SPR Mesyuarat Minggu Depan Tentukan Tarikh Pilihan Raya Kecil
 
 
KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat minggu depan bagi menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Perlis kawasan Indera Kayangan.

Pegawai Perhubungan Awam SPR Muhamad Aszahari Abdul Rahman hari ini berkata tarikh sebenar mesyuarat itu belum ditetapkan tetapi besar kemungkinan ia akan diadakan pada 2 Jan.

"Mesyuarat itu akan dijalankan di ibu pejabat SPR di Putrajaya," katanya kepada Bernama.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri bagi kawasan itu Datuk Khor Liang Tee pada 19 Dis kerana barah usus.

Menurut peraturan, SPR hendaklah menjalankan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari dari tarikh sesebuah kerusi dilaporkan kosong.

-- BERNAMA