Pergolakan MCA Isu Utama Bagi Keadilan
 
 
KANGAR, 22 Dis (Bernama) -- Pergolakan MCA dan masalah dalaman Umno di Perlis adalah antara isu utama yang akan dibawa dalam kempen Parti Keadilan Nasional bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan, kata naib presiden Keadilan, Azmin Ali, Sabtu.

Sambil menyifatkan Keadilan mempunyai peluang untuk memenangi kerusi itu, beliau berkata kemelut MCA yang berlarutan sehingga kini sudah pasti mencabar keyakinan pengundi terutama masyarakat Cina di kawasan itu.

Selain itu, masalah dalam parti Umno di Perlis juga akan turut dipilih sebagai bahan kempen pilihan raya itu kelak, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jentera pilihan raya Keadilan DUN Indera Kayangan di sini, Sabtu.

Kerusi DUN Indera Kayangan kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Khor Liang Tee, pada Rabu lalu.

Azmin, yang juga pengerusi Biro Pilihan Raya Keadilan Pusat, berkata pakatan pembangkang memutuskan bahawa calon Keadilan akan dipertandingkan bagi kerusi itu.

Keadilan dan PAS Perlis bermesyuarat sebanyak dua kali dan memutuskan supaya Keadilan meletakkan calonnya bagi kerusi itu, kata Azmin yang juga pengarah pilihan raya Keadilan bagi Indera Kayangan.

Menurutnya pada pilihan raya umum 1999, pakatan pembangkang meletakkan calon Keadilan di kawasan itu tetapi tewas kepada Khor.

Mengenai calon Keadilan bagi kerusi itu, Azmin berkata sebanyak lima nama disenaraikan Sabtu untuk dikemukakan kepada Biro Politik Keadilan pada Isnin ini untuk diputuskan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Keadilan, Sahri Bahari berkata, parti itu mempunyai peluang yang cerah di Indera Kayangan.

"Kami cukup bersedia untuk menang," katanya ketika ditemui hari ini.

-- BERNAMA