Indera Kayangan: Pengarah Pilihan raya BN adalah "isu" besar
Oleh Roy Rasul

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Hrkh) - Perlantikan Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohamad Haji Mohd Taib sebagai Pengarah Bersama pilihan raya BN untuk Indera Kayangan kini mendedahkan pilihan raya itu kepada penggunaan wang yang berleluasa.

Ini kerana, Tan Sri Mohamad adalah pihak yang pernah didakwa di luar negara membawa wang yang banyak yang sehingga kini tidak dapat ditentukan dengan jelas sumber wang tersebut.

"Orang yang dipilih BN itu juga sangat memalukan Umno kerana beliau sebelum ini pernah terlibat dalam melakukan percubaan jenayah di negara Austaralia dan walaupun beliau dibebaskan tetapi persoalan rakyat dari mana duit itu diperolehi masih belum dijawabnya," tegas Dato’ Fadzil Mohd Noor, Presiden PAS.

Presiden PAS itu berkata, tindakan Umno meletakkan bekas Menteri Besar Selangor itu menjadi pengarah bersama dengan Menteri Besar Perlis, Tan Sri Shahidan Kassim di dalam pilihan raya kecil Dun Indera Kayangan, Perlis itu juga, menggambarkan Umno dan Barisan Nasional berada dalam keadaan sangat gawat.

Beliau bercakap kepada Pemberita, sewaktu hadir di majlis rumah terbuka PAS, di Taman Melewar, petang Sabtu lepas. Turut bersama beliau adalah adalah timbalannya, Dato' Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang, Naib Presiden, Dato’ Mustafa Ali, Setiausaha Agung, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Politiknya, Dr Hatta Ramli.

Beliau berkata, tidak pernah berlaku dalam mana-mana pilihan raya di negara ini, dilantik lebih daripada seorang untuk menjawat jawatan tersebut.

Malah katanya, tindakan tersebut juga sekaligus menggambarkan pucuk pimpinan BN tidak yakin dengan kewibawaan pimpinan Menteri Besar Perlis.

Beliau berkata, keadaan di Indera Kayangan kali ini juga dilihat semakin mengharu-birukan BN kerana sebagaimana maklumat yang diperolehi beliau pihak MCA juga turut melantik presidennya menjadi pengarah pilihan raya.

"Kalau inilah yang berlaku ini adalah satu lagi yang luar biasa," katanya.

Menurutnya, sekiranya presiden MCA sendiri menjadi pengarahnya, ia menggambarkan seolah-olah berlaku krisis dalam BN dan BN tidak seperti tidak mempercayai ketua BN di peringkat negeri.

Sehubungan itu katanya dakwaan yang mengatakan PAS akan mengunakan konsep PAS sebagai Taliban Malaysia dan Umno sebagai Amerika Malaysia dalam kempen di Dun Indera Kayangan nanti adalah fitnah semata-mata.

"Saya fikir rakyat sangat faham bahawa segala fitnah itu kerana Taliban tidak ada hubungan sama sekali dengan PAS atau BA," tegasnya lagi.

Sebaliknya beliau mendakwa BN yang menghadapi pelbagai masalah, sebab itu meraka cuba menggunakan isu asing untuk membuat fitnah.

Menyentuh mengenai persiapan pilihan raya tersebut beliau berkata, "PAS dan KeADILan setakat ini sudah dua kali mesyuarat iaitu di peringkat negeri dan mereka sedang mengatur kerja-kerja persiapan."

Dalam pada itu beliau berkata disebabkan kawasan Indera Kayanga sangat kecil di mana pengundinya tidak sampai lapan ribu orang, sudah pastilah mereka berkerja lebih kuat.

Tambahan pula katanya, menjadi kelazimana BN, wang digunakan serta menyiapkan projek pembangunan pun disungguhkan semata-mata bagi kemenangan di pihak mereka.

Bagaimanapun katanya, BA mengharapkan kebebasan diberikan sepenuhnya kepada semua pihak yang bertanding sama ada untuk berkempen ataupun menemui rakyat.

Sementara itu menjawab satu pertanyaan mengenai pelawaan DAP mengajak KeADILan dan PRM wujudkan barisan pembangkang lain, beliau berkata kedudukan barisan pembangkang tidak perlu diadakan lebih daripada satu gabungan.

Katanya, sekiranya DAP berpandangan perlu ada satu pakatan di kalangan pembangkang, adalah lebih baik DAP kembali saja kepada BA.