MCA Kemuka Empat Nama Bagi Calon Indera Kayangan
 
 
KANGAR, 29 Dis (Bernama) -- MCA telah mengemukakan cadangan empat nama calon bagi pilihan raya kecil kawasan dewan undangan negeri Indera Kayangan kepada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Ling Liong Sik hari ini.

Menurutnya MCA akan menerima sesiapa sahaja nama yang dipilih Perdana Menteri dan percaya calon itu akan turut disokong pengundi Barisan Nasional (BN).

Semasa bercakap kepada pemberita selepas mengunjungi Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim di pejabatnya di sini, Dr Ling berkata adalah menjadi amalan MCA mengemukakan beberapa nama calon bagi sesebuah kawasan pilihan raya untuk pertimbangan Dr Mahathir yang juga pengerusi BN.

Kawasan Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan mempunyai 7,976 pemilih berdaftar.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Khor Liang Tee yang juga Pengerusi MCA Perlis.

Dr Ling yang juga Menteri Pengangkutan berpuas hati dengan persiapan pilihan raya MCA Perlis yang telah membuka empat bilik gerakan.

-- BERNAMA