PERUTUSAN SETIAUSAHA AGUNG PARTI KEADILAN NASIONAL  

SEMPENA HARI HAK ASASI MANUSIA SEDUNIA

Hari Hak Asasi Manusia Sedunia yang disambut pada 10 Disember 2001 merupakan tarikh yang cukup bermakna dan sepatutnya direnungi bersdama oleh rakyat negara ini. Walaupun tidak ada sambutan rasmi yang dibuat oleh pihak berkuasa di negara ini, ia tidak bermakna kita harus melupakan peri pentingnya aspek hak asasi manusia dan kesannnya terhadap sosio- politik tanah air.

Ketika dunia hari ini menyaksikan pelbagai pencabulan hak asasi manusia seperti yang berlaku di Palestin, Afghanistan dan  di beberapa pelusuk dunia yang lain,  kita di Malaysia tidak harus menutup mata terhadap rekod hak asasi manusia di negara kita sendiri.

Sementara rakyat sering diasak dengan pemikiran-pemikiran yang menyempitkan pengertian hak asasi manusia, isu sebenar yang dihadapi oleh rakyat negara ini seperti hak dan kebebasan bersuara, berhimpun, menerbit, berpersatuan dan berpolitik secara demokratik  masih lagi menjadi persoalan yang serius dan polemik yang berterusan.

Sejauh manakah negara benar-benar menghormati dan mengamalkan prinsip dan hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Perkara 5 dan perkara 10 Perlembagaan Persekutuan

Seringkali digambarkan bahawa rekod hak asasi manusia negara ini sebagai antara yang terbaik. Alasan yang lazim diberikan oleh pihak berkuasa selalunya dikaitkan dengan soal ekonomi dan pembangunan  - semata-mata daripada aspek kebendaan. Kerajaan sering merujuk kepada  rekod mereka  menyediakan infrastruktur, kemudahan awam, prestasi ekonomi dan pembangunan. Memenuhi keperluan rakyat daripada aspek kebendaan ini ditonjolkan sebagai panacea  - jawapan mutlak terhadap memenuhi tuntutan hak asasi manusia di negara ini.

Isu pokok yang melibatkan persoalan hak bersuara, kebebasan berhimpun dan hak berpolitik secara demokratik terutamanya, sengaja dilupakan. Beberapa insiden yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah cukup untuk membuktikan sikap negatif kerajaan dalam mengiktiraf prinsip hak-hak asasi manusia. Malah lebih mendukacitakan, kerajaan sering berselindung di sebalik hujah bahawa mereka telah memperolehi mandat dua pertiga majoriti daripada rakyat untuk memerintah. Namun, ini tidak bermakna mereka secara sewenang-wenangnya boleh melanggar hak-hak asasi manusia di negara ini. 

Sebagai contoh, dalam beberapa siri perhimpunan aman rakyat negara ini seperti di Lebuhraya Kesas dan dalam Perhimpunan Rakyat yang bertujuan menghantar memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Kuala Lumpur, pemerintah jelas menafikan hak-hak rakyat yang diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan .

Begitu juga dalam soal kebebasan bersuara dan berhimpun. Hak rakyat negara ini sering dinafikan. Permit-permit ceramah disekat dan perhimpunan aman pula dihalang. Pihak pemerintah bersikap melampau dan keterlaluan dengan menggunakan pelbagai akta, tekanan dan momokkan untuk terus menghalang parti-parti alternative dan pertubuhan-pertubuhan yang sah menjalankan aktivitinya.

Begitu juga dengan media penerbitan. KeADILan telah lama dinafikan permit untuk menerbitkan suara rasminya. Penerbitan yang berani memberikan pandangan alternatif, mendedahkan penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa, ditarik permit, ditekan dan diugut.

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). ISA yang pada asalnya digunakan untuk menentang ancaman komunis kini jelas diperalatkan untuk kepentingan politik parti pemerintah. Mereka yang ditahan dinafikan hak untuk membela diri mereka di mahkamah yang terbuka. Pelbagai tuduhan direka cipta bagi menjustifikasikan tahanan dan bertujuan menakut-nakutkan rakyat berbilang kaum.

Semua ini merupakan titik hitam yang menyelubungi rekod hak asasi manusia negara ini. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dalam satu siasatannya berhubung dengan perhimpunan aman rakyat, memperakui banyak hak-hak asasi manusia telah dicabuli secara terang oleh pihak berkuasa.

Dalam laporan siasatan SUHAKAM berhubung dengan Perhimpunan Aman 100,000 Rakyat di Lebuhraya Kesas, jelas diperakui bagaimana polis terutamanya membelakangkan undang-undang dan melaksanakan tugas melampaui bidang kuasa  dan prosedur mereka.

Begitu juga dengan soal tahanan politik di bawah ISA. Banyak prinsip-prinsip hak asasi manusia yang telah dinafikan. Tahanan tanpa bicara, keadaan kem tahanan, hak untuk beribadah, kemudahan-kemudahan asas dan urusan yang melibatkan pembelaan oleh peguam adalah di antara contoh-contoh di mana aspek hak asasi dicabuli.

Malangnya, laporan SUHAKAM tersebut ditempelak oleh para pemimpin kerajaan sehingga mempertikaikan kewibawan Suruhanjaya yang ditubuhkan oleh Parlimen itu. SUHAKAM dituduh menjadi suara Barat dan bermacam-macam lagi.

Kesimpulannya hasil siasatan SUHAKAM bukan hanya tidak dipandang serius, sebaliknya cara SUHAKAM membentangkan laporan pula yang diperbesarkan. Inilah sikap pihak berkuasa yang telah menjadikan budaya menafikan fakta sebagai sebahagian daripada cara pemerintahan negara.

Sehubungan itu, keADILan berpendapat, rakyat harus terus memberikan desakan kepada kerajaan agar menghormati dan melindungi hak asasi mereka sebagai warganegara dalam sebuah negara yang berdaulat.

KeADILan juga meletakkan harapan yang tinggi kepada SUHAKAM agar terus tegas dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. SUHAKAM mestilah lebih aktif mendidik rakyat agar lebih mengetahui dan memahami hak-hak asasi mereka.

Di samping itu, kita melihat cabaran terbesar SUHAKAM ialah untuk memastikan kerajaan bukan hanya menghormati bahkan melindungi hak-hak asasi rakyat negara ini.

Sempena dengan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia,  kita menuntut agar undang-undang despotisme dan zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Polis, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti hendaklah dimansuhkan dengan segera atau sekurang-kurangnya dipinda agar sejajar dengan semangat demokrasi, kebebasan bersuara, keterbukaan berpolitik dan hak asasi manusia.

Selaras dengan itu juga, kita menuntut agar semua tahanan politik di bawah ISA dibebaskan dengan segara tanpa syarat.

Kepada indvidu mahupun pertubuhan yang memperjuangkan hak asasi manusia, keADILan ingin mengalungkan ucapan tahniah dan penghargaan di atas kesediaan dan keberanian mereka memperjuangkan prinsip ini.

Harapan KeADILan ialah agar semua pihak yang tidak pernah kenal erti jemu berjuang untuk kesejahteran rakyat agar tidak putus asa dalam perjuangan mereka menuntut  hak mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Sekalipun berdepan dengan pelbagai sekatan dan kezaliman, KeADILan yakin perjuangan murni ini akan terus dipertingkatkan. Malah KeADILan percaya dan penuh yakin cahaya kebenaran akan tetap bersinar hasil perjuangan ikhlas kita menegakkan kebenaran.

 

SAHRI BAHARI
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Nasional

13 Disember 2001

Hits: