Tun Ghafar Yakin BN Menang P/Raya Kecil Indera Kayangan
 
 
MELAKA, 22 Dis (Bernama) -- Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba yakin Barisan Nasional (BN) tidak akan menghadapi masalah untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan pada pilihan raya kecil yang akan diadakan.

Beliau berkata pergolakan dalaman yang dihadapi MCA tidak akan menjejaskan peluang BN.

"Saya tak fikir (pergolakan MCA) jejas para pengundi di kawasan itu sebab rakyat undi kerajaan (BN) bukan parti," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis terbuka sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di rumahnya di Peringgit di sini Sabtu.

Ghafar yang juga anggota Parlimen Batu Berendam berkata MCA adalah sebuah parti yang sudah matang dalam mengatasi pergolakan dalaman.

Pilihan raya kecil kerusi itu akan diadakan ekoran kematian wakilnya, Datuk Khor Liang Tee Rabu lepas dan MCA Perlis telah mengemukakan empat nama sebagai calon BN bagi mempertahankan kerusi itu.

Pada perkembangan lain, Ghafar berkata kesihatannya kini beransur baik bagi membolehkannya bertemu orang ramai di kawasan parlimennya.

-- BERNAMA