MENGUNDI PAS SEOLAH-OLAH SAMA SEPERTI MASUK ISLAM

Komen webmaster: Tidak ramai yang faham Islam mungkin termasuklah penulis ini. Bagaimana pun saya tetap siarkan pandangan beliau agar mereka yang berpandangan sama dengannya berfikir kembali untuk mengubah persepsi anda terhadap agama anda. UMNO dan pengikutnya memang seratus peratus akan menyokong pandangan sebegini. Jika fikiran kita sempit, jangan cuba menyempitkan fikiran orang lain. Agama Islam maha suci adalah agama universal, sesuai untuk semua bangsa, baik mereka yang menerima Islam atau yang masih belum memeluk agama Islam juga untuk yang tidak akan memeluk agama Islam. Saya ingin menasihati penulis belajar lagi tentang agama Islam, kesyumulannya serta keuiniversalannya.~webmaster

Antara faktor kenapa kaum Cina dan India tidak ramai menyokong Barisan Alternatif pada pilihan raya yang lalu adalah disebabkan tanggapan mereka yang negatif terhadap Islam. Kebetulan parti yang terbesar dalam pakatan Barisan Alternatif itu adalah parti PAS, maka ketakutan mereka kepada Islam sedikit sebanyak telah tidak dapat menarik mereka untuk menyokong Barisan Alternatif ini.

Oleh kerana parti PAS adalah parti yang berlabelkan Islam, (maaf PAS bukan label Islam, tetapi berdakwah dan melaksanakan dasar Islam serta perjuangan Islam yang sebenar~webmaster) maka bagi setengah orang-orang bukan Islam beranggapan mengundi Barisan Alternatif samalah seperti menyokong Islam atau percaya kepada Islam. Kesukaran untuk menyeru orang-orang bukan Islam ini untuk mengundi parti PAS dan sekutunya samalah seperti sukarnya untuk mengajak mereka memeluk agama Islam. Dalam hal ini ia bukan saja setakat melibatkan tukar parti tetapi juga seolah-olah seperti melibatkan penukaran akidah.

Tentulah tidak sukar untuk mengajak orang masuk atau menyokong satu-satu parti politik, tetapi untuk mengajak mereka masuk satu-satu agama memang suatu kerja yang amat sukar kerana ianya melibatkan soal akidah. Kalau parti politik sudah dibuatkan seperti agama memang sukarlah kita hendak mengajak orang yang berlainan fahaman agama untuk masuk parti tersebut.

Mungkin kita tidak ada masalah untuk mengundi parti DAP yang merupakan salah satu sekutu Barisan Alternatif, tetapi bagaimana kalau ada parti yang bernama Parti Buddha Se Malaysia dalam Barisan Alternatif itu, tentu kita yang beragama Islam berfikir dua kali juga untuk mengundi calon dari parti tersebut kerana takut ianya akan membabitkan soal akidah kita.

Pihak Barat telah lama berkempen memburukkan agama Islam dan pengikut-pengikutnya. Kempen mereka sungguh berkesan sehingga semua orang bukan Islam di dunia ini begitu takut dengan Islam atau apa saja yang dikaitkan dengan Islam. Hari-hari Barat menonjolkan imej buruk terhadap Islam. Orang Islam yang mengganas dilabelkan sebagai pengganas Islam tetapi orang kulit putih yang mengganas tidak pula digelar pengganas Kristian.

Barisan Nasional tidak perlu mengeluarkan wang berjuta ringgit untuk menakutkan kaum Cina dan India supaya tidak mengundi PAS kerana kempen pihak Barat yang berterusan memburukkan imej Islam sudah cukup untuk menakutkan mereka.

Wallahualam.

Anonymous

Hits: