MINDA WEBMASTER

PREVIEW PRK DUN INDERA KAYANGAN

Salam Eidul Fitri dan selamat menyambut tahun baru kepada para netters yang setia dan terus melayari Minda Rakyat dengan semangat yang berkekalan mahu melihat perubahan berlaku dalam arena politik negara. Dalam kesibukan tugas dan kerjaya tersendiri di hujung 2001 ini, saya mengambil kesempatan yang sedikit, meluahkan pendapat, pandangan serta analisis peribadi setelah kita sekali lagi berhadapan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri.

Bermula dengan Sanggang, Teluk Kemang, Lunas, Likas, Pilihan raya DUN Sarawak dan kini kembali kita bergelut di Indera Kayangan. Walau pun pengetahuan saya tentang Indera Kayangan tidaklah begitu meluas, namun saya percaya dan yakin wakil kita di sana akan sedia memberikan kerjasama dalam menyediakan laporan meluas dan siaran secara langsung untuk kita mengetahui akan perkembangan secara pantas akan perkembangan yang berlaku nanti dalam siri PRK yang menamatkan era 2001.

Rekod kecemerlangan kita dan perasaan terlalu yakin BN di Lunas menghancurkan masa depan BN di DUN itu, menjadi iltizam dan berbekalkan semangat itu kita mengorak langkah tapak demi tapak, dimulai dengan perlahan dan semakin pantas mendekati Indera Kayangan.

Kita harus akur bahawa siri PRK ini adalah medan terbaik kita meraih kemenangan, mengulangi kata-kata Sham Abadi, bukan untuk mendirikan sebuah negara baru, sebaliknya sekadar memberikan peringatan kepada BN bahawa sikap keterlaluan mereka dalam apa jua yang mencorakkan dasar dan perjalanan negara sebenarnya sentiasa dipantau oleh rakyat marhaen.

Kita harus mengingati dalam perkara ini bahawa pendedahan penyelewengan yang berlaku bermula dari sikap ketegasan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Bapa Reformasi) menjaga amanah rakyat. Penyelewengan wang Petronas berjumlah 2.5 bilion yang digunakan untuk menyelamatkan kerugian syarikat anak Mahathir membawa kepada pembelian syarikat perkapalan yang 'palsu' terbongkar, sebaik sahaja negara bersedia menghadapi zaman kemelesetan.

Ketegasan Bapa Reformasi DSAI itu akhirnya membawa kepada satu konspirasi peringkat tertinggi dalam negara melibatkan hampir keseluruhan jentera BN dan kepimpinan dalam Majlis Tertinggi UMNO, menyingkirkan insan mulia itu. Tuduhan tidak berasas 'liwat' tanpa bukti itu akhirnya mengheret mahkamah dan sistem kehakiman menjadi lumpuh dan semakin terhakis di hati rakyat.

Akhirnya di penghujung konspirasi itu, DSAI terhukum tanpa dibuktikan atas apa-apa jua kesalahannya, meskipun untuk dibuktikan rasuah yang juga tidak terbukti penyelewengan beliau selama 15 tahun menjawat jawatan menteri berakhir dengan menjadi orang nombor dua dalam negara.

Rakyat seharusnya tidak melupakan ini dan segala yang berlaku, serta rentetan peristiwa yang membawa kepada kejatuhan maruah BN dan seterusnya membawa kepada perpecahan parti yang kununnya dianggotai oleh 2.7 juta ahli itu. Pada sebilangan waktu anggaran yang dibuat bilangan keanggotaan parti itu kini tidak pun melebihi 1 juta orang sahaja dan negara menyaksikan beberapa tahun kebelakangan UMNO gagal mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan yang menjadi asas kekuatan parti itu.

Ini bukanlah maklumat songsang dan palsu kerana anda sendiri tentu menyaksikannya berlaku di tempat anda. Dalam pada itu road-show BA semakin terus diminati sehingga akhirnya BN/UMNO terpaksa mengkudakan PDRM untuk menyekat majlis ceramah dan penerangan BA. Jika anda masih ingat suatu masa kerajaan negeri Melaka pernah 'mengharamkan' rakyatnya berkunjung ke Kelantan, manakala Tuan Guru Nik Aziz dan TG Haji Hadi dilarang berceramah di Selangor.

Negeri Johor pula menyekat ceramah CA dengan syarat yang ketat, yakni memaksa ceramah terhad dalam kawasan yang dipagar zink. Semuanya ini melambangkan dan membuktikan bahawa BN/UMNO sudah memperalatkan segenap jentera kerajaan bagi mengekalkan kuasa politik mereka secara kotor.

Jika kita merenung dalam PRK Likas pula, SPR sudah awal-awal ditawan BN/UMNO. Kita tidak mampu berbuat apa-apa kerana meskipun terbukti benar segala penyelewengan dilakukan oleh parti yang semakin mereput itu, namun tiada tindakan diambil semata-mata kerana mereka masih memegang kuasa.

Dalam pada itu beberapa perubahan berlaku dalam percubaan mendekati rakyat. BN/UMNO mendakwa bahawa segala pembangunan yang kita nikmati hari ini adalah usaha mereka. Saya tidak ingin menafikan ini kerana merekalah yang memerintah negara. Segala buruk dan baik tangan merekalah yang mencorakkan sehingga BN/UMNO begitu angkuh dan melabelkan diri mereka sebagai 'malaikat' yang menentukan rezeki rakyat negara ini.

Perbuatan ini terbukti apabila setiap projek BN diperbesarkan sehingga setiap papan tanda projek dibubuhkan perkataan 'SATU LAGI PROJEK KERAJAAN BN'. Suatu waktu dulu ianya hanya dilaksanakan di negeri Kelantan sahaja. Kini ianya dilaksanakan di seluruh negara, seolah-olah mahu memberitahu rakyat bahawa setiap agenda pembangunan dilaksanakan oleh BN. Kita ingin bertanya sedikit duitnya datang dari mana?

Inilah persoalan yang membingungkan pemimpin negara hari ini akibat 'kecerdikan' dan kepintaran rakyat yang semakin celik dalam apa jua urusan. Wang pembangunan yang dilaksanakan oleh BN adalah wang rakyat. Rakyat yang membayar pelbagai jenis cukai langsung dan tidak langsung, mengizinkan agenda pembangunan BN berjalan terus. Bagaimana pula situasinya jika rakyat yang menyokong parti BA tidak membayar cukai? Apakah ahli parti BN dan kepimpinan BN mampu melaksanakan agenda pembangunan dengan sedikit wang mereka??

Pada episod awalan dalam menghadapi PRK Indera Kayangan ini saya tidak ingin membuat kupasan yang mendalam mengenai Indera Kayangan. Namun secara mendatar, saya ingin mengingatkan rakyat khususnya para pengundi bahawa kekuatan kita bukan kerana MCA kini sedang berkecamuk atau BN yang semakin mereput itu. Sikap kita ialah ingin segala penyelewengan yang berlaku dalam negara dihentikan. Segala projek BN yang tidak relevan dan tidak beragendakan kepentingan rakyat segera harus ditamatkan. Kita mesti membuktikan bahawa rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan kuasa politik negara agar tidak jatuh ke tangan diktator yang pastinya melaksanakan dasar yang berkuku besi dan menyeksa rakyat.

Justeru itu apabila kita mengundi hendaklah kita mengenang bahawa penyelewengan hari ini perlu disekat dengan menyingkirkan agen penyeleweng itu dari menduduki kerusi DUN atau Parlimen. Jika sekadar itu pun niat kita, maka kita dianggap manusia yang berhemah dan memiliki akal dan budi yang sempurna.

Bersatu dan berpadulah kita melaksanakan perubahan dan bersedialah kita melunaskan Indera Kayangan pula!!

Allahuakbar!!

Polong Cyber
Webmaster Minda Rakyat

Hits: