Tazkirah ( 27 ) : Peranan Sufi Dalam Gerakan Islam

Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanyasanya layak untuk Allah s.w.t., Tuhan sekalian alam. Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarganya.

Siri-siri pengajian dari buku ini akan mengambil masa yang panjang, sepertimana yang saya sudah jelaskan dalam tazkirah ( 23 ) yang lalu. Tetapi, ingatlah bahawa tajuk ini adalah sangat-sangat penting supaya apabila selesai nanti,jiwa kita akan merasa lebih mantap dengan pengisian-pengisian rohani. Pada tazkirah-tazkirah yang lalu, saya mengambil banyak petikan-petikan dari tulisan Dr. Yusuf Al-Qardawi yang menjana akal fikiran kita. Jadi, saya rasa adalah penting bagi kita semua untuk memantapkan diri dengan dua aspek iaitu akal dan rohani.Seperti kata seorang guru : 'Akal yang kuat apabila ia kalah berhujah, ia akan menjadi lemah dan cepat putus asa kerana rohaninya lemah. Rohani yang kuat apabila ia kalah dalam ujian, ia menjadi lemah dan cepat putus asa kerana lemah fikirannya.' Maksudnya di sini ialah kedua-dua aspek iaitu akal dan rohani hendaklah seimbang di antara satu dan yang lain. Kedua-duanya saling bantu-membantu dalam menghadapi segala rintangan dan dugaan, supaya tidak cepat mengaku kalah. Lebih-lebih lagi di zaman sekarang bagi mereka yang telah meletakkan diri di dalam lembah perjuangan Islam, Insya-Allah.

Saya akan teruskan pengajian kita supaya Insya-Allah kita semua mendapat keredhaan Allah s.w.t. dalam mempelajari tazkirah ringkas ini. Kita akan menyambung dari bab ' Matlamat Kehidupan '.

2.   BERAMAL DENGAN TUNTUTAN ILAHI.

Islam membentuk program kehidupannya sendiri adalah untuk diamalkan oleh para penganutnya.

Benarlah Firman Allah Ta'ala: ( Terjemahan ) " Sesiapa yang beramal dengan amalan yang soleh, sama ada lelaki atau wanita sedangkan dia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga dan mereka tidak dizalimi sedikitpun ". ( An-Nisa' : 124 )

Demikianlah berlalunya penegasan dari Allah terhadap kelompok manusia yang mempertahankan aksi kehidupannya untuk beramal dengan tuntutan yang telah disyariatkan. Ini adalah jaminan dari Allah yang memberi khabar gembira terhadap orang-orang yang sanggup menggorbankan waktu hidupnya untuk berbakti di jalan Allah, nanti mereka akan diberi ganjaran syurga yang penuh dengan kemewahan dan kenikmatan. Ajaran Islam yang diturunkan itu mengandungi beberapa pengajaran yang dapat membentuk pekerti dan akhlak hidup manusia dan dapat menyampaikan manusia kepada Maha Pencipta.

Kalaulah ajaran itu tidak adapat diamalkan oleh para penganutnya atau tidak dapat dilaksanakan segala rupa bentuk tuntutan dan arahannya ataupun manusia tidak lagi berminat untuk bersam-sama dengan ajaran Islam, nescaya Islam dan ajarannya itu akan tinggal kenangan sahaja dan hanya disebut di pinggir bibir mulut manusia sebagai bingkisan sejarah atau fakta yang tercatat di dalam buku-buku sejarah. Maka Islam akan menjadi salah satu bahan koleksi sejarah sama seperti ajaran-ajaran purba kala terdahulu yang dipamirkan di dalam muzium untuk tatapan mata manusia. Kekuatan sesuatu ajaran agama itu adalah terletak kepada kekuatan para penganutnya atau para pengikutnya sejauh mana mereka beramal dengan ajaran agama tersebut.

Ajaran Islam yang diturunkan itu mengandungi pelbagai metodologi pendidikan dan penghayatan, mengandungi prinsip-prinsip yang memperkatakan tentang keteguhan dan kecelakaan, mengandungi petunjuk dan pedoman untuk memandukan manusia ke jalan yang benar, mengandungi arahan-arahan yang memperlihatkan aksi perjuangan dan jihad menentang musuh-musuh yang datang menjelma dan mengandungi hukum-hakam yang menetapkan tentang persoalan halal-haram sebagai garis pemisah di antara kebenaran dan kepalsuan. Justeru itu, amalan hidup manusia mestilah mengikut arahan-arahan yang telah ditetapkan oleh syariat, tidak terkeluar atau tidak melencong sedikitpun daripada landasan hidup yang sebenar.

Sabda Rasulullha s.a.w. ; ( Terjemahan ) ' Sesiapa yang beramal dengan amalan yang bukan dari urusan kami, maka ianya ditolak'. ( Riwayat Muslim)

Amalan hidup seseorang individu muslim mestilah bersih dan bebas dari ajaran-ajaran jahiliyyah, ajaran-ajaran yang bersifat khurafat yang datang dari luar ajaran Islam atau ajaran yang tidak ada kena-mengena dengan ajaran Islam, sekalipun baik mengikut perhitungan akal manusia, tetapi sekiranya bertentangan dengan prinsip Islam yang syumul dan amalan hidup Islam, ianya tetap dianggap salah dan dianggap sama sahaja dengan amalan hidup orng-orang kafir.

Di samping itu, orang-orang yang mahu mendapat kelebihan di sisi Allah dan ingin pula mencari secebis keredhaan-Nya mestilah meninggalkan perkara-perkara yang di anggap subahat atu bersifat kesamaran.

Sabda Rasulullah s.a.w. ; ( Terjemahan ) 'Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itu nyata, tetapi di antara kedua-duanya terdapat perkara subahat ( kesamaran ) yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia, sesiapa yang memelihara dari perkara subahat, sesungguhnya ia telah memelihara agama dan kehormatannya dan sesiapa yang terjatuh ke lembah subahat, maka ia akan jatuh ke lembah yang haram, bagaikan seorang pengembala yang menggembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat ternakannya memakan di kawasan tersebut '. ( Riwayat Bukhari dan Muslim).

Subahat atau kesamaran di dalam sesuatu perkara, terutama di dalam urusan agama boleh menimbulkan keraguan kepada manusia dan perkara ini boleh mencetuskan reaksi yang jauh melencong dari nilai-nilai kebenaran dan menyebabkan mereka terjerumus ke lembah yang haram.

3.   ISTIQOMAH DI JALAN ALLAH.

Istiqomah ertinya berdiri teguh di jalan yang benar terhadap apa yang diturunkan oleh Allah dan apa yang dibawa oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Perasaan hati setiap muslim tidak akan berganjak dan tidak sekali-kali berubah apabila nilai-nilai istiqomah ini mula hidup subur, manakala amalan hidup seharian mereka akan terus bersemnadi di dalam memori ingatan yang berada di bawah pengawasaan ILAHI, mereka terus-menerus tetap beristiqomah di jalan yang benar.

Firman Allah Ta'ala : ( Terjemahan ) " Dan beristiqomahlah kamu sebagaimana kamu diperintahkan dan diperintahkan kepada orang-orang yang bertaubat bersama kamu, janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah melihat apa yang kamu lakukan".  ( Hud: 112 )

Pegangan hidup seseorang muslim mestilah erat dan teguh terhadap keesaan ILAHI, terhadap keagungan-Nya dan juga kekuasaan-Nya dan ia hendaklah benar-benar menghayati konsep ajaran agamanya itu dan tidak sedikitpun mempunyai perasaan berbelah-bagi atau perasaan ragu-ragu terhadap kebenaran ajaran agama itu.

Kerana perkara ini adalah soal pegangan hidup...!

Pegangan hidup muslim yang benar-benar hakiki tertegap di atas ubun-ubun keteguhan, keimanan yang mendalam dan ketundukan diri kepada Tuhannya dan mereka juga tetap beristiqomah di jalan Allah, tidak sekali-kali takut dan gentar menghadapi apa jua rintangan serta halangan yang datang menjelma.

Mereka bukanlah manusia yang kesal kerana memilih jalan Islam, jalan kenbenaran dan jalan keimanan sebagai lambang kehidupan mereka, bahkan jalan itulah yang membuka ruang kehidupan untuk keadilan sejagat.

Firman Allah Ta'ala : ( terjemahan ) ' Sesungguhnya orang-orang yang berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka beristiqomah, nanti para malaikat akan turun kepada mereka berkata: Jangan takut dan berdukacita, terimalah berita gembira memperolehi syurga yang telah dijanjikan kepada kamu'.(Fussilat:30)

Firman Allah Ta'ala : ( Terjemahan ) " Sesungguhnya orang-orang yang berkata: Tuhan kami adalah Allah, kemudian mereka beristiqomah, mereka tidak merasa takut dan tidak pula berdukacita". ( Al-Ahqaf: 13 )

Kekuatan pada diri manusia sudah tentu akan dirasakan apabila nilai-nilai istiqomah itu dapat dihayati dengan betul dalam kehidupan, diri mereka akan merasa lebih yakin dan lebih sempurna, justeru mereka tidak sedikitpun merasa takut atau gentar atau tidak pernah merasa dukacita ataupun kecewa terhadap keyakinan hidup, kerana mereka percaya bahawa Allah pasti memberi pertolongan kepada mereka. Suatu ketika, seorang sahabat yang bernama Abu Amr r.a. telah bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang Islam dan ajarannya: ( Terjemahan)

' Wahai Rasulullah! Ajarkanlah kepadaku tentang Islam suatu perkataan, di mana aku tidak lagi bertanya kepada sesiapapun selain kamu! Baginda menjawab: Katakanlah! Aku beriman kepada Allah dan kemudian beristiqomah'. ( Riwayat Muslim )

Kekuatan iman itu akan tetap terpelihara dengan sebaik-baiknya apabila wujudnya nilai-nilai istiqomah di dalam hati sanubari yang meneguhkan lagi simpulan ikatan tapi aqidah dan tali keimanan wujudnya nilai-nilai tersebut akan mencetuskan suatu ketetapan yang realiti, tiada lagi perasaan ragu-ragu dan syak wasangka.

.........bersambung lagi, Insya-Allah.

H.M.Subuh

Hits: