Isytihar Malaysia Sebagai 'Negara Islam' Dalam Parlimen

Seingat penulis dari apa yang pernah dibaca dalam beberapa artikel, berita yang termuat dalam akhbar atau buku-buku yang menyentuh tentang status Malaysia sebagai sebuah 'negara Islam'  sebenarnya belum ada kenyataan yang meyakinkan bahawa Malaysia sudah layak diiktiraf sebagai negara Islam dengan memenuhi kriteria utama sebuah negara Islam seperti mana  Madinah al-Munawwarah yang dibentuk oleh Nabi SAW dulu. Apakah benar ciri-ciri negara Islam Madinah itu mempunyai persamaan secara total dengan negara Islam Malaysia sekarang yang didakwa dan diheboh-hebohkan oleh para pemimpin UMNO/BN, kaki-kaki ampu kepada elit politik UMNO dan tukang-tukang heboh UMNO/BN. Bagi rakyat dan umat Islam di Malaysia dakwaan Malaysia sudah berstatus 'negara Islam' hanya berupa retorika indah kepimpinan UMNO berketuakan Dr Mahathir adalah dengan tujuan bagi meraih keuntungan politik semata-mata. Lebih-lebih lagi dalam keadaan UMNO yang sudah tenat dan di ambang kepupusan. Isu negara Islam inilah dipanaskan semula dengan harapan umat Islam di Malaysia akan kembali menyokong UMNO pada pilihan raya akan datang.  Pada hal tiga PM Malaysia sebelum si tua nyanyuk ini jadi PM telah awal-awal lagi menegaskan bahawa status Malaysia adalah negara 'sekular'. Kejujuran tiga tokoh negarawan mantan PM dalam hal ini lebih menampak kebijaksanaan mereka. Buat apa kita heboh seluruh dunia mendakwa Malaysia 'negara Islam' yang sesuai dengan ajaran Islam. Sedang realitinya sekadar retorika UMNO/BN sahaja. Sekalipun mereka kepimpinan UMNO/BN bermati-matian mahu rakyat dan umat Islam Malaysia mengakui hujah liur basi mereka tentang status Malaysia sebagai negara Islam, khususnya golongan agamawan UMNO yang berjeneralkan Datuk Dr Abdul Hamid Othman (penasihat agama kepada Dr Mahathir), Menteri Di JPM, Datuk Zainal Abidin Abdul Hamid dan memperkuda agensi atau institusi Islam yang ditubuhkan kerajaan, tidak cukup dengan itu mereka heret ulama dan cendikiawan Islam bagi memperakui kemahuan penguasa elit politik yang bankrap pengaruh dan hilang wibawa. Dengan mencari-cara pelbagai cara atau jalan sama ada melalui seminar, bengkel, simposium dan universiti supaya dapat membuat resolusi atau keputusan ke arah perakuan atau membuat 'akujanji' sesama mereka bagi memasyhurkan bahawa Malaysia adalah 'negara Islam'.

Dengan matlamat politik sempit UMNO bagi mengaburi mata dan pemikiran umat Islam dan rakyat negara ini tentang ciri-ciri sebenar sebuah 'negara Islam' sebagaimana Negara Madinah di bawah kepimpinan Rasulullah SAW sendiri itu, merupakan negara pertama berstatus 'negara Islam' yang disepakati seluruh ijmak ulama adalah 'model' sebenar negara Islam sejak dahulu hingga hari kiamat. Dengan tunjang perlembagaannya ialah al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah SAW tidak ada undang-undang lain yang boleh mengatasinya. Sedang di Malaysia Perlembagaannya yang tertinggi ialah Perlembagaan yang digubal oleh British itu dan Perlembagaan inilah yang dianggap tertinggi di Malaysia, mana-mana undang-undang yang bercanggah dengannya adalah dikira batal atau tidak ada yang boleh mengatasi Perlembagaan Malaysia yang sudah berusia 40 lebih tahun itu masih dipertahankan oleh UMNO dan kepimpinannya. Hatta undang-undang yang terkandung dalam al-Qur'an itu pun dengan sendirinya terbatal atau tidak terpakai dalam negara ini, kalau ia bercanggah dengan semangat Perlembagaan Malaysia warisan penjajah itu.

Apakah dalam isu besar inipun kepimpinan UMNO yang bertaraf pemimpin besar seperti Dr Mahathir, Datuk Najib Tun Razak dan ketua pemuda UMNO lembik Datuk Hishamuddin Tun Hussein tidak terbuka mata, mata hati dan otak. Mereka sibuk untuk menjeritkan bahawa Malaysia adalah 'negara Islam' yang sejajar dengan ajaran Islam, diperakui oleh dunia antarabangsa dan sebagai model negara Islam di dunia, sehingga Parti Gerakan sekutu UMNO dalam BN pun turut sama mencari bukti dengan merujuk kepada pengiktirafan dari Oxford Universiti. Tindakan kepimpinan UMNO/BN ini tak ubah seperti seorang pelakon yang melakonkan suatu adegan semacam benar tapi tidak, kerana ia sekadar wayang yang dilakonkan.

Kenapa Tidak Berani Isytihar Dalam Parlimen

Kalau betul Malaysia 'negara Islam' kenapa tidak diisytiharkan dalam Parlimen sebagaimana PM Malaysia yang pertama, Tuanku Abdul Rahman al-Haj dulu berani berterus terang membuat perisytiharan dalam Parlimen Malaysia bahawa Malaysia adalah bukan negara Islam, tetapi negara 'sekular'. Bila masa Malaysia telah diisytiharkan sebagai negara Islam dalam Parlimen oleh Dr Mahathir. Yang kita dengar hanya retorika UMNO/BN dan Dr Mahathir menjaja perkataan Malaysia 'negara Islam', kemudian disahut-sahut oleh beberapa pemimpin UMNO/BN yang lain termasuk oleh Datuk Najib, Hishamuddin, hinggakan Parti Gerakan parti etnik Cina pun menjadi pendokong dakwaan Dr Mahathir itu, bahawa Malaysia sudah jadi 'negara Islam' dan ramai lagi kaki-kaki bodek politik murahan yang turut tumpang 'semangkuk' memperakui cakap-cakap 'kosong' ketua nyanyuk mereka sendiri bersabit dengan Malaysia yang disinonimkan sebagai 'negara Islam' baru atas dakwaan Dr Mahathir itu. Dan yang baru-baru ini Dr Rais Yatim ahli politik Malaysia yang terkenal dengan panggilan pakar 'bakar jambatan' juga turut mengulas tentang kenyataan kepimpinan DAP yang terkejut dengan dakwaan Dr Mahathir tentang 'negara Islam' Malaysia.

Sekadar membuat dakwaan-dakwaan, kemudian disambung-sambung serta disahut-sahuti kenyataan itu oleh beberapa pemimpin UMNO/BN yang lain. Selain itu, diheret seluruh individu ulama, cendikiawan Islam dan institusi Islam dalam negara ini untuk sama-sama bersubahat dengan dakwaan dangkal seorang PM yang hilang arah, tentang status negara Islam Malaysia. Khutbah di seluruh masjid tentang status Malaysia sebagai negara Islam pun dibuat secara dangkal dengan mengutip beberapa cebisan hujah para ulama muktabar, lalu dipergunakan sebagai membenarkan dakwaan PM bahawa Malaysia benar-benar negara Islam yang sejajar dengan ajaran Islam. Tidak cukup dengan itu, kepimpinan UMNO/BN turut mengheret ulama Timur Tengah, khususnya dari al-Azhar untuk membuat pengiktirafan Malaysia sebagai 'negara Islam'. Apakah dengan cara mengembar-gemburkan isu status Malaysia sudah diiktiraf sebagai 'negara Islam' yang dimainkan oleh media yang dikuasai oleh UMNO/BN Malaysia benar-benar sudah dianggap sebagai 'negara Islam'.

Cukupkah dengan hanya beberapa ciri sebuah negara Islam yang dilaksanakan dalam pentadbiran sebuah negara seperti Malaysia yang didakwa sudah berstatus 'negara Islam'. Ada bank Islam, ada universiti Islam, ada mahkamah syariah, ada masjid, surau, ada sekolah agama Islam, kedai Islam dan sebagainya lagi. Sedang asas atau kerangka sebuah negara Islam sebenar tidak kelihatan secara nyata dan terang. Betulkah kerangka atau asas negara ini berkerangkakan asas-asas Islam sebenar itu. Dengan roh al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah SAW menjadi asas paling dominan. Ini boleh kita rujuk Perlembagaan Malaysia, apakah kerangka Perlembagaan ini benar-benar menurut petunjuk al-Qur'an dan Sunnah. Sebagaimana keadaan sesebuah organisasi, ia terbentuk kerana bermula daripada kerangka asas perlembagaan organisasi itu. Perlembagaan organisasi itulah menjadi asas hala tuju sesebuah organisasi itu sama ada organisasi bersifat agama, kebajikan, sosial, kebudayaan, sukan, pendidikan dan sebagainya.

Umat Islam Di Malaysia Bersyukur Malaysia Sudah 'Negara Islam'

Tidak seorang pun umat Islam dan juga yang bukan Islam yang berasa fobia dengan 'negara Islam', sekiranya mereka benar-benar faham, tahu dan mendalami apa itu sebenarnya negara Islam, sebagaimana yang pernah dibina dan dibentuk oleh Nabi SAW di bumi Madinah. Malah umat Islam harus berasa syukur dan bangga dengan wujudnya sebuah negara Islam di bumi Malaysia pula. Sebab 'negara Islam' itu sebenarnya bukan untuk ditakuti oleh sesiapa jua yang berakal waras. Allah menjadikan Islam ini sebagai deen atau agama bagi manusia atas namanya way of life bukan untuk menyusahkan manusia, bukan juga Islam ini dijadikan Allah sebagai agama yang menakut-nakutkan manusia dan hakikat, sebenarnya Islam itu adalah agama keselamatan, keamanan, persefahaman, perdamaian, ukhuwah, perpaduan dan permuafakatan. Nilai-nilai inilah yang dibawa oleh Nabi SAW, para sahabatnya dan para ulama warasatul-anbiya itu sejak dulu hingga ke hari kiamat. Matlamat suci Islam itu tidak berubah walau sepatah perkataan sekalipun.

Tetapi disebabkan sikap benci dan permusuhan para penentang ajaran Islam itu sama ada mereka itu dari kalangan penganut agama lain dan orientalis barat yang cemburu buta dengan kejayaan serta kecemerlangan umat Islam di zaman kegemilangan Islam dulu, selain dari kalangan umat Islam sendiri yang berfahaman sekular dan mereka yang memahami Islam berdasarkan kehendak atau kepentingan duniawi semata-mata. Akhirnya, pertembungan ini telah menimbulkan kekeliruan di kalangan majoriti umat Islam pertengahan yang tidak mendalami Islam secara formal, yang hanya tahu Islam melalui mulut para pemimpin politik yang bersifat sekular itu, yang memahami Islam secara terhad dan jumud mengikut kepentingan tersendiri.

Kita meyakini sekiranya seluruh umat Islam di Malaysia dan juga bukan Islam memahami dan menilai Islam itu daripada tempat asalnya, iaitu merujuk kepada para ulama yang muktabar, muttaqin dan muktabar yang ikhlas kepada sumber Islam yang asli (yakni al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah SAW), bukannya mengutip sepatah dua kalimat tentang Islam yang dikeluarkan oleh mulut-mulut orang politik yang berkepentingan diri, politik sempit, bermata benda, bernafsu pangkat dan kedudukan, ghairah mengejar nama, kemewahan dan keduniaan.

Para pemimpin UMNO/BN yang dikepalai Dr Mahathir sejak akhir-akhir ini nampak beria-ia benar mahu mengisytiharkan Malaysia adalah 'negara Islam'. Segala tempat, hatta masjid, perhimpunan dan pentas politik mereka akan pergunakan untuk beretorika tentang Malaysia adalah negara Islam. Mereka sanggup mencarik-carik pendapat para ulama untuk disesuaikan dengan keinginan hawa nafsu mereka. Mereka kutip sekerat atau dua tiga patah pendapat ulama besar sebagai hujah bagi menyesuaikan kemahuan elit politik UMNO/BN yang gila kuasa. Tetapi kenapa tidak diisytiharkan melalui Parlimen Malaysia. Mereka berdalilkan sana sini institusi Islam, masjid, surau, sekolah agama Islam, balai Islam, muzium Islam, bank Islam, pelbagai lagi sistem Islam, nilai-nilai Islam dan mahkamah syariah telah dijalankan dalam negara Islam. Inilah yang dinamakan syiar atau simbol Islam bahawa amalan Islam sudah berlaku dan dilaksanakan oleh umat Islam, sementara syariatnya tidak diterjemahkan secara amali oleh pemerintah yang ada secara lebih jelas dan tegas. Ini dapat kita lihat, dalam mahkamah syariah sendiri yang statusnya lebih terkebawah dari mahkamah sivil dalam negara ini. Mahkamah syariah yang wujud di Malaysia hari ini pun masih tidak secara 100% mempraktikkan hukum syariah yang didakwa sebagai Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah Sekadar Retorika Politik UMNO/BN

Bukan kita tidak bersyukur dengan wujudnya mahkamah syariah. Tetapi sebagai golongan rakyat yang arif serba sedikit tentang hukum-hakam Islam. Bukankah satu bentuk tipu helah politik UMNO/BN yang mendakwa bahawa mahkamah syariah yang ada di Malaysia hari ini adalah gambaran sebuah mahkamah syariah Islam. Pada hal, hakikatnya masih terlalu jauh untuk diiktiraf ke atas mahkamah syariah yang ada hari ini sebagai mahkamah syariah. Sebab perundangan yang menjadi dasarnya adalah hanya berupa serpihan perundangan Islam sebenar yang diubahsuaikan mengikut kemahuan elit pemerintah yang takutkan undang-undang Islam sebenar sebagaimana termaktub dalam al-Qur'an dan Sunnah.

Andai benar Malaysia 'negara Islam', sepatutnya perundangan Islam di Malaysia sudah lama dijadikan undang-undang tertinggi negara ini. Kalau benar UMNO mahu mendaulatkan perundangan Islam itu dan kalau benar Malaysia adalah negara Islam, mereka (UMNO/BN) telah menguasai politik negara ini lebih 40 tahun. Apakah para pemimpin UMNO/BN sedar semua keadaan ini atau sengaja membutakan mata atau sekadar beretorika untuk menyedapkan hati umat Islam di Malaysia dan antarabangsa. Dengan membesar-besarkan bahawa Malaysia adalah model contoh 'negara Islam' di dunia sekarang. Siapa dan negara mana yang mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam itu. Kalau mereka itu atas nama individu, apa kelayakan dari segi ilmu Islam atau keilmuan mereka untuk menyatakan Malaysia adalah negara Islam. Dan kalau ia atas nama negara, apakah negara tersebut lebih Islam dari negara Malaysia dari segi perlaksanaan dasar-dasar Islam, undang-undang dan sebagainya.

Soal memberi pengiktirafan, semua orang boleh mengiktiraf bahawa negara itu atau negara A, B, C dan sebagainya adalah negara yang berstatus 'negara Islam', tetapi apakah pengiktirafan yang sedemikian itu mengikut asas dan fakta yang benar-benar bersandar kepada ilmu Islam dengan merujuk kepada pelbagai sandaran ilmu Islam yang bersumberkan al-Qur'an, Sunnah, Ijmak ulama, qias dan seterusnya meneliti sejarah kewujudan negara Islam yang pertama di Kota Madinah.

Perlembagaan Malaysia Sudahkah Memenuhi Kehendak  Islam?

Apakah benar Perlembagaan Malaysia yang menjadi asas terwujudnya negara Malaysia pada tahun 31 Ogos, 1957 itu, adalah Perlembagaan yang benar-benar menepati perundangan atau perlembagaan sebuah negara Islam sebenar, sebagaimana yang dianggap oleh para pemimpin UMNO/BN yang dikepalai oleh Dr Mahathir hari ini. Dengan tiba-tiba saja mereka sibuk menghebohkan dalam bentuk retorika politik bahawa kononnya Malaysia sebagai 'negara Islam', usaha terbaru UMNO/BN meretorikakan Malaysia sebagai berstatus 'negara Islam' ialah dengan membuat teks khutbah Jumaat untuk dibacakan di seluruh masjid dalam negara ini. Dan telah pun mengedarkan teks khutbah Jumaat itu melalui jabatan-jabatan agama negeri di seluruh negara. Di Sabah teks khutbah itu telah pun dibacakan di beberapa masjid dan jabatan agama negeri sendiri mencetak/menerbit semula teks khutbah itu dalam Suara Islam terbitan jabatan itu pada keluarannya yang ke bil: 43/2001 bertarikh 26.10.2001M yang lalu.

Menurut beberapa orang jemaah di sebuah masjid di Sabah yang sempat penulis temui, selain beberapa ustaz dan mereka yang mempunyai sedikit latar belakang ilmu Islam. Mendengarkan teks khutbah buatan JAKIM itu yang telah dibacakan di masjid tempat mereka dan dibaca oleh ustaz berstatus kaki-kaki pencacai buta tuli politik UMNO atau kumpulan taksub UMNO Sabah. Beberapa jemaah yang boleh tergolong kalangan agamawan dan ilmuan Islam itu menyatakan terasa kecewa dan malu dengan penghujahan dangkal tentang ciri-ciri sebenar sebuah negara Islam, kemudian diselang-selikan dengan hujah berbaur politik mengampu oleh penulis teks khutbah (JAKIM) itu. Dan penulis sendiri sempat terbaca teks khutbah tersebut yang termuat dalam Suara Islam itu, memang berdasarkan ilmu Islam kita yang masih cetek ini pun dapat menilai, bahawa penulisan teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan oleh JAKIM itu tidak ditulis secara telus dan jauh dari tradisi keilmuan Islam sebenar. Malah ia lebih berupa retorika politik oleh penguasa elit politik UMNO/BN dalam negara ini dengan memperkudakan para pegawai agama di JAKIM atau jabatan-jabatan agama negeri yang lain.

Apatah lagi, para imam dan khatib yang sudah lama terbius pemikiran mereka oleh retorika tentang status Malaysia sebagai 'negara Islam' yang dijadikan isu-isu politik sempit UMNO/BN. Mereka hanya ibarat burung tiung yang membaca atau bercakap sebagaimana tuan mereka ajarkan, tanpa ada kesedaran apa-apa sama ada yang mereka baca atau cakap itu benar atau salah menurut ilmu Islam. Itulah kata seorang guru atau ustaz yang penulis temui berkaitan dengan khutbah Jumaat JAKIM bertajuk 'Status Malaysia Sebagai Negara Islam', katanya begitulah jadinya apabila orang jahil mengajar orang jahil. Akhirnya kejahilan terus menjadi amalan dan pegangan mereka. Inilah, keadaannya apabila JAKIM berusaha menjelaskan tentang status Malaysia sebagai negara Islam dengan hujah-hujah tempelan lagi dangkal dengan mengutip sekadar beberapa potong pendapat ulama dengan matlamat tersembunyi yang tidak telus demi meraih sedikit keuntungan politik penguasa elit politik UMNO/BN. Mereka sanggup menyembunyikan kebenaran ilmu Islam berkaitan ciri negara Islam sebenar demi untuk mempertahankan hujah nakal lagi penuh muslihat elit politik UMNO/BN berkepalakan Dr Mahathir. Semua orang tahu, malah seluruh rakyat dan umat Islam di Malaysia lebih arif bahawa Dr Mahathir tiada keupayaan dan tiada kelayakan langsung dari segi ilmu Islamnya untuk berhujah tentang Islam, apatah lagi untuk bercakap tentang ciri-ciri sebuah negara Islam.

Dengan lain kata, Mahathir tiada kelayakan untuk bicara bab Islam, terutama dalam hal menstatuskan Malaysia sebagai negara Islam, kerana ini bukan bidangnya. Dia tidak mempelajari asas-asas ilmu Islam secara tradisinya. Dia cuma seorang berkelulusan sarjana doktor dan tidak pernah mendalami ilmu Islam mengikut yang sewajarnya dan dia hanya membaca buku-buku Islam yang ditulis dalam bahasa Inggeris, tidak mustahil buku-buku yang dibacanya itu dikarang oleh para orientalis barat. Dan membaca al-Qur'an dalam terjemahan bahasa Inggeris itu. Jadi, bagaimana para pemimpin UMNO/BN boleh mengiktiraf Dr Mahathir sebagai pemimpin negara Islam yang boleh berhujah mengenai negara Islam Malaysia, sedang ilmu Islamnya mungkin tidak lebih tinggi daripada ilmu Islam yang dimiliki oleh penasihat agamanya Dr Abd Hamid Othman, Datuk Zainal Abidin Abd Hamid, Datuk Zainal Abidin Abd Kadir, Datuk Seri Wan Mokhtar (mantan MB Terengganu dulu) dan lain-lain kalangan agamawan UMNO itu sendiri.

Dengan itu, rakyat dan umat Islam Malaysia menuntut kepada kepimpinan UMNO/BN terutama Dr Mahathir. Kalau benar dia jujur dan ikhlas terhadap status Malaysia sebagai 'negara Islam', kenapa tidak diisytiharkan dalam Parlimen. Kita percaya dalam keadaan wibawa kepimpinannya semakin merosot Dr Mahathir tidak akan berani mengisytiharkan Malaysia sebagai 'negara Islam' dalam Parlimen. Sekadar beretorika menyebut-nyebutkannya dipentas-pentas politik UMNO/BN siapa juga boleh, kemudian diperhebohkan secara besar-besaran melalui media-media pengampu mereka. Semua ini telah menampakkan betapa UMNO/BN dan para pemimpinnya benar-benar terdesak mencari isu-isu yang boleh memesongkan pemikiran rakyat agar kembali menyokong UMNO/BN dan Dr Mahathir.

Akhir sekali, permintaan rakyat dan umat Islam di Malaysia kepada UMNO/BN dan para pemimpinnya agar berhentilah dari beretorika dan berpolemik tentang status Malaysia sebagai 'negara Islam'. Cukuplah, sayang saja liur basi dan penat saja lidah sedang hakikat sebenarnya Malaysia masih belum terkeluar dari status negara sekular yang pernah diisytihar oleh PM Malaysia yang terdahulu. Tiga PM kita yang dulu pun sedar dan tahu, betapa bodoh untuk mengisytiharkan Malaysia sebagai 'negara Islam' sedang kriteria sebuah negara Islam itu bukan sekadar namanya dan bukan juga bersifat 'perisytiharan rasmi' semata-mata, tetapi kenyataan atau realitinya mesti benar-benar wujud. Boleh dinikmati, dilihat dan dirasai segala macam kebaikan, keindahan dan kesempurnaan sebuah negara Islam sebagaimana Negara Madinah Al-Munawwarah dulu. Wallahu 'Alam.

Ibn Sabah,
2.11.2001M.

Hits: