Apa yang harus kita lakukan terhadap keganasan?
What can we do about terrorism?

Oleh: Dr. Robert M. Bowman

Beberapa tahun dahulu, pengganas telah memusnahkan dua kedutaan AS di Afrika. Presiden Clinton bertindak balas terhadap pengkalan yang dimiliki oleh Osama bin Laden. Dalam ucapannya yang disiarkan oleh TV, Clinton telah memberitahu rakyat Amerika betapa kita menjadi sasaran keganasan kerana kita bersikap teguh mengamalkan demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia di dunia. 

Ketika itu, saya menulis: “Beritahu perkara sebenarnya, Mr. President... perihal keganasan, dan bukannya perihal Monica (Lewinsky). Seandainya pembohongan anda dibiarkan terus tanpa sebarang cabaran, peperangan yang ganas yang anda lepaskan itu akan berkemungkinan berterusan sehinggalah ia akan menghancurkan kita semua. 

“Ancaman nuklear daripada pengganas sudah semakin mendekati kita. Keganasan melalui penggunaan kimia sudah pun menghantui kita kini, dan keganasan yang bersenjatakan barangan biologi adalah bahaya yang sedang menanti. Tidak ada satu pun di kalangan ribuan senjata nuklear kita mampu mempertahankan kita daripada bencana ancaman itu semua. Semua mereka yang mendewakan plutonium, titanium, dan keluli adalah tidak berbisa lagi. Mendewakan kit yang kita lakukan selama lebih lima dekad tidak pun menjamin keselamatan, hanya bahaya sahaja. Tidak ada sistem ‘Star Wars’ ....... tidak kiralah betapa canggihnya sistem itu secara teknikalnya, tidak kiralah berapa banyak pula dollar yang dicurahkan kepadanya... yang dapat melindungi kita daripada sebutir bom keganasan. Tidak ada satu senjata pun antara himpunan dan longgokan senjata canggih kita yang dapat melindungi kita daripada senjata nuklear yang dihantarkan melalui kapal layar ataupun pesawat terbang Piper Cub ataupun dalam satu beg sutkes ataupun trak sewaan jenis Ryder. Tidak secebis pun antara 273 bilion dollar setiap tahun yang kita belanjakan untuk pertahanan negara dapat melindungi kita daripada bahana bom pengganas. Tidak ada satu benda pun dalam simpanan tentera kita yang sebenarnya mampu menjamin sekelumit keselamatan kita. Ini adalah hakikatnya daripada fakta ketenteraan. 

“Mr. President, anda tidak pun berterus terang dengan rakyat Amerika apakah sebenarnya kita menjadi sasaran keganasan. Anda menyebut kita menjadi sasaran kerana kita meneguhkan demokrasi, kebebasan, dan hak asasi manusia di dunia. Ini adalah kisah haprak! Kita menjadi sasaran pengganas kerana kita menyokong kerajaan diktator, penghambaan, dan penindasan manusia di seluruh dunia. Kita menjadi sasaran pengganas kerana kita dibenci. Dan kita dibenci kerana kerajaan kita sudah lama berbuat perkara yang menjijikkan. 

“Di beberapa buah negarakah yang kita telah menumbangkan pemimpin negara yang popular dan menggantikan mereka dengan boneka diktator tentera yang sanggup menggadaikan martabat bangsa mereka sendiri kepada syarikat besar (Multinational Corporations:MC ) Amerika? 

“Kita telah melaksanakannya di Iran ketika kita menumbangkan kerajaan Mossadegh kerana dia mahu memilik-negarakan industri minyak. Kita gantikannya dengan Shah, dan latih, lengkapkan serta bayar pasukan pengawal istananya yang bernama Savak. Inilah dia musibat yang menghamba-abdikan dan menganiayai rakyat Iran. Semua itu hanya untuk melindungi kepentingan kewangan semua syarikat minyak kita. Apakah satu kehairanan apabila orang Iran membenci kita? 

“Kita laksanakan di Chile ketika menjatuhkan Allende, yang telah dilantik secara demokrasi oleh rakyat yang mahukan sistem sosialisme. Kita gantikan dia dengan seorang diktator tentera sayap kanan yang bernama Pinochet. Chile masih belum terlepas daripada bencana yang kita cetuskan. 

“Kita lakukan juga di Vietnam ketika putar-belitkan pengundian demokratik di bahagian Selatan yang berkemungkinan menyatupadukan negara besar itu di bawah kepimpinan Ho Chi Minh. Kita telah gantikan beliau dengan beberapa kerat boneka yang tidak berguna yang sanggup mempersilakan kita menceroboh untuk menyembelih rakyat mereka – dan kita lakukan semua itu. (Saya telah menerbangkan pesawat kombat sebanyak 101 kali dalam satu peperangan yang pernah anda tentang dan menjadi popular kerananya). 

Kita telah lakukannya di Iraq di mana kita telah menyembelih suku juta manusia yang tidak berdosa dalam satu usaha yang menggagalkan kita menggulingkan Sadam Hussein, dan kemudiannya kita telah bunuh pula satu juta manusia lagi dengan mengenakan sekatan ekonomi terhadap negara itu. Lebih setengah mangsa yang tidak berdosa adalah kanak-kanak di bawah umur lima tahun. 

“Sememangnya, berapa kali pula telah kita lakukan di Nicaragua dan beberapa republik banana di Latin Amerika? Masa demi masa kita telah singkirkan pemimpin setempat yang popular yang mahukan kekayaan bumi tanah air mereka itu dikongsi bersama oleh pekerja di situ. Kita ganti mereka dengan pembunuh yang zalim yang bersedia menjual rakyat mereka sendiri untuk membolehkan kekayaan tanah yang dihuni oleh rakyat itu dapat dinikmati oleh Domino Sugar, the United Fruit Company, Folgers dan Chiquita Banana. 

“Di setiap negara, kerajaan kita telah leburkan demokrasi, tekan kemerdekaan, dan menghinjak-hinjak hak asasi manusia. Itu sebabnya kita dibenci oleh seluruh dunia. Itu sebabnya kita menjadi sasaran para pengganas. 

“Rakyat Kanada menikmati demokrasi yang lebih indah lagi, lebih merdeka dan hak asasi manusia yang lebih berkualiti daripada yang kita nikmati. Begitu juga rakyat Norway dan Sweden. Pernahkah kita mendengar kedutaan Kanada dibom? Ataupun kedutaan Norway? Ataupun kedutaan Sweden. Tidak, adalah jawapannya. 

“Kita bukannya dibenci kerana kita mengamalkan demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia. Kita dibenci kerana kerajaan kita menafikan semua kemudahan itu dinikmati oleh rakyat dunia ketiga di mana sumber negara mereka disauk oleh semua MC kita. Itulah bibit kebencian yang pernah kita tabur yang kini membesar untuk menghambat kita dalam bentuk keganasan dan di masa yang akan datang dalam bentuk keganasan nuklear. 

“Apabila kebenaran di sebalik segala ancaman itu terserlah dan difahami, jalan penyelesaiannya amat ketara sekali. Kita mesti menukar cara kerajaan kita berkompromi. 

“Dari menghantar anak-anak lelaki dan perempuan kita mengelilingi dunia untuk menghambat Arab dan membunuh mereka untuk membolehkan syarikat minyak kita menjual minyak yang tersimpan di dasar pasir, kita mesti mengarahkan mereka membina semula segala infrastruktur, bekalan air yang bersih dan menyuap kanak-kanak yang kebuluran.

“Dari meneruskan kerja gila membunuh ribuan kanak-kanak Iraq setiap hari dan diteruskan sekatan ekonomi, kita mesti bantu mereka untuk membina semula janakuasa elektrik, stesyen rawatan bekalan air, hospital mereka – segala-galanya yang telah kita musnahkan ketika berperang dulu dan menghalang mereka membinanya semula disebabkan sekatan ekonomi kita. 

“Dari menyemarakkan keghairahan mahu merajai mereka, kita mesti berusaha menjadi anggota keluarga besar sejagat. Apa perlunya menempatkan ratusan ribu tentera kita seluruh dunia hanya untuk mempertahankan kepentingan kewangan MC kita, sedangkan kita boleh bawa mereka pulang dan gantikan dengan anggota sukarelawan Peace Corps. 

“Dari kita melatih pengganas dan kumpulan pembunuh dengan teknik zalim untuk mendera dan menjadi pembunuh upahan, eloklah kita tutup sahaja apa yang disebut selalu ‘The School of the Americas’ (ataupun apa juga nama sekolah latihan yang zalim itu). Dari menyokong diktator ketenteraan, eloklah kita menyokong demokrasi sebenarnya – hak manusia setempat memilih pemimpin yang mereka suka. Dari kita menyokong kerja-kerja pencerobohan, pengkucar-kacir, pembunuhan dan keganasan di merata dunia, kita mesti hapuskan CIA dan keluarkan wang derma kepada pasukan bantuan dunia. 

Bersambung ke Bahagian 2. 

Terjemahan oleh SPAR. 

Hits: