TINDAKAN JAIS KETERLALUAN

Tindakan JAIS mengarahkan penutupan PASTI merupakan satu tindakan yang tidak bijak serta menunjukkan pemikiran kalangan pihak tertentu di JAIS. Membuat arahan "tutup" tanpa adanya penyiasatan yang rapi, teliti dan "tidak memihak", memperjelaskan bahawa arahan yang dikeluarkan oleh JAIS adalah satu arahan "buta" yang menggambarkan ketidakpekaan JAIS terhadap realiti pendidikan yang dilaksanakan di PASTI.

Soal mengajar anak-anak "membenci pemimpin", adalah satu mitos yang digembar-gemburkan oleh para pemimpin UMNO, berpunca dari konsep diri yang rendah, yang terlalu dibayangi oleh emosi takut "berpunca dari tingkah laku devian" di kalangan mereka. Juga disebabkan wujudnya fobia "kehilangan kuasa", yang mana bagi para pemimpin UMNO, kehilangan kuasa adalah satu kematian sebelum kiamat!

Atas hakikat ini apa sahaja yang bertentangan dengan kehendak fahaman  para pemimpin UMNO, di anggap pengacau yang perlu dimusnahkan, ini adalah fahaman klasik Hitlerism dan pemikiran pemusnah Mussolini, "Disemaikan di kalangan anggota-anggota parti dengan perasaan bahawa maslahat mereka hanya bergantung kepada sistem itu sahaja.

Mereka sahajalah yang benar dan patut berkuasa. Orang-orang selain dari mereka merupakan sampah, mundur dan pengkhianat... Mereka sudah tentu akan menggunakan alat-alat demokrasi seperti pilihan raya atau pungutan suara tetapi semua ini digunakan dengan perkiraan atau perancangan supaya natijahnya akan berlaku menurut kehendak pemerintah". Dengan itu, JAIS harus awas dan waspada, jangan JAIS menjadi jais dan naif!

Apapun realitinya, sehingga kini, tidak pernah terbukti tentang dakwaan para pemimpin UMNO. Bahkan yang jelas tergambar adalah sikap buruk dari pemikiran picisan di kalangan para pemimpin UMNO, sama ada pada peringkat "grassroot" atau pada peringkat tertinggi hieraki parti. Hakikatnya, JAIS harus lebih profesional dalam bertindak, bukan menjadi khadam suruhan "orang-orang" politik yang kemuflisan moral. Satu perkara yang nyata, tindakan untuk menutup PASTI, menggambarkan wujudnya minda kekurangan dalam realiti pengurusan JAIS, memperlihatkan  kalangan penggerak JAIS adalah terdiri daripada golongan yang kehilangan sentuhan EQ (Emotional Quotient) dan SQ (Spiritual Quotient) sehingga wujudnya fenomena "ketidakmampuan untuk mengalami dan menggunakan pengalaman tentang makna dan nilai yang lebih tinggi". Situasi ini, secara tidak langsung mewujudkan ketidakseimbangan mental dalam proses pembuatan keputusan.

Dari sudut lain, tindakan tersebut memperjelaskan wujudnya sikap ketidakpercayaan JAIS terhadap prinsip demokrasi, khususnya dalam konteks pendemokrasian pendidikan. Corak pemikiran sebegini secara tidak langsung menunjukkan dominasi yang serius pengaruh UMNO dalam pentadbiran JAIS, yang jelas bertentangan dengan Perintah-perintah Am Bab D, Perkara 21 (1) (a) yang melarang penjawat awam "membuat apa-apa pernyataan awam, sama ada secara lisan atau bertulis, yang memberikan suatu pandangan yang berat sebelah atas apa-apa perkara yang menjadi isu di antara parti-parti politik". Usaha JAIS untuk menutup PASTI, pastinya merupakan satu tindakan yang amat tidak objektif, kerana sehingga kini, tidak dipaparkan satu alasan yang logik dan rasional, berasaskan piawaian kajian yang teliti serta bersifat bebas.

Berhubung dengan pendemokrasian pendidikan, JAIS sepatutnya mempunyai kepekaan yang tinggi terhadap pendirian Islam dalam pelaksanaan pendemorasian pendidikan "Telah pula diikuti huraian-huraian     tentang pelaksanaan daripada demokrasi pendidikan itu sepanjang sejarah pendidikan Islam, dan didapati bahawa demokrasi pendidikan itu pada prinsipnya telah benar-benar dilaksanakan, maka dapatlah dikatakan bahawa demokrasi pendidikan itu benar-benar terjamin dalam sistem pendidikan Islam. Terjaminnya demokrasi pendidikan dalam sistem pendidikan Islam itu tidak dapat diingkari, kerana ia adalah merupakan
suatu hal yang faktual".

Dalam hal ini, JAIS harus sedari, bahawa pendemokrasian pendidikan itu ditegakkan atas beberapa prinsip;
i) setiap orang adalah berhak ke atas pendidikan. Pendidikan harus bebas, setidak-tidaknya pada tingkat asas dan tingkat dasar.
ii) pendidikan harus diarahkan kepada perkembangan sepenuhnya dari keperibadian kemanusiaan dan kepada memperkuatkan rasa hormat kepada hak-hak kemanusiaan dan kebebasan asas dan
iii) orang tua-tua berhak untuk lebih dahulu memilih jenis pendidikan yang harus diberikan kepada anak-anak. Berdasarkan hakikat ini, JAIS seharus berupaya berfikiran besar dalam pendidikan, menerima hakikat pendemokrasian pendidikan sebagai satu penjanaan kepada kreativiti serta inovasi dalam pendidikan.

JAIS sepatutnya dapat menilai pendidikan PASTI sebagai alternatif untuk memperlengkapi falsafah pendidikan Islam, yang berteraskan, "falsafah pendidikan Islam ialah falsafah yang bersumberkan falsafah hidup Islam kerana menggunakan prinsip Islam dalam bidang pendidikan. Falsafah pendidikan Islam menentukan tujuan akhir, maksud, matlamat, nilai dan cita-cita yang telah ditentukan terlebih dahulu oleh falsafah hidup Islam dan dilaksanakan melalui proses pendidikan. Pendidikan Islam juga menegaskan bahawa manusia adalah makhluk Tuhan dan manusia mempunyai batasan dalam tindakannya.

Oleh itu, pendidikan ini merupakan satu aliran falsafah yang berbentuk keagamaan yang menanamkan keimanan manusia kepada Allah dalam usaha membangunkan manusia sebagai insan yang dijadikan oleh Allah supaya dapat melaksanakan tugasnya sebagai khalifah Allah di muka bumi ini dalam keadaan tunduk dan patuh kepadanya".

Hasil penelitian yang dilakukan secara tekun ke atas pendidikan PASTI, (antara tahun 1990 hingga 1993 di Terengganu, khususnya di Kerteh dan Kampung Buluh, Kuala Berang dan antara 1994 hingga 2001 di Selangor) mendapati, sama ada dari aspek kurikulum, kokurikulum dan aktiviti-aktiviti tidak berkala, memperlihatkan konsep dan corak pendidikan PASTI adalah berlangsung dalam lingkungan pemikiran dan pemahaman untuk merealisasikan tuntutan falsafah pendidikan Islam ini.

Ini bermakna, kenyataan Timbalan Pengarah Pendidikan Islam JAIS, (Berita Harian 1 November 2001) berhubung dengan arahan menutup PASTI, yang terkandung di dalamnya beberapa kata kunci, "laporan orang ramai", "unsur anti kerajaan", "menyeleweng daripada tujuan asal", "melatih kanak-kanak membenci kerajaan" dan "pusat kempen anti kerajaan" adalah tertolak sama sekali.

Apa yang jelas, kenyataan yang dikeluarkan adalah bersifat "dengar cakap" bermotifkan unsur demonologi, dalam usaha untuk mengekang kecemerlangan pendidikan PASTI. Apa yang pasti, unsur "dengar cakap" tidak boleh dijadikan fakta untuk bertindak. Bertindak atas dasar "dengar cakap" secara tidak langsung mendedahkan wujudnya unsur keceluparan sikap, kerendahan integriti diri, pelebaran mentaliti kekurangan serta adanya penguasaan minda terkandas.

Sepatutnya, tindakan dilakukan atas sifat terbuktinya unsur "jenayah" berasaskan penyiasatan dan pendakwaan yang adil (merupakan hakikat tuntutan dalam Islam ke atas sebarang bentuk tuduhan). Harus disedari, tindakan yang diasaskan kepada "dengar cakap" tidak boleh dijadikan hujah untuk mengesahkan pendakwaan dan seterusnya menentukan hukuman. Jika inilah kaedah ukuran yang digunakan oleh JAIS, menggambarkan hilangnya kebijaksanaan di kalangan pendokong dan penggerak JAIS.

Sewajarnya JAIS bukan sahaja harus mempunyai wibawa tetapi juga harus terserlah akan kewibawaannya, agar tidak menjadi jabatan bawaan yang menjadi juahan! Penafian Timbalan Pengarah Pendidikan Islam JAIS, bahawa tindakan yang di ambil adalah di luar motif politik adalah omongan bersifat "zero", kerana kenyataan yang dikeluarkan dalam Berita Harian 1 November 2001, adalah kenyataan yang mengandungi sentimen politik. Dalam hal ini, JAIS tidak boleh berselindung dis ebalik lalang sehelai, bangkai gajah ditutup dengan nyiru tidak hilang badannya, busuknya akan tersebar di sapa angin, merentasi lautan benua!

Hits: