Polis diminta jangan memihak dalam pilihan raya Indera Kayangan
Oleh Mohd Sabri Said

GEORGETOWN, 31 Dis (Hrkh) - Timbalan Ketua Pemuda Parti KeAdiLan Nasional (KeAdiLan), Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan pihak keselamatan tertutama polis agar tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam kempen Pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Indera Kayangan, Perlis.

Menurutnya lagi, mereka hendaklah bersikap adil dan menjalankan tanggungjawabnya dengan bebas bagi memelihara demokrasi yang ada.

"Saya beri ingatan kepada pasukan polis supaya bersikap profesional menghadapi kerenah pilihan raya kecil dan jangan sekali-kali bersikap berat sebelah sehingga menguntungkan Umno dan BN, " tegasnya ketika berucap di majlis ceramah anjuran KeAdiLan Bahagian Tanjung di salah sebuah Dewan Cina di Jalan Camble, Pulau Pinang.

Katanya yang juga Adun Lunas, jika berlaku peristiwa yang dilakukan oleh jentera BN, pihak polis usah pula bertindak berdasarkan maklumat sebelah pihak.

Sebaliknya, mereka perlulah mengadakan siasatan dan jika jentera BN bersalah hukumlah mereka mengikut apa yang termaktub dalam perlembagaan.

"Jangan takut untuk menentukan kesalahan kerana mereka jentera BN. Pihak polis juga perlu releven dan tidak bertindak sewenang-wenangnya untuk menangkap ahli atau penyokong yang menyertai perhimpunan untuk mendengar ceramah selaras dengan pesanan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Abdullah Badawi bahawa ceramah akan dilonggarkan dalam kawasan yang terlibat dengan pilihanraya, " ujar beliau.

Tambahnya, biarlah dalam pilihanraya kecil itu nanti BN lawan Barisan Alternatif (BA) dan rakyat boleh jadi penentu untuk memilih calun yang layak menjadi wakil mereka ke sidang dewan.

Jika ada mana-mana anggota pasukan berunifom ingin dan berminat campur tangan dalam urusan politik, sila buka uniform dan masuklah mana-mana parti politik untuk bertanding. "Biar rakyat sendiri jadi penentu," sambungnya.

Turut hadir dan berceramah sama dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Kuala Kedah, Haji Mohamad Sabu, Ketua KeAdiLan Negeri, Dr. Mansor Othman, Timbalannya, Cheah Kah Pheng dan wakil PRM, Jonshon Chong.

Sumber: HarakahDaily