Kenyataan Akhbar Setiausaha Agung Parti Keadilan Nasional

Sempena Sambutan Hari Raya Eidul Fitri, Hari Krismas Dan Tahun Baru

Parti Keadilan Nasional (keADILan) akan mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Eidul Fitri, Hari Krismas dan Tahun Baru serentak pada 1 Januari 2002.

Majlis sambutan serentak yang julung-julung kali dianjurkan ini adalah bertepatan dengan semangat integrasi kaum dan menghormati pelbagai budaya dan agama yang menjadi dasar dan falsafah keADILan. Inisiatif ini juga bertujuan memupuk perasaan saling hormat menghormati, toleransi dan perpaduan kearah merealisasi  matlamat besar integrasi nasional.

Majlis yang akan berlangsung mulai jam 2.30 petang hingga 6.30 petang akan dihadiri oleh para tetamu dan jemputan yang terdiri daripada orang ramai, ahli-ahli dan pimpinan Barisan Alternatif serta DAP, tokoh-tokoh masyarakat, sasterawan dan budayawan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, ahli-ahli Majlis Peguam dan badan-badan profesional serta  para diplomat asing.

KeADILan menjangkakan tidak kurang daripada 5,000 tetamu akan menghadiri majlis sambutan tersebut yang akan diadakan di Pusat Penerangan keADILan, Jalan Lawan Pedang, Seksyen 13, Pusat Perdagangan Tadisma, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Sehubungan dengan itu, keADILan ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Fitri, Selamat Menyambut Hari Krismas dan Selamat Tahun Baru kepada seluruh rakyat Malaysia.

Semoga sambutan perayaan kali ini akan lebih memantapkan lagi perpaduan kaum dan integrasi nasional di negara ini. Perpaduan yang dibentuk atas asas saling hormat menghormati, toleransi dan cintakan keamanan ini diharap dapat membentuk Malaysia yang lebih adil dan gemilang.

 

Sahri Bahari
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Nasional
13 Disember 2001  

Hits: