TINDAKAN PBS SUDAH DIDUGA

Tindakan Parti Bersatu Sabah menyertai Barisan Nasional tidak memeranjatkan saya dan kawan-kawan yang mengenali parti pimpinan Datuk Pairin tersebut. Seawal selepas pilihan raya umum negeri tahun 1999 lagi, beberapa usaha mendekati pimpinan BN memang rancak dilakukan oleh pemimpin-pemimpin PBS.

Antara yang kedengaran ketika itu ialah perlumbaan kalangan Timbalan-Timbalan Presiden untuk menjadi juara dalam membawa PBS menyertai BN. Hasilnya Hj. Malik Chua menyertai BN bersama seorang pengikut iaitu Ulin Pamiang.  Tidak lama kemudian kedengaran pula berita Dr. Maximus ingin menyertai BN, tetapi berkesudahan  dengan Dr. Jeffry Kitingan bersama enam orang wakil rakyat menyertai komponen BN Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pimpinan Datuk Joseph Kurup.

Selepas itu terdapat usaha beberapa pihak dalam PBS yang menginginkan agar PBS menyertai pakatan BA. Tetapi ditentang dengan keras oleh Dr. Maximus dan AK Aliuddin. Antara pimpinan pemimpin atasan PBS yang  kelihatan serius untuk berunding dengan BA ialah Dr. Yee Moh Chai dan Datin Jamilah Sulaiman.

Menurut maklumat yang boleh dipercayai, Dr. Maximus sangat menentang pakatan dengan BA kerana beliau amat rapat dengan pemimpin BN. Ketika ini Dr. Maximus sedang belajar di UK dan diberitakan beliau mendapat biasiswa kerajaan persekutuan! Di Sabah Dr. Max memiliki sebuah kolej pendidikan swasta yang mendapat status MSC. Bagaimana seorang pemimpin pembangkang mendapat kemudahan kerajaan?

PBS sebenarnya mempunyai rekod berunding yang buruk. Seawal penubuhannya, PBS telah menipu USNO sebuah parti tempatan yang majoriti ahlinya bumiputera Islam. Mulanya mereka mengadakan pakatan bersama untuk menumbangkan BERJAYA. Apabila PBS mendapat kerusi lebih, mereka terus meninggalkan USNO dan membentuk kerajaan sendiri.

Selepas itu mereka meninggalkan BN beberapa hari selepas hari penamaan calon pada pilihan raya umum 1995. Mereka menyerahkan borang pencalonan ketika mereka masih menggunakan lambang BN. Itu sebabnya Dr. Mahathir amat marah dan mengatakan PBS menikam dari belakang.

Semasa pilihan raya umum parlimen 1999, PBS memberi laluan kepada keADILan bertanding beberapa kerusi, tetapi rundingan langsung tidak seimbang dan tidak munasabah. Abdul Rahman Yakub ketua perhubungan ketika itu sepatutnya bertanding di kawasannya sendiri di Beaufort, tetapi terpaksa bertanding di Sipitang kerana PBS tidak mahu memberi laluan di Beaufort. Dr. Badrul Amin anak jati Tawau, terpaksa bertanding di Lahad Datu kawasan yang asing dengannya, Datin Saidatul Badru ketua perhubungan keADILan sekarang sepatutnya bertanding di Kota Belud tetapi langsung tidak bertanding kerana PBS enggan memberi laluan.

Kini mereka kembali merayu kepada BN. Perjuangan apa yang dibawa oleh PBS hari ini? Kalau dulu mereka jelas memperjuangkan kedudukan masyarakat bumiputera bukan Islam sebagai balasan terhadap sikap USNO yang mengutamakan bumiputera Islam sekian lama. Tetapi hari ini perjuangan itu sudah tidak ada, yang penting bagi mereka ialah survival parti PBS. Parti mesti terus wujud sebagai platform tempat pemimpin-pemimpinnya  mencari peluang dan kesempatan. Dengan menyertai BN sebagai parti komponen, mereka tidak kehilangan jawatan yang sedang disandang, mereka masih tetap Presiden, Timbalan, Naib, Setiausaha dan sebagainya.

PBS selama ini lantang menyuarakan beberapa isu seperti Kad pengenalan palsu, Pengundi hantu, pendatang haram yang masih berleluasa di Sabah. Beberapa bulan sebelum menyertai BN, kerajaan Negeri menghadapi beberapa kemelut besar seperti pengakuan oleh Ketua Menteri terhadap perjanjian penswastaan agensi-agensi kerajaan negeri yang tidak masuk akal, Teguran oleh Ketua Audit Negara terhadap pembaziran penggunaan wang yang keterlaluan oleh kerajaan negeri dan beberapa isu tempatan seperti penimbusan (reclamation) Teluk Likas yang bakal mencemar Masjid Bandaraya.

PBS menyertai BN ketika BN dalam keadaan mempunyai imej terkotor dalam sejarah! Perjuangan apa lagi yang tinggal?

Tidak hairanlah respon masyarkat secara umumnya tidak mengalu-alukan tindakan ini. Kaum Cina paling merasa tertipu kerana mereka tidak pernah dipinta pandangan. Dr. Yee Mo Chai dan Kong Hong Meng terang-terang memberi ulasan yang negatif terhadap keputusan tersebut. Masyarkat kadazandusun yang selama ini menjadi pendokong setia PBS juga tidak dapat menerima tindakan tersebut. Memang menjadi tabiat PBS untuk tidak mendapatkan pandangan umum sebelum membuat keputusan besar. Dulu mereka keluar BN pun hanya diputuskan oleh orang-orang atas sahaja, kini keadaan yang sama berulang kembali.

Kepada rakan-rakan Cina dan Kadazandusun, keADILan kini merupakan pilihan terbaik untuk memperlihatkan protes anda terhadap keputusan pemimpin-pemimpin pengkhianat kembali kepada BN tersebut.

Bekas Calon PBS

Hits: