PBB bertegas Agar Afghan menubuhkan kerajaan pilihan mereka
(U.N.Insisting Afghans Get a Government They Want)

Sergei Shememann – The New York Times - 24 Oktober

Dengan meledaknya pengboman Amerika menghujani Kabul, para pegawai PBB di Washington, dan di ibu negara lain sedang berlumba mencari satu jalan penyelesaian untuk menyelamatkan ibu negara Afghanistan itu seandainya Taliban berundur dari situ. 
 
Wakil khas PBB di Afghanistan, Lakhdar Brahimi, berkata bahawa mahu berada di wilayah itu untuk berunding dengan beberapa fraksi Afghan dan kerajaan yang berjiran, mahukan satu penyelesaian untuk negara itu agar rakyat Afghan turut bersetuju merasakan pentadbiran milik mereka bersama.
 
“Jika tidak, tidak ada harapan lagi,” katanya.
  
Mr. Brahimi dan para diplomat yang telah ditemuinya secara sidang tertutup di Majlis Keselamatan PBB berkata bahawa belum ada agenda tertentu yang dibincangkan kerana semua pilihan dibiarkan terus terbuka. Untuk waktu ini, kata mereka, yang jelas ialah Kabul sebagai bandar raya negara Afghanistan dan negara itu seterusnya tidak seharusnya jatuh ke tangan satu parti tertentu ataupun satu pakatan parti yang tidak lengkap keanggotaannya, seperti Pakatan Utara, yang memang ghairah mahu memasuki Kabul menyerang Taliban.
 
Bilakah impian itu dapat tercapai adalah satu tanda tanya lagi. Keputusan Pentagon untuk memulakan serangan mengganyang Taliban dianggap sebagai satu petanda usaha membebaskan Kabul. Namun tidak ada sebarang kepastian apakah Pakatan Utara, yang bertahan hanya 35 batu daripada Kabul, mampu menyerang dan mengepung bandar raya itu walaupun Amerika menggandakan serangan mengganyang Taliban. Dataran Kabul dan persekitarannya mengandungi parit peperangan yang bersilang-seli yang dipertahankan oleh satu pasukan kuat Taliban yang disokong oleh pasukan Al Qa'eda dan sukarelawan Pakistan.
 
Pegawai Amerika berkata bahawa Pakatan Utara telah berikrar untuk memasuki Kabul hanya selepas menerima arahan Washington. Namun, kemungkinan Kabul akan jatuh dalam masa beberapa minggu memberikan ruang mendesak agar pelbagai peraturan baru dirangka untuk menjamin kewujudan keselamatan dan keamanan di bandar raya itu.
 
“Saya akan terus mendengar dan berbincang untuk mencari jalan siapakah yang mampu melakukan sesuatu ataupun memberikan cadangan yang bernas kepada saya,” kata Mr. Brahimi. “Tetapi saya selalu menegaskan, dengan menyerahkan kerja berat ini kepada PBB, tidak bererti PBB mampu melakukan kerja ajaib laksana seorang pakar silap mata.”
 
Ada satu cadangan yang kerap dikemukakan untuk menghantar satu pasukan pengaman tajaan PBB di Afghanistan. Tetapi, Mr. Brahimi bertegas bahawa keadaan di Afghanistan belum sesuai untuk melaksanakannya.
 
“Pasukan aman bererti perlunya keamanan yang dikekalkan,” katanya. ”Ini bererti keadaan sekarang belum sesuai lagi. Untuk merencana keamanan, anda perlukan persetujuan semua pihak melibatkan diri, dan kalau ini tidak dapat diusahakan, kita perlu beri nama lain kepada pasukan seperti itu.”
 
Mr. Brahimi, pernah bertugas sebagai duta PBB ke Afghanistan daripada 1997 hingga 1999, telah lama sedar betapa Afghan memang mempunyai sejarah membenci penaklukan tentera asing di bumi mereka. Pegawai PBB juga berpendapat, tidak ada sebarang pasukan negara yang sudah bersedia memainkan peranan operasi seperti itu.
 
Satu alternatif lain ialah satu pasukan tentera mengandungi negara Eropah, termasuk Kanada ataupun Australia dan mungkin juga Amerika Syarikat. Itu pun akan berjaya kalau orang Afghan bersetuju.
 
Cara yang paling berkesan, mengikut pendapat para diplomat, ialah penubuhan satu pasukan Afghan secara keseluruhannya daripada semua fraksi yang ada dan dengan sokongan dan tajaan PBB.
 
“Mereka tidak perlukan keizinan sesiapa, dan ini akan mencetuskan persepakatan semua orang Afghan,” kata Brahimi lagi. “Adalah diharapkan kalau orang Afghan bersetuju dengan penubuhan pasukan begitu, tentu mereka bersetuju melihatkan pasukan itu berfungsi.”
 
Tetapi bagaimana pasukan itu boleh berfungsi masih samar-samar lagi seperti dengan penubuhan sebuah kerajaan campuran. Pakatan Utara, umpamanya sudahpun bertegas ia tidak mahu terlibat seandainya Pakistan turut terlibat, kerana menganggap Pakistan sebagai sebahagian pasukan Taliban. Sebaliknya pula, Pakistan telah menolak sebarang penyelesaian yang akan membabitkan Pakatan Utara.
 
Implikasi penyelesaian ini dan kesannya di rantau itu akan merupakan sebahagian peranan utama Mr. Brahimi, demikian pendapat para diplomat. Sebagai contoh, Iran mempunyai hubungan yang akrab dengan Pakatan Utara dan mungkin memainkan peranan menghalang kebangkitannya untuk menakluki wilayah yang ada.
 
Mr. Brahimi ialah bekas menteri luar Algeria dan telah melepaskan jawatannya di Afghanistan itu pada 1999 kerana rimas dengan keadaan perundingan. Yang berlaku perubahannya sekarang ialah tahap sokongan antarabangsa dan minat mereka. Namun dia kerap mengulangi amarannya, bahawa penyelesaian bukannya mudah dicapai dan segala usaha mewujudkannya mesti dihasilkan oleh orang tempatan.
 
“Semua resolusi PBB menyebut bahawa orang Afghan adalah satu bangsa yang merdeka, dan negara itu mesti terus bersatu, tanpa ada sebarang campur tangan luar dalam urusan mereka, “ katanya

Hits: