BN Usaha Elak Kesilapan di Lunas, Kata Khalil
 
 
KUANTAN, 22 Dis (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) akan berusaha mengelakkan sebarang kesilapan yang berlaku pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas bagi memastikan kerusi DUN Indera Kayangan kekal menjadi miliknya.

Setiausaha Agung Umno Tan Sri Khalil Yaakob berkata Umno akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas di peringkat pusat bagi menghadapi pilihan raya kecil itu kelak.

"Jawatankuasa itu akan bertindak membantu jentera kempen di peringkat negeri yang diketuai Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim.

Jawatankuasa itu akan diketuai oleh seorang daripada tiga naib presiden parti," katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbukanya di Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota di sini, Sabtu.

Beliau berkata Umno berkerja keras menentang Parti Keadilan Nasional pada pilihan raya kecil di Lunas pada November tahun lepas tetapi berlaku sedikit kelemahan di bahagian jentera kempen yang menyebabkan kekalahannya.

Piliha raya kecil Indera Kayangan akan diadakan berikutan kematian ADUN kawasan itu yang juga Ketua MCA Perlis Datuk Khor Liang Tee akibat barah usus pada Rabu lepas.

-- BERNAMA