PAS Dan Keadilan Bincang Strategi
 
 
ALOR SETAR, 24 Dis (Bernama) -- PAS dan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) akan mengadakan perjumpaan khas bagi menyusun strategi kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Indera Kayangan.

Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar hari ini berkata perjumpaan itu penting bagi menyelaraskan sebarang isu yang akan digunakan dalam berkempen.

"PAS bertindak sebagai pembantu pelaksana strategi dalam pilihan raya itu manakala Keadilan merupakan teraju utama," katanya kepada pemberita di sini.

Pilihan raya kecil DUN Indera Kayangan akan diadakan berikutan kematian wakilnya, Datuk Khor Liang Tee pada Rabu lepas.

Mendiang Khor adalah anggota Exco kerajaan negeri dan pengerusi MCA negeri.

Pilihan raya kecil itu dijangka akan menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional dan Keadilan.

-- BERNAMA