Indera Kayangan sangat penting bagi BA

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Hrkh) - Pilihanraya Kecil Indera Kayangan amat penting bagi Barisan Alternatif (BA) untuk mengembalikan semula nama baiknya selepas tercemar ekoran peristiwa 11 September di Amerika, kata Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan, Azmin Ali.

Beliau berkata demikian di dalam ceramahnya di rumah Presiden Parti Keadilan, Wan Azizah pada Jumaat yang lepas.

"Melalui pilihanraya ini kita ingin mengembalikan kepercayaan mereka pada pimpinan BA," tegasnya.

Menurutnya, Keadilan mempunyai agenda serta matlamat tersendiri bagi memastikan kemenangan berpihak padanya dalam pilihanraya itu nanti.

"Kita bukan hendak masuk campur soal dalaman MCA kerana kita mempunyai agenda. Walaubagaimanapun kita patut memberitahu rakyat, supaya menggunakan pilihanraya ini sebagai referendum untuk memberi signal dan mesej yang cukup jelas kepada Mahathir dan Barisan Nasional bahawa kita ada hak untuk menentukan masa depan,"katanya.

Justeru itu katanya, pihak BA akan mengenal pasti peranan yang dimainkan pengundi Cina bagi memastikan Lunas yang ke dua akan lahir di Indera Kayangan.

Katanya lagi, tarikh penamaan calon yang dijangka pada 9 Januari dan pilihanraya pada 19 Januari sememangnya dipilih kerana beliau, Roslan Kasim dan Ezam berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes Arsernik.

"Selama 5 hari kami berada di mahkamah atas tuduhan ekoran kes Arsenik pada perhimpunan yang lepas. Boleh dikatakan sepanjang Januari kami berada di mahkamah.

"Ini adalah strategi mereka untuk menyekat pimpinan supaya kami tidak dapat turun pada hari pilihanraya tersebut,"katanya

"Kita yakin kita boleh merubah sistem pemerintahan melalui pilihan raya. Inilah masanya melalui pilihanraya Dun Indera Kayangan. InsyAllah kemenangan akan berpihak pada Barisan Alternatif,"katanya.

Beliau meminta semua pimpinan daripada Keadilan, PAS dan PRM serta semua rakyat bersama-sama berkempen dalam memujuk pengundi termasuk kempen dari rumah ke rumah.

Sumber: HarakahDaily