Calon Pembangkang Ditentukan pada Mesyuarat Parti
 
 
ALOR SETAR, 23 Dis (Bernama) -- Calon pembangkang bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Indera Kayangan akan ditentukan pada mesyuarat parti komponen Barisan Alternatif (BA) tidak lama lagi.

Presiden PAS Datuk Fadzil Noor berkata setakat ini gabungan yang dianggotai PAS, Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) belum memutuskan calon mereka.

"BA belum ada mesyuarat lagi bagi memutuskan calon," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Pusat Khidmat Adun Anak Bukit di Alor Pial di sini Ahad.

Fadzil yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Anak Bukit berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar bahawa PAS telah merestui calon dari Keadilan untuk bertanding pada pilihan raya kecil yang akan diadakan ekoran kematian wakilnya, Datuk Khor Liang Tee, Rabu lepas.

Seperti amalan yang lepas, katanya, calon BA hanya diputuskan setelah mesyuarat antara komponen.

Katanya, keputusan meletak calon pada mana-mana pilihan raya bukan hanya dibuat oleh satu parti sahaja.

"Kalau mengikut amalan biasa, kerusi itu sememangnya hak Keadilan kerana mereka bertanding di situ pada pilihan raya umum lepas...tetapi kali ini kita perlu juga melihat sejauh mana persiapan Keadilan, dan perkara itu perlu diputuskan dalam mesyuarat BA," katanya.

Ditanya tentang kemungkinan DAP yang menarik diri dari pakatan BA, turut meletak calon, beliau berkata perkara itu terpulang kepada parti berkenaan kerana adalah hak mana-mana parti untuk bertanding pada pilihan raya.

Fadzil juga berkata isu dalaman MCA dan beberapa isu tempatan akan menjadi bahan kempen parti pembangkang pada pilihan raya kecil itu.

Mendiang Khor adalah pengerusi MCA Perlis.

-- BERNAMA