Indera Kayangan : Prelude Kepada Pilihan raya Umum 2003/4

Kematian Ahli Exco Kerajaan Negeri Perlis akibat barah usus mendiang Khor Liang Tee yang juga ADUN Indera Kayangan  memang telah diduga baik di pihak BA mahu pun di pihak BN.

Malah ura-ura pilihan raya kecil di Perlis telah diwar-warkan sejak pertengahan tahun ini lagi. Pihak media kerajaan awal-awal lagi telah membuat sedutan tentang aktiviti Shahidan Kassim yang melawat dan menyampaikan sumbangan di kawasan Indera kayangan ini. Semua petunjuk itu menandakan akan berlakunya pilihan raya kecil Sekarang telah terbukti dengan kematian Khor tadi.

Suka atau tidak pilihan raya kecil terpaksa diadakan kerana telah berlaku kekosongan dalam jangka masa lebih dari 2 tahun sebelum berakhirnya penggal ini.

Dalam pilihan raya umum 1999 mendiang Khor menewaskan calon Parti Keadilan Nasional dengan majoriti  1974 . Mendiang Khor mendapat undi sebanyak 3825 manakala calon keADILan mendapat 1851. Satu kedudukan yang boleh dianggap selesa bagi BN kerana jumlah pengundi berdaftar di Indera Kayangan hanyalah sekitar 7000 pengundi sahaja.

Namun dalam pilihan raya kecil macam-macam boleh berlaku, kalau kena dengan cara berkempen dan isu-isu yang bakal diketengahkan oleh kedua belah pihak keputusan pilihan raya ini tidak bergantung sepenuhnya kepada rekod pilihan raya yang lalu.

Lunas adalah contoh terbaik sejak 43 tahun merdeka Lunas tidak pernah berwakil rakyatkan dari parti pembangkang namun dalam pilihan raya kecil Lunas Saifuddin Nasution Hj. Ismail telah membuktikan bahawa rekod kemenangan BN sejak merdeka boleh dileburkan.

Begitu juga dengan Indera Kayangan , kawasan Perbandaran Kangar itu sendiri . Politik ugutan soal pembangunan tidak boleh dijadikan modal oleh BN untuk mengugut para pengundi sekiranya pengundi memilih untuk memenangkan pembangkang kerana Kangar adalah pusat pemerintahan Shahidan & Co. Mana mungkin tidak dilakukan pembangunan di Bandar Kangar ?

Suasana politik mutakhir ini memberi sedikit kelebihan kepada BN untuk terus berkuasa di Indera Kayangan . Pilihan raya kecil ini juga bakal menjadi kayu pengukur kepada kedua belah pihak tentang sambutan pengundi terhadap pihak-pihak yang bertanding.

Dengan isu pengganas dan Taliban yang tak semena-mena dikaitkan dengan PAS oleh media kerajaan yang bertujuan menakutkan orang Cina yang telah mula berjinak-jinak dengan BA bakal terus dimainkan oleh TV3/4, RTM dan NTV7 . Jelas benar-benar menekan pihak pembangkang terutamanya keADILan yang dipercayai bakal diberi mandat untuk meletakkan calonnya bagi mewakili BA menentang BN yang juga dipercayai akan diwakili oleh MCA.

Apa yang menarik yang perlu diberi perhatian adalah bagaimana pihak BA mampu menggarap sokongan dari para pengundi dalam keadaan tertekan di mana : Rakyat dipaksa mendengar dan menonton untuk mendapatkan maklumat hanya dari media yang dikuasai oleh kerajaan . Sudah pastilah maklumat tersebut akan menguntungkan BN semata-mata . Sedangkan asses utama BA untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat hanyalah melalui ceramah yang mana telah disekat secara tidak adil oleh kerajaan yang memerintah dengan  memperkuda jentera kepolisan untuk kepentingan politik UMNO/BN semata-mata.

Situasinya sekarang adalah seperti pertandingan tinju , peninju BN dibebaskan melakukan apa sahaja dengan pengadilnya berpihak kepada BN manakala peninju BA pula diikat tangan dan ditutup mata semasa pertandingan di mulakan.

Tetapi kita para pencinta BA tidak boleh menjadikan keadaan itu sebagai alasan untuk menerima kekalahan . Dengan bantuan dari langit , yakin dan percayalah Indera Kayangan boleh kita rampas dari BN jika kena pada cara dan isu yang bakal dimainkan.

Perhatikan kepada statistik ini :

Pengundi Melayu 47 % , manakala pengundi Cina pula 48 % dan baki 5 % adalah India dan Lain-lain. BA kemungkinan besar calon Cina dari keADILan dan BN pula MCA.

Sekarang ini MCA sedang bergolak dengan hebatnya antara kumpulan 8 yang diketuai oleh Timbalan Presiden Lim Ah Lek dan Team A oleh Ling Liong Sik . Apakah pergolakan ini tidak menjejaskan sokongan masyarakat Cina kepada MCA ? Sesuatu yang menarik perlu di analisis oleh Think-Tank BA . Oleh kerana kedua calon yang bakal bertanding adalah dari kaum Cina soal perkauman tidak boleh dijadikan Isu oleh BN sebagaimana yang terjadi di Lunas ( mainan perkauman oleh Samy Vellu ).

Secara logiknya yang pasti adalah akan berlaku perpecahan undi di kalangan pengundi Cina . Manakala Undi orang India dan lain-lain hanyalah 5 % sahaja .

Maka yang menarik dan bakal menentukan kemenangan seseorang calon itu nanti adalah pengundi Melayu……………… yang secara keseluruhannya tidak dapat dipengaruhi oleh isu keganasan dan Taliban mainan UMNO / BN ini.

Berbeza dengan Lunas yang mana undi Cina menjadi penentu kepada kemenangan calon itu tetapi di Indera Kayangan ini pengundi Melayulah yang akan menjadi King-maker nya.

Apakah benar sebagaimana yang didakwa oleh BA dan BN bahawa semenjak peristiwa hitam Anwar Ibrahim 1998 sokongan orang Melayu kepada BN begitu merosot sekali sehingga YB Azmi Khalid anak Perlis sendiri membuat kenyataan 64 % orang Melayu menolak BN dalam pilihan raya umum 1999 yang lalu.

Jadi kesimpulannya mampukah BA menawan Indera Kayangan atau mampukah BN mempertahankan Indera Kayangan dengan pengundi Melayu menjadi faktor penentu ?

Semuanya bakal terjawab sedikit masa lagi …………………………(bersambung )

 

Sham Abadi

Hits: