerika.

Diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh  Dmitry Sudakov.

Hits: