Reformasi Perlu Diolah Semula

Dari Laman FAC (23 Oktober 2001)

Akhbar-akhbar asing memperkatakan tentang terkuburnya gerakan reformasi di Malaysia. Sesetengah akhbar masih memberikan harapan. Mereka kata, “Reformasi mungkin malap tetapi tidak lenyap”. Pada hari Isnin, 15 Oktober 2001, Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur membincangkan tentang gerakan Reformasi dengan panjang lebar. Adakah sepuluh pemimpin Parti Keadilan Nasional (keADILan) dan aktivis tidak berpartian yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Negara (ISA) pada bulan April 2001itu benar-benar merupakan ancaman kepada keselamatan negara sebagaimana yang didakwa oleh pihak polis, atau adakah mereka ditangkap kerana mereka merupakan tulang belakang kepada gerakan Reformasi?

Pihak juri masih belum lagi membuat sebarang keputusan tentang hal ini dan selewat-lewatnya minggu hadapan baru keputusannya akan diketahui.

Mahkamah Persekutuan telah mengiktiraf kewujudan gerakan Reformasi. Malah telah berlaku perbahasan di antara hakim dan pembela tentang sama ada Hakim Augustine Paul perlu menarik dirinya dari mendengar Writ Habeas Corpus yang difailkan oleh ke sepuluh tahanan tersebut memandangkan beliau boleh dilihat sebagai bersikap anti- Reformasi.

Akan tetapi sebagaimana tiada sesiapa pun yang mempertikaikan kewujudan gerakan Reformasi, tiada seorang pun yang dapat memberitahu siapakah di belakang gerakan tersebut dan di dalam bentuk yang bagaimana ia dikatakan wujud. Reformasi tidak mempunyai ketuanya. Gerakan itu sendiri tidak mempunyai struktur. Ia bukanlah sebuah pertubuhan berdaftar. Apa yang ada hanyalah penganjur-penganjur demonstrasi Reformasi. Adakah Anwar Ibrahim yang menubuhkan atau menerajui gerakan Reformasi? Boleh jadi ya dan tidak!

Gerakan Reformasi dilahirkan sebaik sahaja Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad menyingkirkan Anwar dari kerajaan pada 2 September 1998. Ia memuncak pada 20 September apabila Anwar berjaya menghimpunkan seramai lebih kurang 100,000 orang yang membantah di Dataran Merdeka, menyebabkan Mahathir bertindak menahan Anwar di bawah ISA bagi meredakan apa yang dilihat sebagai keadaan yang bakal mencetuskan satu revolusi.

Tanpa Anwar di sisi, gerakan tersebut mula menjadi kurang bermaya. Ia mendapat lonjakan sementara apabila keluar berita tentang Anwar yang keracunan arsenik. Orang ramai turun ke jalan-jalan raya mendesak campur tangan Istana dan menggesa penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dalang di sebaliknya.

Di hari keputusan perbicaraan kes Anwar pada 14 April 1999 dan 8 Ogos 2000, demonstrasi-demonstrasi  muncul semula – walau bagaimana pun pada skala yang berkurangan. Ulang tahun hari penghukuman – yang dikenali sebagai “Gelita 14” – begitu juga dengan hari kelahiran Anwar, perhimpunan-perhimpunan kecil diadakan. Namun ia hanya dihadiri oleh seramai lebih kurang 1000 penyokong-penyokong kuat dan tidak dapat menandingi perhimpunan besar seperti yang berlaku pada 20 September 1998.

Pada hari ini, gerakan Reformasi sedang bertarung untuk terus hidup. Pukulan mautnya berlaku pada bulan April 2001 apabila Ketua Pemuda keADILan Ezam Mohd. Nor dan teman-teman rapatnya seperti Lokman Noor Adam, Tian Chua, Saari Sungip, Hishamuddin Rais, Dr. Badrulamin Bahron, N. Gobalakrishnan dan Abdul Ghani Haroon ditangkap di bawah ISA. Pembebasan Gobalakrishnan dan Ghani kemudiannya oleh mahkamah Shah Alam memberikan kejutan kepada setiap orang tetapi mereka yang lain ditahan di Kem Tahanan Kamunting untuk satu jangka masa yang tidak pasti di mana mereka tidak lagi boleh menjadi ancaman kepada parti pemerintah.

Gerakan Reformasi membuat ‘comeback’ pada bulan November 2000 apabila Lebuhraya Kesas menjadi “standstill”. Pihak penganjur sendiri terkejut apabila mereka berjaya menghimpunkan seramai lebih kurang 50,000 orang. Berdasarkan kejayaan ini, satu keputusan telah dibuat untuk mengatur program seperti itu dengan lebih kerap. Percubaan yang seterusnya walau bagaimanapun – perjumpaan Hari Raya dua bulan kemudiannya – menarik kurang dari 5000 penyokong. Selepas itu, bilangan yang hadir ke perhimpunan semakin berkurangan kepada hanya di antara 1000 dan 2000 manakala semua percubaan untuk mengulangi kejayaan perhimpunan di Kesas menemui kegagalan.

Pihak polis percaya bahawa mereka yang menjadi nadi gerakan Reformasi adalah lima pemimpin keADILan dan seorang aktivis politik yang kini berada di bawah ISA di Kamunting. Itulah sebabnya mengapa mereka ditahan – untuk membunuh gerakan tersebut. Apabila mereka berjaya disisihkan, gerakan itu kini terpaksa bergantung kepada segelintir pejuang di barisan kedua – reformis – yang kebanyakannya merupakan mereka yang tidak berpartian dan tidak berupaya untuk menyusup masuk ke dalam jentera parti bagi mengerakkan orang ramai. Tanpa penglibatan parti, sokongan yang bersepadu dari ahli-ahli parti adalah sukar didapati.

Pada hari Jumaat, 31 Ogos 2001, para reformis cuba menguji sama ada mereka boleh menghimpunkan orang ramai tanpa sokongan dari parti dengan menganjurkan apa yang sepatutnya menjadi peristiwa kedua terbesar selepas perhimpunan di Lebuh raya Kesas hampir setahun yang lalu. Walau bagaimanapun, mereka hanya berjaya menghimpunkan seramai lebih kurang 400 ke 500 penyokong. Ada yang menganggarkan bilangan yang menyertai perhimpunan itu cuma seramai 100 ke 200 orang – sebilangan yang lain hanyalah pemerhati yang ingin tahu dan mereka yang lalu-lalang selepas selesai menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid yang berdekatan. Bilangan anggota polis melebihi bilangan penunjuk perasaan pada kadar dua kepada satu.

Gerakan Reformasi perlu memperkemaskan dirinya sendiri. Ia perlu menerima hakikat bahawa ia tidak lagi mempunyai sesuatu yang berupaya menarik orang ramai turun ke jalan-jalanraya. Kejayaannya pada masa-masa yang lalu disebabkan oleh faktor-faktor tertentu yang tidak lagi prevalen pada masa kini. Gerakan tersebut perlu menilai kekuatannya dan mengenalpasti kelemahannya sekiranya ia mahu terus memainkan peranan sebagai kumpulan yang mendesak kepada perubahan.

Sebagai permulaan, Dr. Chandra Muzaffar, Timbalan Presiden Keadilan tidak mempercayai bahawa demonstrasi jalanan adalah satu cara perjuangan yang sepatutnya. Dan beliau telahpun menyatakan pendiriannya itu. Beliau merasakan faedah yang boleh didapati darinya adalah terlalu sedikit dan keburukannya pula terlalu besar. Demonstrasi jalananlah yang telah mengakibatkan penangkapan di bawah ISA pada bulan April 2001 dan enam pemimpin parti dan aktivis kini tersisih disebabkan perkara itu. Dr. Chandra percaya bahawa demonstrasi jalanan tidak dapat mencapai matlamat yang diharapkan dan hanya memberikan pihak polis sebab yang baik untuk menahan para pemimpin parti dengan berselindung di sebalik alasan keselamatan negara.

Seandainya keADILan menyokong demonstrasi, ia tetap tidak dapat memberikan sesuatu yang baik. Kejayaan di Lebuhraya Kesas bukanlah disebabkan keADILan semata-mata, tetapi disebabkan kesemua empat parti komponen Barisan Alternatif terlibat. Malahan, Parti Islam seMalaysia (PAS) memberikan penyertaan yang terbesar di mana adalah dianggarkan bahawa lebih kurang 90% dari mereka yang turun itu terdiri dari para penyokongnya.

Tambahan pula, di dalam peristiwa di Kesas, kesemua pemimpin utama barisan pembangkang turut serta – Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Pemuda dan lain-lain lagi – menjadi satu tarikan pula kepada orang ramai untuk turun menyertainya. Selain dari itu, orang ramai tidak sahaja dihadkan kepada mereka yang tinggal di bandar tersebut. Mereka semua datang sehari atau dua hari lebih awal dari seluruh pelusuk Malaysia untuk menyertai bantahan tersebut. Secara ringkasnya, ia merupakan satu program peringkat kebangsaan, bukanlah yang melibatkan masyarakat setempat sahaja – dan ia adalah satu program yang disokong dan dibiayai oleh BA.

Namun begitu perhimpunan di Lebuhraya Kesas telah dirancang dengan begitu teliti. Enam minggu sebelumnya, mesyuarat demi mesyuarat diadakan di mana pihak penganjur mengambil kira setiap perkara secara terperinci dan tidak meninggalkan satu pun di belakang. Setengah juta lampiran kecil ‘flyers’ dicetak dan diedarkan, dan 100,000 poster bersaiz penuh ditampalkan di seluruh bandar. Masjid-masjid ‘diserang’ pada setiap Jumaat dengan penyebaran ‘flyers’ di semua pintu masuk utamanya.

Pada setiap ceramah di seluruh negara, pengumuman dibuat menggesa para penyokong supaya turun ke Kuala Lumpur menyertai perhimpunan itu. Kesemua empat Presiden parti berikrar memberikan sokongan dan orang ramai berhimpun di sekeliling presiden-presiden mereka. Ia merupakan satu tugas sepenuh masa buat pihak penganjur dan itulah yang telah menjamin kejayaan kepada perhimpunan di Lebuhraya Kesas.

Kini, PAS kelihatan tidak lagi berminat untuk menyokong demonstrasi jalanan – sekurang-kurangnya tidak kepada program-program yang pro-Anwar atau Reformasi. Ia juga telah kehilangan 19 dari pemimpinnya kepada ISA dan mengikut spekulasi adalah dijangkakan ia akan kehilangan seramai lebih kurang 30 orang lagi dalam masa yang terdekat ini. Tidak dinafikan, tanpa sokongan PAS, sambutan hangat dari orang ramai tidak dapat diharapkan.

Keunggulan PAS telah dibuktikan pada hari Jumaat yang lalu, 12 Oktober 2001, apabila mereka berjaya menghimpunkan seramai 7000 hingga 8000 penyokong untuk berdemonstrasi di hadapan bangunan Kedutaan Amerika Syarikat selepas sembahyang Jumaat. Bandingkan ini dengan program Reformasi selepas sembahyang Jumaat pada 31 Ogos di mana tidak sampai 5% dari bilangan tersebut yang hadir.

Pihak polis percaya mereka telah berjaya melumpuhkan gerakan Reformasi dengan penahanan enam pemimpin Reformasi di Kamunting. Mereka menjadi bertambah yakin lagi akan perkara ini melihatkan banyak percubaan yang telah gagal untuk mengerakkan orang ramai semenjak itu. Sekiranya gerakan Reformasi berjaya meyakinkan pihak polis perkara yang sebaliknya, keenam-enam pemimpin itu akan tetap berada di dalam tahanan untuk satu jangka waktu bagi memastikan gerakan tersebut terus tenggelam.

Gerakan Reformasi menyalahkan Pemuda keADILan untuk ini. Ia mengatakan Pemuda keADILan tidak berani untuk berjuang selepas melihat apa yang berlaku kepada pemimpinnya pada bulan April 2001. Pemuda keADILan, walau bagaimanapun, merasakan tidak ada gunanya membiarkan lebih ramai dari pemimpinnya ditahan di belakang pagar berduri di Kamunting dalam mengejar satu perjuangan yang sudah kehilangan arah.

Gerakan Reformasi sedang cuba untuk membuktikan bahawa segala kritikan yang dilemparkan terhadapnya itu sebagai tidak benar. Pada hari Sabtu, 27 Oktober 2001, ia merancang satu konvoi ke Pusat Tahanan Kamunting. Pihak polis, sudah pasti, akan cuba untuk menggagalkan rancangan ini. Soalannya adalah, adakah ini akan menjadi satu lagi acara Reformasi sahaja atau adakah PAS akan turun memberikan sokongan kepadanya memandangkan 19 dari pemimpinnya turut ditahan di bawah ISA? (Catatan penterjemah – 27 Oktober telahpun berlalu dan semua soalan ini sudahpun dapat dijawab!)

Apabila sepuluh pemimpin dan aktivis Reformasi ditahan dalam bulan April, terdapat tentangan yang kuat yang membuatkan pihak polis sendiri terfikir sama ada mereka telah tersilap membuat perhitungan. Namun apabila sepuluh orang yang seterusnya ditahan – kali ini kesemuanya merupakan pemimpin PAS – tidak ada apa pun yang berlaku. Jelaslah PAS tidak bertindakbalas secara keras sebagaimana keADILan apabila orang-orangnya ditahan. Maka, kumpulan yang lain pula ditahan dan, kemungkinan, lebih banyak tangkapan akan dibuat pada masa akan datang.

Ramai yang merasakan bahawa PAS tidak akan memberikan sepenuh sokongan kepada konvoi 27 Oktober. Lihatlah apa yang berlaku apabila Ibrahim Libya terbunuh, hujah mereka. Perkara pertama yang PAS lakukan adalah menafikan bahawa beliau mempunyai sebarang perkaitan dengan parti. Lebih dari itu, apabila sepuluh dari pemimpinnya ditangkap baru-baru ini, PAS mengutuk ekstrimisme – seolah-olah mengumumkan bahawa kesepuluh orang itu memang merupakan golongan ekstrimis – daripada mempertahankan mereka dengan menafikan penglibatan mereka di dalam sebarang tindakan keganasan.

27 Oktober 2001 adalah hari penentu. Bolehkah gerakan Reformasi menarik penyertaan yang boleh dibanggakan di dalam konvoi itu? Sekiranya ia boleh, maka tidak dapat dinafikan bahawa gerakan tersebut mungkin malap tetapi pastinya jauh sekali dari terus lenyap. Sekiranya, walau bagaimanapun, tiada sesuatu yang memberansangkan berlaku, maka pihak polis pasti akan bergembira dan mendakwa bahawa tindakan yang paling baik telah mereka laksanakan adalah dengan menangkap Ezam dan rakan-rakannya di bawah ISA.

Seperti yang mereka kata, satu lagi jalan yang perlu dilalui, dan jalan itu mungkin merupakan satu jalan yang panjang dan penuh berliku buat gerakan Reformasi di Malaysia. 27 Oktober adalah ujian asid kepada gerakan tersebut. Sekiranya gerakan itu dapat membuktikan bahawa, tanpa Ezam dan yang lainnya, ia tidak dapat membuat sebarang kesan, maka Ezam akan disisihkan untuk satu masa yang panjang.


Terjemahan : SPAR

Hits: