Harun Din muncul kembali
Oleh Nyza Ayob

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Hrkh)- Buat pertama kalinya untuk sekian lama ulamak terkenal Dato Harun Din muncul kembali berceramah sekali gus menjawab pelbagai persoalan dan menamatkan pelbagai spekulasi.

Ceramah yang menandakan kembalinya beliau bergiat aktif dalam arena politik diadakan Jumaat lepas di kediaman Dato Seri Anwar Ibrahim.

Dan ucapan beliau tetap menarik merangkumi pelbagai isu termasuk gejala fitnah dan dakwaan pemerintah bahawa "Malaysia sebuah negara Islam".

Menurut Ustaz Harun "kehilangan" beliau ialah atas sebab kesihatan."Saya sudah lama tidak berceramah kerana masalah kesihatan, banyak keluar masuk hospital. Dada saya telah dibedah sebanyak lima kali, terakhir, pembedahan dada enam hari sebelum Raya," kata beliau ketika ditemui selepas ceramah.

"Saya perlukan rawatan lanjut.Keadaan saya serius.Inilah faktor yang menyebabkan saya tidak boleh bergiat aktif," kata beliau.

Pun begitu beliau berceramah juga pada Ramadan yang baru lalu disamping menyampaikan khutbah Syawal di Perlis pada Hari Raya.

"Cuma low profile. Apa yang penting saya bertugas dan meneruskan perjuangan," kata beliau.

Dan berdasarkan itu beliau muncul di kediaman Anwar berceramah bersama Dr Wan Aziziah Ismail dan Naib Presiden Keadilan Azmin Ali.

Pada ceramahnya antara lain Ustaz Harun berkata paksi utama pembentukan sebuah negara Islam ialah untuk meninggikan agama Islam dan syariat Allah dan " bukan untuk meninggikan pemerintah".

Katanya, negara Islam dibahagikan kepada dua istilah iaitu 'lughatan' dan 'istilahan'.

"Satu negara Islam dari segi bahasa dan syarak. Dari segi bahasa : majoriti negara ada orang Islam, itu dipanggil negara Islam. Ini tidak boleh diguna pakai.Yang boleh diguna ialah konsep negara Islam dari segi syarak," kata beliau.

Katanya jika Al Quran diletakkan dibawah perlembagaan, itu bermakna hukum Allah telah dihina, seolah-olah manusia lebih baik membuat undang-undang berbanding undang-undang yang ditetapkan Allah.

Sumber: HarakahDaily