PM Pertahankan Pelantikan Gani Patail Sebagai Peguam Negara
 
 
PUTRAJAYA, 17 Dis (Bernama) -- Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad Isnin berkata Peguam Negara baru, Datuk Abdul Gani Patail perlu diberi peluang untuk membuktikan kebolehannya.

Perdana Menteri berkata adalah tidak adil untuk mengkritik pelantikan Abdul Gani tanpa melihat prestasinya.

 

Bercakap kepada pemberita di majlis rumah terbuka Hari Raya di Seri Perdana di sini, Dr Mahathir berkata walaupun ada pihak yang menyoal kebolehan Abdul Gani dalam menjalankan tugasnya sebagai Peguam Negara, ia hanyalah pandangan orang perseorangan.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan pada 14 Dis lepas mengenai kenyataan Majlis Peguam yang menyuarakan rasa bimbangnya terhadap pelantikan Abdul Gani dalam satu surat kepada Perdana Menteri.

Dalam surat itu, Majlis Peguam dilaporkan berkata Peguam Negara haruslah seorang yang boleh "dihormati".

Abdul Gani dilantik Peguam Negara berkuatkuasa 1 Jan depan.

Beliau menggantikan Datuk Seri Ainum Mohamed Saaid yang bersara sebelum tamat tempoh jawatannya kerana masalah kesihatan.

Ketika ditanya sama ada beliau telah menerima surat Majlis Peguam itu, Dr Mahathir berkata beliau belum melihatnya.

Katanya pihak yang membuat protes terhadap pelantikan Abdul Gani mungkin mempunyai kaitan dengan parti politik.

Beliau juga berkata akan wujud perbezaan pendapat mengenai pelantikan Abdul Gani.

"Ia merupakan pendapat semata-mata.

Anda mengatakan ada orang lebih berkelayakan.

Orang lain (akan) berkata bahawa Gani adalah layak.

Apa yang akan menentukan siapa yang layak?" Dr Mahathir turut mengulas satu lagi isu yang dibangkitkan oleh Majlis Peguam dalam surat itu mengenai penghakiman Mahkamah Persekutuan terhadap kes menghina mahkamah peguam Zainur Zakaria yang menyentuh kelakuan Abdul Gani.

"Ini adalah satu kes, hampir semua mereka yang menjadi saksi pendakwaan termasuk polis, semua dicapkan sebagai orang yang tidak baik termasuk hakim juga dikecam dengan hebat.

"Saya dapati bahawa Majlis Peguam tidak harus terpengaruh dengan pendapat yang sememangnya berasas kepada politik," kata Dr Mahathir.

-- BERNAMA