Pilihan Raya Kecil Indera Kayangan Guna Senarai Pemilih 2001
 
 
KANGAR, 22 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menggunakan senarai daftar pemilih 2001 bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Indera Kayangan, kata Pegawai Pilihan Raya Kedah/Perlis, Mohamad bin Yusoff Sabtu.

Beliau berkata daftar pemilih terbaru itu akan diwartakan pada 27 Dis ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perjumpaan dengan Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim di sini.

Pada pilihan raya umum 1999, jumlah pengundi bagi kerusi itu adalah sebanyak 7,977 orang.

Mohamad berkata SPR telah mengemaskini senarai daftar pemilih berdasarkan semakan daftar pemilih 2001 yang diadakan Mei lepas.

Pilihan raya kecil kawasan itu akan diadakan ekoran kematian wakilnya, Datuk Khor Liang Tee pada Rabu lepas.

Mengenai persiapan pilihan raya kecil itu, Mohamad berkata mesyuarat bagi memutuskan tarikh hari penamaan calon dan pengundian akan dilakukan beberapa hari lagi.

Beliau berkata sebanyak SPR akan melantik 85 pekerja pilihan raya termasuk seorang pegawai pengurus pilihan raya bagi pilihan raya kecil kawasan Indera Kayangan.

-- BERNAMA